#3026: Was-was Memakai Gelang Berbentuk Daun Clover

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini saya ada beli gelang berbentuk Daun Clover. Namun, saya menjadi was-was sama ada boleh untuk saya memakainya kerana apabila saya rujuk kepada artikel sebelum ini dikatakan tidak boleh memakai gelang atau rantai berbentuk daun clover.

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam artikel sebelum ini, kami telah jelaskan berkenaan hukum memakai rantai atau gelang berbentuk daun clover:

#1437: Rantai / Gelang Clover[1]

Oleh itu, menjawab persoalan di atas kami nyatakan lambang salib merupakan lambang yang khusus bagi agama Kristian. Oleh sebab itu, haram bagi seseorang yang memakai lambang tersebut bagi tujuan meniru atau menyerupai orang kafir. Namun, sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini bagi bentuk Daun Clover, ia bukanlah simbol khusus bagi agama Kristian. Maka menurut Dr Samiah Abdullah Bukhari, sesuatu perkara yang terangkat  (tidak lagi menjadi syiar sesuatu agama atau kaum), maka ia diharuskan (dibolehkan). (Lihat Dawabit al-Tasyabbuh al-Manhiy ‘Anhu, 34-35)

Justeru itu, dalam isu ini ia kembali kepada hukum harus (dibolehkan) apabila illahnya (sebab) iaitu menjadi syiar yang khusus bagi sesuatu agama atau kaum telah terangkat. Sepertimana kaedah fiqh menyebut:

الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَ عَدَمًا

Maksudnya: “Keberadaan sesuatu hukum itu, bergantung kepada illahnya, sama ada wujud ataupun tidak.”

Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dan sentiasa berjalan atas landasan kebenaran. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

[1] https://maktabahalbakri.com/1437-rantai-gelang-clover/

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *