#3053: Menjadi Wali kepada Anak Perempuan Bapa Saudara

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah saya (lelaki) menjadi wali kepada anak perempuan bapa saudara (adik ayah)? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asya’ri bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لَا نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ

Maksudnya: “Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali dan juga dua orang saksi.

Riwayat al-Tirmizi (1102)

Hadith ini menunjukkan bahawa seorang perempuan tidak dibolehkan melakukan akad nikah untuk dirinya sendiri melainkan walinya dan tidak boleh juga dia melakukan akad nikah untuk perempuan lain. Yang demikian merupakan pandangan ulama seperti Imam al-Syafi’I, Sufyan al-Thauri, Imam Ahmad dan Abu Ishaq.  (Lihat al-Tamhid, 12/21 ).

Selain itu, terdapat riwayat daripada Aisyah, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ إِذْنِ وَلِيِّهَا فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَإِنْ دَخَلَ بِهَا فَلَهَا المَهْرُ بِمَا اسْتَحَلَّ مِنْ فَرْجِهَا

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, jika dia menggaulinya maka dia berhak mendapat maharnya sebagai ganti terhadap apa yang dihalalkan daripada kemaluannya.

Riwayat Tarmizi (1102)

Dalam susunan atau tertib wali perempuan yang sah mengikut Hukum Syara’ adalah seperti berikut:

  • Bapa Kandung.
  • Datuk Sebelah Bapa Ke Atas.
  • Adik Beradik Lelaki Seibu-sebapa.
  • Adik Beradik Lelaki Sebapa.
  • Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
  • Anak Saudara Lelaki Sebapa.
  • Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
  • Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Sebapa.
  • Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
  • Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
  • Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
  • Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
  • Moyang Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Moyangnya.
  • Moyang Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Moyangnya.
  • Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa (Sepupu lelaki).
  • Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa (Sepupu lelaki).
  • Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
  • Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
  • Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
  • Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
  • Wali Hakim. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/61).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan mengikut susunan wali yang telah dinyatakan di atas, sepupu lelaki sebelah ayah boleh menjadi wali kepada anak perempuan bapa saudara iaitu sepupu perempuan sekiranya tiada wali akrab mengikut susunan wali. Namun sekiranya masih lagi ada wali yang terdekat, maka tidak dibolehkan wali ab‘ad iaitu sepupu lelaki menjadi wali.  Yang demikian, kerana syara‘ telah menetapkan susunan wali mengikut tertib sebagaimana yang kami telah nyatakan di atas.

Imam al-Muti‘i menyatakan bahawa sekiranya seorang perempuan mempunyai dua orang wali, maka perwalian diberikan kepada yang lebih akrab (hampir) seperti dalam pewarisan, dan jika dikahwinkan oleh wali yang seterusnya, maka perkahwinan tersebut tidak sah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 16/162)

Ibn Qudamah menyatakan, jika wali yang lebih jauh menikahkan wanita dengan kehadiran wali yang lebih dekat, dan wanita tersebut menyetujuinya tanpa izin wali yang lebih dekat, maka pernikahan tersebut tidak sah. Yang demikian juga merupakan pandangan Imam al-Syafi‘i. (Lihat al-Mughni,28/7).

Justeru kami katakan wali akrab lebih berhak untuk menikahkan seorang wanita kerana kedudukannya yang teratas dalam tertib wali pernikahan. Namun sekiranya tiada wali akrab dibolehkan wali ab‘ad mengambil alih perwalian tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *