#2854: Solat Orang yang Tidak Tahu Cara Sertu yang Betul

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana sekiranya sewaktu saya kanak-kanak dahulu, saya tidak tahu cara sertu yang betul. Pada masa itu, saya hanya tahu cara sertu sekadar mencuci tempat yang terkena najis dengan campuran air dan tanah sahaja. Saya tidak tahu bahawa saya perlu membasuh lagi dengan air biasa sebanyak 6 kali. Adakah ianya memberi kesan kepada solat-solat yang saya dirikan sebelum ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan aspek kebersihan dalam kehidupan. Bahkan telah datang banyak nas daripada al-Quran dan al-Sunnah bahawa kebersihan itu merupakan sebab memperoleh kecintaan Allah SWT dan merupakan tanda keimanan seseorang. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

(Surah al-Baqarah: 222)

Ini juga thabit berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Malik al-Asy‘ari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”

Riwayat Muslim (223)

Di dalam perbahasan berkaitan taharah (bersuci) di dalam kitab-kitab fiqh, para ulama’ secara umumnya membahagikan najis kepada 3 jenis; mukhaffafah (ringan), mutawassitah (pertengahan), dan mughallazah (berat).

Sertu merupakan kaedah yang diletakkan oleh syara‘ untuk menyucikan sesuatu daripada najis mughallazah. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, sertu merujuk kepada suatu perbuatan menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis mughallazah (anjing dan babi) dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali.

Kaedah sertu ini telah disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.”

Riwayat Muslim (279)

Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan bahawa, bersuci itu sama ada kerana hadas, atau kotoran, ataupun kerana terdapat unsur kemuliaan (yang perlu dipelihara). Dan tidak ada hadas pada bekas (minuman), begitu juga tidak ada kemuliaan padanya. Maka yang menjadi penentu (kewajiban bersuci) di sini adalah bersuci daripada kotoran.

Maka thabit kenajisan mulut anjing itu, sedangkan ia (mulut anjing) adalah bahagian yang paling bersih dari anggota badannya. Maka selain darinya (mulut) adalah lebih utama (untuk dianggap sebagai najis). Begitu juga khinzir, kerana keadaannya adalah lebih buruk berbanding anjing. (Lihat al-Iqna‘, 1/105)

Imam Syihab al-Din Ibn Ruslan menyebutkan:

نَجَاسَةُ الْخِنْزِيرِ مِثْلُ الْكَلْبِ            تُغْسَلُ سَبْعًا مَرَّةً بِتُرْبِ

Maksudnya: “Kenajisan khinzir sama seperti kenajisan anjing, dibasuh (untuk menyucikannya) sebanyak 7 kali, dan salah satunya dengan air tanah.” (Lihat Safwah al-Zubad, hlm. 48)

Maka jelaslah bahawa kaedah yang betul untuk sertu adalah sebanyak 7 kali basuhan. Basuhan yang pertama menggunakan air yang dicampur dengan tanah, dan 6 kali basuhan yang seterusnya menggunakan air mutlak.

Solat Orang yang Tidak Tahu Cara Sertu yang Betul

Berbalik kepada persoalan yang diutarakan, saudara yang bertanya tidak tahu kaedah yang betul untuk sertu pada usia kanak-kanak. Maka adakah solatnya yang lalu perlu diganti atau tidak?

Kami dapati, terdapat beberapa perbincangan yang perlu diteliti di sini:

Pertamanya, dalam situasi yang disebutkan terdapat 2 sebab yang mengeluarkannya daripada taklif syara‘; iaitu tidak tahu kaedah yang betul, dan juga kesalahan tersebut berlaku semasa masih pada usia kanak-kanak.

Telah datang sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A dan Ummul Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثٍ عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الصَّغِيرِ حَتَّى يَكْبُرَ وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ أَوْ يَفِيقَ

Maksudnya: “Telah diangkat pena dari tiga golongan: dari orang yang tidur sehingga dia terjaga, dari seorang kanak-kanak sehingga dia baligh dan daripada orang yang gila sehingga dia berakal dan sedar.”

Riwayat al-Nasa’ie (3432), Abu Dawud (4403), Ahmad (1183), al-Tirmizi (1423) dan Ibn Majah (2041)

Al-Manawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa, makna ‘telah diangkat pena’ bermaksud tidak dibebankan dengan taklif dan tidak dikenakan hukuman atau dosa terhadap apa yang dilakukan oleh mereka. (Lihat Faidh al-Qadir Syarh Jami‘ al-Saghir, 4/46)

Diriwayatkan pula daripada Abu Dzar al-Ghifari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan bagi ummatku daripada perbuatan disebabkan oleh tersilap, juga terlupa, dan perbuatan yang dipaksakan untuk mereka melakukannya”

Riwayat Ibn Majah (2043)

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, tersilap itu bermaksud melakukan kesalahan dengan tidak sengaja. Hal ini seiring dengan kalam Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ketika mensyarahkan hadith di atas, bahawa kesilapan bermaksud suatu perbuatan yang dilakukan tanpa sengaja. (Lihat Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 383)

Keduanya, perbincangan mengenai qadha’ solat ke atas mereka yang tidak sah wudhu’, sama ada ianya diwajibkan atau tidak diwajibkan.

Perlu difahami terlebih dahulu bahawa berwudhu’ merupakan salah satu daripada syarat sah solat. Wudhu’ yang tidak sempurna akan menyebabkan  solat seseorang itu tidak sah. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, kedua belah tangan kamu meliputi siku, sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

Surah al-Maidah (6)

Seseorang yang terkena najis di tubuh badannya tidaklah membatalkan wudhu’. Hal ini kerana wuduk hanya terbatal apabila terjadi situasi di bawah:

  • Keluar sesuatu daripada kedua jalan (qubul dan dubur) melainkan keluar mani. Ini kerana keluarnya mani diwajibkan mandi dan ia merupakan perkara yang lebih utama dilakukannya dahulu.
  • Hilang akal sama ada dengan tidur atau selainnya. Melainkan (tidak membatalkan wudhu’) sekiranya tidur dalam keadaan duduk yang tetap punggungnya di atas tempat duduknya.
  • Bersentuhan (kulit) di antara lelaki dan wanita ajnabi (boleh berkahwin) secara langsung iaitu tanpa berlapik.
  • Menyentuh qubul dan dubur dengan telapak tangan (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 103)

Akan tetapi, kewujudan najis pada tubuhnya itu boleh menyebabkan solat yang didirikan tersebut tidak sah. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan bahawa, antara syarat sah solat mestilah suci daripada najis yang tidak dimaafkan pada pakaian dan badan, iaitu pakaian dan badannya walaupun di dalam hidung, mulut, mata atau telinganya. Begitu juga pada tempat solatnya iaitu tempat yang didirikan solat di atasnya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/402)

Di dalam permasalahan kewujudan najis tanpa seseorang itu sedar atau tahu, ulama’ berbeza pendapat sama ada solat yang telah lepas perlu diganti semula atau tidak.

Mazhab al-Syafi‘i mempunyai beberapa pandangan dalam permasalahan kewujudan najis tanpa seseorang itu sedar atau tahu, sama ada solat yang telah lepas perlu diganti semula atau tidak. Imam al-Nawawi menyebutkan 3 pandangan:

  1. Pandangan pertama, dan ini juga pandangan yang paling tepat menurut Imam al-Nawawi, bahawa solat tersebut sah. Ini juga merupakan qaul qadim Imam al-Syafi‘i.
  2. Pandangan kedua, solat tersebut tidak sah.
  3. Pandangan ketiga, solat tersebut sah meskipun dia tahu akan kewujudan najis tersebut. (Lihat al-Majmu‘, 3/132)

Kemudian, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa, menurut mazhab Al-Syafi‘i, solat tersebut wajib diulang semula. Manakala  majoriti ulama’ berpendapat bahawa solat tersebut tidak perlu diulang, sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn al Munzir daripada Ibn ‘Umar, Ibn al-Musayyib, Tawus, ‘Ata’, Salim bin Abdillah, Mujahid, al-Sya‘bi, al-Nakha‘i, al-Zuhri, ahya al-Ansari, al-Auza‘ie, Ishaq dan Abu Thaur. (Lihat al-Majmu‘, 3/132; al-Ausat, 2/163)

Al-Khatib al-Syirbini mengatakan, tidak sah solat jika terdapat najis pada tempat-tempat tersebut walaupun dalam keadaan seseorang itu tidak mengetahui kewujudannya atau tidak tahu bahawa ia membatalkan solat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/402)

Antara hujjah mereka yang berpandangan bahawa solat tersebut sah, firman Allah SWT:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Ini juga sebagaimana yang warid dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:

بَيْنَمَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يُصَلِّي بِأَصْحَابِهِ، إِذْ خَلَعَ نَعْلَيْهِ فَوَضَعَهُمَا عَنْ يَسَارِهِ. فَلَمَّا رَأَى ذَلِكَ الْقَوْمُ، أَلْقَوْا نِعَالَهُمْ. فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ ﷺ صَلاَتَهُ، قَالَ: ‏مَا حَمَلَكُمْ عَلَى إِلْقَائِكُمْ نِعَالَكُمْ؟‏‏ قَالُوا: رَأَيْنَاكَ أَلْقَيْتَ نَعْلَيْكَ فَأَلْقَيْنَا نِعَالَنَا‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: ‏إِنَّ جِبْرِيلَ أَتَانِي فَأَخْبَرَنِي أَنَّ فِيهِمَا قَذَرًا

Maksudnya: “Ketika mana Rasulullah SAW sedang solat bersama para sahabatnya, Baginda menanggalkan kedua seliparnya dan meletakkannya di sebelah kiri. Apabila mereka melihat tindakan tersebut, mereka pun turut menanggalkan selipar mereka. Usai selesai solat, Rasulullah SAW bertanya: ‘Apa yang membuatkan kamu menanggalkan selipar kamu?’ Mereka menjawab: ‘Kami melihat engkau menaggalkan selipar, maka kami tanggalkan selipar.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Jibril datang kepadaku dan memberitahu bahawa pada kedua selipar itu terdapat najis’.”

Riwayat Abu Dawud (650)

Difahami berdasarkan hadith di atas, sekiranya najis yang tidak diketahui itu boleh membatalkan solat, pasti Rasulullah SAW akan bangun dan ulang semula solat Baginda.

Manakala antara hujjah  mereka yang berpandangan bahawa solat tersebut tidak sah pula, berdasarkan firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

(Surah al-Muddathir: 4)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, kami cenderung memilih pendapat yang mengatakan bahawa tidak wajib mengqadha’ solat yang didirikan. Hal ini berdasarkan 2 sebab yang utama:

  • Kekuatan hujjah yang dibawakan oleh majoriti ulama’.
  • Melihat kepada kesukaran yang akan dihadapi seseorang itu jika diwajibkan ke atasnya untuk mengganti kesemua solatnya sebelum ini, sedangkan dia telah sudah berusaha untuk menghilangkan najis mughallazah

Ini juga selari dengan kaedah yang menyebutkan:

مَنْ ابْتُلِيَ بِمُخْتَلَفٍ فِيهِ كَانَ لَهُ أَنْ يُقَلِّدَ مَنْ أَجَازَ

Maksudnya: “Sesiapa yang diuji dengan suatu kesusahan yang diperselisihi di dalamnya, maka dia boleh bertaqlid dengan ulama yang mengharuskannya.”

Allah SWT tidak akan menghukum hambanya pada sesuatu perkara melainkan setelah sampai padanya ilmu dan kebenaran. Adapun jika seseorang melakukan sesuatu dalam keadaan dia jahil, lalu tersilap, maka dia tidaklah dihukum seperti orang yang mempunyai ilmu. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ

Maksudnya: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya.”

(Surah al-Ahzab: 5)

Pandangan ini juga seiring dengan konsep agama Islam itu sendiri yang meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *