#3054: Irbadh bin Sariyah; Siapakah Dia?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Saya tertarik dengan nama Irbadh dan diberitahu kepada saya Irbadh bin Sariyah adalah salah seorang sahabat Nabi SAW. Boleh ceritakan siapakah dia dan benarkah dia pernah meriwayatkan hadith?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Abu Najih al-Irbadh bin Sariyah RA

Nama beliau ialah Irbadh bin Sariyah al-Salami atau dikenal dengan nama Abu Najih. Beliau adalah salah seorang sahabat yang berasal dari golongan Suffah dan beliau merupakan salah satu sebab turunnya ayat al-Quran:

وَلَا عَلَى الَّذِينَ إِذَا مَا أَتَوْكَ لِتَحْمِلَهُمْ قُلْتَ لَا أَجِدُ مَا أَحْمِلُكُمْ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Dan tiada (pula) berdosa atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi mereka kendaraan, lalu kamu berkata: “Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu.”

(Surah al-Taubah: 92)

Beliau tinggal di Syam dan daripada kalangan sahabat yang meriwayatkan hadis daripada beliau ialah Abu Rohm dan Abu Amamah. Manakala daripada kalangan tabiin ramai iaitu orang-orang yang berada di Syam ketika itu. Beliau juga salah seorang sahabat yang menangis kerana sangat ingin berjihad dan bertempur bersama Rasulullah SAW dalam perang Tabuk, di mana peperangan tersebut merupakan pertempuran yang penuh dengan kesukaran. Tambahan pula, beliau tidak tergolong dalam kalangan orang yang dipersiapkan oleh Nabi SAW untuk mengikuti peperangan tersebut.

Beliau berkata bahawa dirinya adalah orang keempat yang memeluk Islam dan wafat pada tahun 75 Hijrah.

Adapun hadith, daripada Abi Najih al-Irbadh bin Sariah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW memberi nasihat kepada kami yang membuatkan hati kami bergetar dan air mata kami bercucuran. Maka kami berkata: Ya Rasulullah, seolah-olah ini merupakan nasihat perpisahan, maka berilah kami wasiat. Rasulullah SAW bersabda:

أَوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللَّه وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ تَأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ، فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشَ مِنْكُمْ فَسَيرَى اخْتِلَافًا كَثِيرَاً؛ فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِدِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ كلَّ مُحدثة بدعة، وكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ

Maksudnya: “Saya wasiatkan kamu agar bertakwa kepada Allah SWT, tunduk dan patuh kepada pemimpin kamu meskipun yang memimpin kamu adalah seorang hamba. Akan ada dalam kalangan kamu yang hidup (setelah ini) akan menyaksikan banyaknya berlaku perselisihan. Hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk gigitlah peganglah dengan kuat) dengan geraham. Hendaklah kamu menghindari perkara yang diada adakan, kerana semua perkara bid’ah adalah sesal.”

Riwayat Abu Daud (4607) dan al-Tirmizi (2678), beliau berkata: Hasan sahih

Semoga beliau ditempatkan bersama dengan orang-orang yang soleh dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 13 September 2023 bersamaan 27 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *