#3034: Kematian Ulama Sebagai Musibah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kematian ulama banyak membawa musibah dan kerugian kepada ummah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Seperti yang dinyatakan ulama adalah pewaris para Nabi dan menjadi pelita kepada ummah di mana ia menerangi dengan panduan taufik dan hidayah daripada Ilahi. Ilmu dan hikmah yang dimilikinya sudah pasti amat berguna kepada ummah agar mereka tidak terbelenggu dalam kejahilan yang menyebabkan mereka begitu jarak daripada petunjuk Ilahi.

Selepas hampir puluhan tahun para ulama mengutip mutiara ilmu dan kemudian mengajarnya kepada khalayak maka sudah pasti ia bukan semata-mata bentuk pengajaran tetapi tarbiah dan akhlak turut disertakan sekali. Disamping itu, qudwah dan uswah yang baik dipamerkan agar benar-benar bersebati dalam masyarakat.

Kematian ulama adalah musibah besar kepada ummah, kerana biasanya manusia mampu menggantikan jawatan tetapi tidak mampu menggantikan ilmu, sikap dan nilai yang dimiliki oleh seseorang. Bacalah sejarah maka kita akan dapati ulama yang berpengaruh akan begitu terkesan pada jiwa orang kampung atau mereka. Sudah pasti tidak dapat dicari ganti selepas kematiannya.

Di dalam Al-Quran ada dinyatakan. Firman Allah SWT:

 أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا نَأْتِي الْأَرْضَ نَنقُصُهَا مِنْ أَطْرَافِهَا

Maksudnya: “Mengapa mereka yang kafir itu masih berdegil dan tidak mahu memerhatikan bahawa kekuasaan kami sentiasa menakluk bumi (yang mereka diami) dengan menjadikan dia kurang sedikit demi sedikit dari kebaikannya dan kemuliaannya?”

(Surah al-Ra’d: 41)

Ata’ dan ramai ulama menafsirkan bumi kurang sedikit demi sedikit memberi maksud kematian para ulama dan hilangnya para fuqaha. Firman Allah SWT:

وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَى

Maksudnya: “Demi bintang semasa ia menjunam.”

(Surah al-Najm: 1)

Imam al-Nasafi berkata: “Allah bersumpah dengan orang alim apabila ia meninggal dunia.” Nabi Muhammad SAW juga bersabda seperti dalam hadis:

 إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا، يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ، حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا، اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا، فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba- hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.”

Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)

Sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW juga ada menyatakan berkenaan dengan kematian para ulama:

  • Daripada al-Hasan, mereka (‘Aisyah, Ibn Mas’ud dan lain-lain) berkata:

مَوْتُ الْعَالِمِ ثُلْمَةٌ فِي الإِسْلامِ لا يَسُدُّهَا شَيْءٌ مَا اخْتَلَفَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ

Maksudnya: “Matinya seorang alim adalah seperti patahnya mercu tanda Islam yang tidak dapat ditampungnya sesuatu, walaupun bersilih ganti malam dan siang.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1590), al-Bazzar (171), al-Darimi (333) dan al-Baghawi dalam Syarh al- Sunnah (1/317)

Daripada Abu Darda’ RA, berkata:

 مَوْتُ الْعَالِمِ مُصِيبَةٌ لَا تُجْبَرُ، وَثُلْمَةٌ لَا تُسَدُّ، وَهُوَ نَجْمٌ طُمِسَ، مَوْتُ قَبِيلَةٍ أَيْسَرُ مِنْ مَوْتِ عَالِمٍ

Maksudnya: “Kematian seorang alim merupakan musibah yang tidak tertanggung dan patahnya mercu tanda Islam yang tidak dapat ditampungnya, seolah-olah bintang yang terpadam cahayanya dan mati satu qabilah atau kaum lebih ringan daripada mati seorang alim.”

Riwayat al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (1/206) dan al-Albani dalam Silsilah al-Ahadis al-Dhaifah (4838)

Daripada Ali RA, berkata:

إِذَا مَاتَ الْعَالِمُ ثُلِمَ فِي الإِسْلامِ ثُلْمَةٌ لا يَسُدُّهَا شَيْءٌ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Apabila matinya seorang alim nescaya dipatahkan mercu tanda Islam yang tidak mungkin dapat ditampungnya oleh sesuatu hingga hari Kiamat.”

Riwayat al-Syaukani dalam Fawaid Majmu’ah (287), al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’ (1/105) dan al-Zurkani dalam Mukhtasar al-Maqasid (75)

Daripada Umar RA, katanya:

لَمَوْتُ أَلْفِ عَابِدٍ قَائِمٍ اللَّيْلَ صَائِمٍ النَّهَارَ أَهْوَنُ مِنْ مَوْتِ عَاقِلٍ

Maksudnya: “Mati seribu orang ahli ibadat yang berqiamullail dan puasa sunat di siang hari lebih ringan daripada mati seorang yang berakal lagi alim.”

Sebahagian pendapat ulama tentang kematian ulama:

  • Daripada Abi Ja’far rahimahullah berkata:

مَوْتُ عَالِمٍ أَحَبُّ إِلَى إِبْلِيسَ مِنْ مَوْتِ سَبْعِينَ عَابِدًا

Maksudnya: “Mati seorang alim lebih disukai oleh Iblis daripada mati tujuh puluh orang ahli ibadat.”

Riwayat al-Baihaqi (4/344) dan Abu Nu’aim (3/183)

  • Pernah ditanya kepada Sa’id Bin Jubair: “Apakah alamat binasanya manusia?

Jawabnya: “Dengan kematian para ulama mereka.”

Daripada Nas dan kenyataan di atas, jelas menunjukkan kepada kita betapa ilmu, hikmah dan juga para ulama mempunyai kelebihan yang tersendiri. Justeru apabila berlaku kematian ulama, maka sebenarnya cacatlah dunia ini dan umat manusia dengan terpadamnya pelita atau obor yang menyuluh kehidupan mereka.

Seperkara yang perlu diingati, kematian para ulama biasanya akan dirasai oleh generasi dan kehilangannya begitu terasa sehingga membawa kepada sebutan dan nostalgia yang indah tatkala wujudnya ulama tersebut di kalangan masyarakat. Ini kerana mereka diibaratkan seperti bintang dilangit yang mana ramai yang boleh menjadikan mereka pedoman seperti kata Abu Muslim al-Khaulani.

Semoga para ulama diberkati Allah dan ilmu mereka terlebih dahulu dapat diambil dan dikutip dari mulut mereka oleh generasi selepasnya agar ilmu itu semakin berkembang.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *