Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada seorang kawan Muslim yang tinggal di Sapporo, Jepun. Beliau berhijrah ke sana atas urusan bekerja dan mungkin akan tinggal dalam tempoh 2 atau 3 tahun ke depan. Beliau mempunyai masalah dalam mendapatkan makanan halal seperti ayam dan daging di kawasan tempat tinggalnya. Kalau ada pun kedai makanan halal, jarak perjalanan lebih kurang 30 minit jika menaiki basikal atau train dan harganya juga jauh lebih mahal dari harga daging tempatan.

Jadi saya nak tanya apa hukum jikalau dia membeli dan makan daging sembelihan yang dia beli dari pasar raya tempatan di kawasan perumahannya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 فَكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كُنتُم بِآيَاتِهِ مُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayat-Nya.”

(Surah al-An‘am: 118)

Imam Ibn Kathir menyebutkan, di dalam ayat di atas Allah SWT membenarkan sekalian hamba-Nya untuk makan daripada sembelihan-sembelihan yang disebutkan nama Allah. Ini bermakna, haram hukumnya untuk makan sembelihan yang tidak disebutkan nama Allah, sebagaimana yang dilakukan oleh golongan kuffar yang mensyirikkan Allah dengan memakan daripada bangkai (binatang yang tidak disembelih), sembelihan atas nama berhala dan selainnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/289)

Kemudian, Allah SWT menyebutkan lagi dalam firman-Nya:

وَمَا لَكُمْ أَلَّا تَأْكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ ۗ

Maksudnya: “Dan tidak ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya.”

(Surah al-An‘am: 119)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat di atas berkata, Allah SWT mengatakan, apakah yang menghalang kalian daripada memakan sesuatu daripada sembelihan-sembelihan yang disebutkan nama tuhan kalian (Allah SWT), meskipun kalian menyembelih sendiri dengan tangan-tangan kalian? Sedangkan Allah SWT telah menerangkan perkara yang halal dan perkara yang haram, dan Dia juga telah menghilangkan kesamaran dan syak wasangka. Kemudian, Allah SWT memberikan pengecualian pada perkara yang haram tersebut dalam keadaan darurat. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 7/73)

Menelusuri dua ayat dari firman Allah SWT yang kami bawakan di atas, dapat difahami bahawa Syariat Islam ini amat menitikberatkan soal pengambilan makanan halal, terutamanya yang melibatkan binatang sembelihan.

Dalam Islam juga, binatang yang halal dimakan adalah yang disembelih oleh orang Islam atau Ahli Kitab. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ ۖ

Maksudnya: “Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka).”

(Surah al-Ma’idah: 5)

Imam Ibn Kathir menyebutkan, ini adalah perkara yang telah disepakati di kalangan para ulama’, bahawa sembelihan-sembelihan Ahli Kitab itu halal untuk kaum Muslimin. Ini kerana mereka beri‘tiqad pengharaman sembelihan dengan nama selain daripada nama Allah SWT, dan mereka juga tidak menyebutkan nama selain daripada nama Allah SWT atas semelihan mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/35)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Rafi‘ bin Khadij R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا أنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللهِ عَلَيْهِ فَكُلْ

Maksudnya: “Apa sahaja (haiwan yang harus dimakan) yang dialirkan darahnya dan disebutkan nama Allah ke atasnya, maka makanlah.”

Riwayat al-Bukhari (3075)

Perkara yang halal dan perkara yang halal juga  sudah jelas disebutkan. Bahkan ramai ilmuan telah mengeluarkan kajian dan fatwa tentang hukum-hakam binatang-binatang dan daging sembelihan. Sekiranya kita sengaja memilih untuk ambil perkara yang syubhah, iaitu yang diragui tentang status halalnya, maka besar kemungkinan untuk kita tersilap mengambil sesuatu yang sebenarnya haram bagi kita. Benarlah sabda Rasulullah SAW sebagaimana dalam riwayat al-Nu‘man bin Basyir R.A, Baginda SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (107)

Kaedah Umum dalam Bab Daging Sembelihan

Kebarangkalian untuk mengambil sesuatu yang haram daripada sembelihan yang tidak diketahui status halalnya ini amat tinggi. Ini dikuatkan lagi apabila para ulama’ meletakkan suatu kaedah penting dalam bab sembelihan, iaitu hukum asal bagi suatu sembelihan itu adalah haram sehinggalah diketahui ianya disembelih atas nama Allah SWT. Imam al-Nawawi menyebutkan, jika timbulnya syak wasangka pada sembelihan, maka ia tidak halal dimakan kerana hukum asalnya adalah haram, dan tidak terdapat perselisihan pada masalah ini. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/78)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa‘di melontarkan beberapa potongan syair:

وَالْأَصْلُ فِي الْأَبْضَاعِ وَاللُّّحُومِ    ***      وَالنَّّفْسِ وَالْأَمْوَالِ لِلْمَعْصُومِ

 

تَحْرِيمُهَا حَتَّى يَجِيءَ الْحَلُّ  ***      فَافْهَمْ هَدَاكَ اللهُ مَا يُمَلُّ

“Dan (hukum) asal pada persetubuhan, daging,

          nyawa dan harta adalah terpelihara;

(maka) pengharamannya (kekal) sehingga datangnya (dalil) yang menghalalkan.

           Oleh itu fahamilah, moga Allah memberikan kau petunjuk ”

Imam al-Syatibi juga menyebutkan, haiwan-haiwan; hukum asal memakannya adalah dilarang, sehinggalah terhasilnya sembelihan yang disyari‘atkan. (Lihat al-Muwafaqat, 1/401)

Kesimpulan

Melihat kepada penghujahan para ulama’ yang dibawa, kami katakan bahawa hukum membeli daging di pasaraya tempatan seperti yang disebutkan oleh saudara itu boleh dibahagikan kepada dua:

  • Jika diyakini bahawa daging yang dibeli itu disembelih dengan kaedah Islam, dan disembelih oleh orang Islam atau Ahli Kitab, maka halal untuk dimakan daging tersebut.
  • Jika terdapat was-was pada kaedah sembelihan daging tersebut, atau penyembelihnya bukan orang Islam, maka tidak halal untuk dimakan daging tersebut.

Keadaan yang disebutkan oleh saudara masih belum dikategorikan sebagai darurat kerana masih ada alternatif lain yang boleh diambil. Maka berhati-hatilah daripada membuat keputusan tergesa-gesa dengan membeli daging sembelihan dari pasar raya tempatan yang tidak diketahui status halalnya.

Sewajarnya bagi mereka yang tinggal di negara bukan Islam atau negara minoriti muslim, untuk berusaha mencari alternatif lain untuk membolehkan dia mendapat bekalan daging halal di negara tersebut. Kami mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan beberapa cara yang mungkin boleh membantu rakan saudara untuk makan daging halal di negara tersebut:

  • Sekiranya kedai yang menjual daging halal jauh daripada boleh cuba untuk membeli secara pukal atau banyak sebagai bekalan jangka masa yang panjang.
  • Berusaha mencari dan menjalinkan persahabatan sesama rakan muslim ada di negara tersebut, dalam masa yang sama mendapatkan maklumat tentang pembekal makanan halal di sana.
  • Belajar cara menyembelih yang bertepatan dengan kaedah Islam, kemudian menyembelihnya sendiri bagi mendapatkan stok daging.

Ini adalah lebih selamat dan jauh daripada terjerumus ke dalam makanan yang syubhah mahupun diharamkan. Untuk maklumat tambahan, saudara boleh merujuk artikel kami: Makan Daging Ayam yang Dijual oleh Penduduk Tempatan di Tempat Minoriti Islam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا رِزْقًا وَاسِعًا حَلَالًا طَيِّبًا مُبَارَكًا وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah kami keluasan rezeki yang halal dan baik serta diberkati, sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pemberi rezeki.”

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 22 September 2023 bersamaan 6 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply