Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah sihir boleh disembuh dengan sedekah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith Rasulullah SAW:

دَاوُواْ مَرْضَاكُمْ بِالصَّدَقَةِ

Maksudnya: “Rawatlah orang-orang sakit dalam kalangan kamu dengan bersedekah.”

Riwayat Abu Daud dalam al-Marasil (105) daripada al-Hasan al-Basri; al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3/1310) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2/274). Syeikh al-Ghumari menilai hadis ini sebagai sahih.

Diceritakan di dalam kitab Min ‘Ajaibi al-Sadaqah, oleh Khalid bin Sulaiman al-Rib’ie hlm. 57:

Di satu tempat, beberapa wanita sedang berbincang-bincang tentang keajaiban sedekah. Ketika para wanita itu membicarakan tentang keutamaan sedekah, tiba-tiba salah seorang wanita yang ada di antara mereka (yang ketika itu sedang menderita kerana terkena sihir) membuka rantainya yang mahal yang sedang dipakainya. Rantai itu kemudian dia berikan kepada salah seorang kawannya untuk dijual dan hasil daripada jualan itu disedekahkan kepada keluarga-keluarga yang miskin.

Ketika kawannya tersebut pergi ke tempat penjual emas, penjual itu ingin menimbangnya, maka penjual itu pun mengeluarkan batu perhiasan yang terletak di tengah rantai tersebut. Penjual itu kehairanan dan kebingungan dengan apa yang dilihatnya, kerana ketika dia memeriksa batu itu dengan teliti didapati ada buhul sihir di dalam mata batu perhiasan rantai itu. Penjual itu kemudian mengeluarkannya, dan alhamdulillah, akhirnya sembuhlah perempuan pemilik rantai tersebut dari penyakit yang selama ini dideritainya. (Lihat Keajaiban Sedekah hlm. 132-134)

Kami akhiri dengan surah al-Falaq:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ‎﴿١﴾‏ مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ‎﴿٢﴾‏ وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ ‎﴿٣﴾‏ وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ ‎﴿٤﴾‏ وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, “Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; “Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya.

(Surah al-Falaq: 1-5)

Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445

Leave a Reply