#2943: Mendidik Anak Dengan Tarbiah Islam

Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato Seri, semoga berada dalam rahmat Allah, setengah  daripada ibu bapa pada masa kini yang sibuk dengan pekerjaan tidak mementingkan anak-anak mereka dari sudut agama contohnya tidak menyuruh anak-anak solat,mengaji dan menghadiri majlis-majlis agama. Namun apa yang saya dapati adalah mereka amat mementingkan pelajaran akademi anak-anak dan mengabaikan pendidikan agama. Mohon pencerahan dan nasihat daripada daripada Dato’? Terima Kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

(Surah al-Tahrim:6)

Qatadah ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: Hendaklah kamu memerintahkan mereka untuk taat kepada Allah dan melarang mereka daripada melakukan maksiat kepada-Nya. Kamu perlu jalankan tanggungjawab terhadap mereka berdasarkan perintah Allah dan membantu mereka untuk menjalankan perintah tersebut. Jika kamu melihat mereka melakukan maksiat kepada Allah SWT, maka halang dan cegahlah mereka daripadanya.( Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/522. )

Sayyid Qutb juga ada menjelaskan ayat di atas bahawa tanggungjawab suami sebagai pemimpin dalam rumah tangga menyelamatkan diri dan keluarganya daripada dijilat api neraka Allah SWT. Tugas ini bukanlah suatu tugasan yang ringan, bahkan ia merupakan suatu tugasan yang berat.(Lihat  Fi Zilal al-Quran, 6/3618.)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami ingin menekankan bahawa walaupun pentingnya pelajaran akademik anak-anak di sekolah dan di luar sekolah yang tidak dapat disangkalkan lagi, namun perlu diingat oleh ibu bapa Muslim bahawa aspek paling penting yang harus diberi perhatian adalah pendidikan agama bagi anak-anak. Ini disebabkan, melalui pendidikan agama yang tepat, anak-anak dapat tumbuh sebagai individu yang mengenal Allah SWT dan teguh berpegang dengan ajaran agama Islam. Ajaran Islam ini merupakan ajaran yang dapat memberikan manfaat yang luas, tidak hanya di dunia tetapi juga di akhirat.

Pendidikan agama yang harus diterapkan dalam kehidupan anak-anak boleh dilihat melalui kisah nabi Ismail melalui firman Allah SWT:

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِسْمَاعِيلَ ۚ إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولًا نَّبِيًّا ‎﴿٥٤﴾‏ وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِندَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا

Maksudnya: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi. (54) Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!

(Surah Maryam:54-55)

Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin ‘Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُم أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ

Maksudnya: “Suruhlah (didiklah) anak-anakmu dengan solat ketika mereka berumur 7 tahun, pukullah mereka jika tidak menunaikan solat ketika berumur 10 tahun.”

Riwayat Abu Dawud (495), al-Tirmizi (407) dan Ahmad (2/187). Imam al-Tirmizi menyatakan: Hadith Hasan Sahih

Nas-nas di atas dapat difahami bahawa tanggungjawab ibu bapa adalah untuk mengarahkan anak-anak agar menunaikan solat, menghalang mereka dari perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT, dan memastikan pelaksanaan kewajiban-kewajiban yang telah ditetapkan oleh-Nya. Semua ini adalah amanah dan tanggungjawab yang harus dipikul oleh ibu bapa dengan penuh kesungguhan.

Telah dijelaskan dalam kitab Maui’zoh al-Mu’minin Min Ihya ‘Ulum al-Din bahawa: Dalam membimbing anak-anak, ibu bapa perlu mengajarkan mereka tentang patuh kepada ibu bapa, guru, dan yang lebih tua dalam kalangan ahli keluarga  atau yang lain. Walaupun mereka telah mencapai usia mumayyiz, ibu bapa tetap harus memastikan mereka tidak mengabaikan kebersihan, solat, dan bahkan mendorong mereka untuk berpuasa beberapa hari dalam bulan Ramadhan.

Lebih dari itu, anak-anak perlu diajar tentang prinsip-prinsip syariat dan diingatkan akan akibat buruk mencuri, memakan makanan yang haram, pengkhianatan, serta kebohongan. Mereka juga sepatutnya diberitahu tentang perkara-perkara mungkar yang lain.(Lihat Maui’zoh al-Mu’minin Min Ihya ‘Ulum al-Din, 186)

Imam Al-Ghazali dalam isu ini beliau menyatakan: Dalam mendidikan anak-anak  hendaklah menyibukkan mereka dalam mempelajari Al-Quran, hadis-hadis, kisah-kisah orang soleh, agar cinta anak-anak kepada orang  yang berbuat baik tertanam dalam diri mereka. (Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/73)

Justeru kami katakan,perkara asas yang perlu diambil perhatian kepada ibu bapa adalah memastikan anak-anak dididik dengan ajaran agama agar mereka dapat memahami segala tuntutan syara’ dan mengamalkan apa yang diajar oleh agama disamping mementingkan pelajaran akademi anak-anak demi masa depan mereka.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahua’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *