#2878: Syar‘u man Qablana (شَرْعُ مَنْ قَبْلَنَا)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan secara ringkas mengenai Syar‘u man Qablana (شَرْعُ مَنْ قَبْلَنَا)? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya Allah SWT telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW dengan agama yang benar dan telah menjadikannya sebagai penutup bagi para Nabi AS. Begitu juga Allah SWT telah menjadikan syariat Baginda SAW sebagai penutup bagi syariat-syariat para Nabi yang terdahulu. Hukum-hukum dalam setiap syariat terbahagi kepada dua iaitu; usul (asas-asas) dan furu‘ (cabang-cabang).

Perkara usulnya ialah beriman kepada Allah, nama-nama dan sifat-sifat-Nya, begitu juga beriman dengan hari kebangkitan, balasan baik dan buruk, syurga dan neraka. Selain itu, ia juga merangkumi penyerahan diri dan pengabdian kepada Allah semata-mata, mengesakan-Nya dalam ibadah. Perkara ini disepakati oleh semua syariat para Nabi AS. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

 إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam.”

(Surah Ali ‘Imran: 19)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, Allah SWT mengkhabarkan bahawa tiada agama yang diterima disisi-Nya daripada seseorang kecuali agama Islam. (Lihat Tafsir al-Qur‘an al-‘Azim, 2/25).

Abu Hayyan menjelaskan perkataan al-Din ini bermaksud agama dan syarak. Di mana agama yang diterima di sisi Allah SWT atau memberi manfaat di sisi Allah SWT serta diperakui Allah Allah SWT. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 3/171).

Begitu juga firman Allah SWT:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

(Surah Ali ‘Imran: 85)

Abu Hayyan menyatakan, semua syariat-syariat yang ada telah ditolak kecuali syariat (Islam) yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sahaja. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 1/310). Menurut al-Sabuni pula, sesiapa yang mencari syariat selain syariat Islam, selepas diutuskan Nabi SAW untuk dijadikan syariatnya, maka tidak akan sesekali diterima oleh Allah SWT. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/137).

Adapun cabang-cabangnya (furu‘), maka terdapat perselisihan dalam syariat-syariat tersebut, dan inilah yang dimaksudkan dalam bab ini.

Menurut Dr. Ali al-Namlah,  Syar‘u man Qablana (شَرْعُ مَنْ قَبْلَنَا) ialah apa-apa yang dinukilkan kepada kita daripada hukum-hukum syariat orang terdahulu yang ditaklifkan dengannya yang ia disyariatkan oleh Allah SWT. (Lihat al-Muhazzab fi ‘Ilm Usul al-Fiqh al-Muqaran, 2/972). Manakala al-Sulami pula mentakrifkannya sebagai apa-apa yang dinukilkan kepada kita dengan jalan yang sahih daripada syariat-syariat agama samawi yang terdahulu. Manakala “jalan yang sahih” bagi mengetahui Syar‘u man Qablana pula adalah melalui nukilan al-Quran dan al-Sunnah yang sabit. Bukannya berdasarkan kepada apa yang terdapat dalam kitab-kitab yang terdapat pada tangan-tangan orang Yahudi dan Nasrani pada hari ini. Hal ini kerana ia telah mengalami pengubahan dan penyelewengan. (Lihat Usul al-Fiqh allazi La Yasa‘u al-Faqih Jahlahu, hlm. 189).

Secara umumnya, apa yang dinukilkan kepada kita dalam al-Quran dan al-Sunnah berkenaan syariat-syariat para Nabi AS yang terdahulu boleh dibahagikan kepada tiga kategori atau bahagian. Dua bahagian tersebut disepakati oleh para ulama dari segi hukumnya, manakala satu bahagian lagi terdapat perselisihan padanya. Kategori atau bahagian tersebut ialah:

Bahagian Pertama: Apa yang dinyatakan oleh Allah SWT mahupun Rasulullah SAW mengenai syariat-syariat para Nabi terdahulu, tetapi terdapat dalam syariat kita apa yang membatalkannya.

Maka, dalam hal ini, tidak ada khilaf dalam kalangan ulama bahawa ia bukanlah hukum syar‘i dan tidak dikira sebagai dalil mahupun hujah atau syariat buat kita. Misalnya firman Allah SWT:

وَعَلَى الَّذِينَ هَادُوا حَرَّمْنَا كُلَّ ذِي ظُفُرٍ ۖ وَمِنَ الْبَقَرِ وَالْغَنَمِ حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ شُحُومَهُمَا إِلَّا مَا حَمَلَتْ ظُهُورُهُمَا أَوِ الْحَوَايَا أَوْ مَا اخْتَلَطَ بِعَظْمٍ

Maksudnya: “Dan Kami haramkan atas orang-orang Yahudi segala binatang yang berkuku, dan dari lembu dan kambing pula Kami haramkan kepada mereka lemaknya, kecuali (lemak) yang ada pada belakangnya atau yang menyelaputi perkakas dalam perutnya, atau yang bercampur dengan tulang.

(Surah al-An‘am: 146)

Contoh yang lain adalah seperti membunuh diri bagi tujuan bertaubat daripada dosa dan memotong pakaian yang bernajis bagi menyucikannya di sisi Bani Israel.

Bahagian Kedua: Apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan al-Sunnah berkenaan syariat umat terdahulu dan Allah SWT turut memperakuinya sebagai syariat buat kita.

Maka, tidak ada khilaf dalam kalangan ulama bahawa ia adalah hukum syar‘i yang wajib diikuti oleh kaum Muslimin serta turut disyariatkan kepada kita. Akan tetapi dalil yang mensabitkannya adalah sebagaimana yang terdapat dalam syariat kita dan bukannya yang terdapat dalam syariat para Nabi yang terdahulu. Misalnya firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

(Surah al-Baqarah: 183)

Menurut Dr. ‘Iyadh al-Sulami, ayat ini menunjukkan bahawa puasa adalah suatu amalan yang telah menjadi syariat kepada umat-umat sebelum kita, dan kemudiannya ia diwajibkan pula ke atas kita.

Bahagian Ketiga: Apa yang dinukilkan kepada kita daripada syariat para Nabi yang terdahulu tetapi tidak ada dalam syariat kita yang menunjukkan bahawa ia turut disyariatkan mahupun telah dibatalkan (dimansuhkan).

Misalnya, firman Allah SWT:

وَلِمَن جَاءَ بِهِ حِمْلُ بَعِيرٍ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta.

(Surah Yusuf: 72)

Menurut Dr. ‘Iyadh al-Sulami, ayat ini menunjukkan mengenai pensyariatan ju‘alah.[1]

Maka, dalam hal ini para ulama telah berbeza pendapat mengenai hukumnya; sama ada ia menjadi hujah dan sumber pensyariatan kepada dua pendapat:

Pendapat pertama, ia menjadi hujah dan turut disyariatkan kepada kita dari segi wajib diikuti dan dilaksanakan. Ini merupakan pendapat Hanafiyyah, Hanabilah, sebahagian Malikiyyah dan sebahagian Syafi‘iyyah. Mereka berhujah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ ۖ فَبِهُدَاهُمُ اقْتَدِهْ

Maksudnya: “Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka.

(Surah al-An‘am: 90)

Allah SWT telah memerintahkan Nabi-Nya untuk mengikuti petunjuk para Nabi yang telah diberi petunjuk sebelumnya. Maka perintah kepada Rasulullah juga adalah perintah buat umatnya.

Begitu juga Rasulullah SAW telah merujuk kepada kitab Taurat dalam hukuman rejam terhadap seorang Yahudi dan syariat yang datang sebelum kita adalah syariat bagi nabi yang terdahulu. Jadi, terdapatnya hukum tersebut dalam sumber-sumber syariat kita, tanpa ada yang memansuhkannya menunjukkan bahawa ia juga adalah syariat bagi kita. Asalnya adalah semua syariat-syariat samawi ini adalah sama dan akidah kita menyuruh kita untuk mengikuti para rasul yang terdahulu dan mengambil petunjuk daripada mereka. Malah hukum qisas terhadap nyawa adalah sabit di sisi kita secara sepakat ulama, meskipun ayat yang menunjukkan kepada perkara itu merujuk kepada Bani Israel.

Selain itu, firman Allah SWT:

ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا

Maksudnya:Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar.”

(Surah al-Nahl: 123)

Dalam ayat di atas, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW agar mengikuti millah (مِلَّةَ) Nabi Ibrahim AS, dan millah Nabi Ibrahim ialah agama dan syariatnya.

Begitu juga firman Allah SWT:

شَرَعَ لَكُم مِّنَ الدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا

Maksudnya: “Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara agama yang Dia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh.”

(Surah al-Syura: 13)

Dalam ayat di atas, Allah SWT telah menjelaskan bahawa Dia telah mensyariatkan bagi kita apa yang Dia telah syariatkan kepada Nabi Nuh AS, maka telah sabitlah bahawa syariat Nabi Nuh itu turut disyariatkan kepada kita selagi mana ia tidak dimansuhkan (dalam syariat kita).

Akan tetapi turut disyaratkan bahawa syariat para Nabi yang terdahulu itu perlu sabit dalam al-Quran atau hadith yang sahih, serta tidak sah untuk merujuk kepada kitab-kitab syariat terdahulu secara putus kerana terdapat kemungkinan adanya penyimpangan dan perubahan di dalamnya. Ini menguatkan lagi bahawa  bahawa syariat yang datang sebelum kita, bukanlah sumber yang tunggal (bersendiri), tetapi mesti berdasarkan kepada al-Quran dan hadith, sekalipun tidak perakuan yang sarih mengenainya.

Pendapat kedua, ia tidak menjadi hujah dan tidak disyariatkan kepada kita.  Ini adalah salah satu pendapat Syafi‘iyyah. Ini kerana syariat para Nabi terdahulu adalah khusus buat kaum mereka. Firman Allah SWT:

 لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا

Maksudnya: “Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).

(Surah al-Ma’idah: 48)

Sedangkan Islam telah memansuhkan syariat-syariat para Nabi terdahulu melainkan apa yang diperakui sebagai syariat kita. Begitu juga hadith Mu‘az (yang menceritakan mengenai perintah Rasulullah kepadanya untuk ke Yaman) tidak menyebutkan mengenai Syar‘u man Qablana termasuk dalam senarai sumber-sumber perolehan hukum dalam syariat kita. (Lihat Usul al-Fiqh allazi La Yasa‘u al-Faqih Jahlahu, hlm. 189-192; al-Wajiz fi Usul al-Fiqh al-Islami, 1/275-277).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

[1] Ju‘alah ialah mewajibkan gantian yang diketahui untuk kerja tertentu, sama ada diketahui atau tidak diketahui, oleh orang yang dikenali atau tidak dikenali.  Maksudnya kerja ini dilakukan oleh seseorang pekerja yang dikenali atau tidak dikenali. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/161).

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *