Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya dalam dilema ketika menerima berita kelahiran anak luar nikah salah seorang ahli keluarga saya. Apakah respon sewajarnya bagi seseorang ketika menerima berita kelahiran anak luar nikah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, setiap anak yang lahir dalam keadaan fitrah, yakni atas agama yang benar iaitu Islam. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Riwayat al-Bukhari (1385) dan Muslim (2658)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, pandangan yang tepat tentang maksud ‘fitrah’ dalam hadith adalah fitrah Islam, dan itulah yang Allah SWT telah fitrahkan dalam diri setiap manusia sebagaimana dalam firman-Nya:

 وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَا ۛ أَن تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَافِلِينَ

Maksudnya: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): ‘Bukankah Aku tuhan kamu?’, Mereka semua menjawab: ‘Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.’ Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: ‘Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini’.”

(Surah al-A‘raf: 172)

Ini bermaksud, fitrah itu adalah aqidah yang selamat daripada kesesatan dan penerimaan terhadap aqidah yang benar (Islam). Ini tidaklah melazimkan seseorang itu lahir atas fitrah, yakni ketika lahir itu dia sudah beragama Islam. Sesungguhnya Allah SWT mengeluarkan kita dari perut ibu-ibu kita dalam keadaan tidak tahu apa-apa, akan tetapi hatinya selamat dan penerimaan serta keinginannya terhadap kebenaran, iaitu Islam. Sekiranya dia ditinggalkan tanpa ada sesiapa yang mengubah fitrahnya, dia tidak akan menjadi selain daripada muslim. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 4/245)

Dilema dan Penerimaan Kelahiran Anak Luar Nikah

Agama Islam merupakan agama yang adil, tidak membudayakan berat sebelah sama ada anak yang lahir tersebut daripada nikah yang sah atau tidak. Hal ini kerana anak yang lahir itu tidak memikul kesalahan yang dilakukan oleh ibu bapanya.

Allah SWT telah berfirman:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ

Maksudnya: “Dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).”

(Surah al-An‘am: 164)

Dosa perbuatan zina itu hanya perlu dipikul oleh kedua ibu bapanya dan tidak wajar diletakkan di atas pundak si anak. Bahkan, sepatutnya kita sebagai dewasa muslim bermuamalat dan bergaul dengan anak-anak luar nikah ini dengan sebaiknya, disamping memberikan mereka sokongan moral agar tidak tewas dek cabaran arus dunia moden yang terkadang memandang hina terhadap anak-anak yang tidak bersalah ini. Allah SWT berfirman:

كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ

Maksudnya: “Tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.”

(Surah al-Tur: 21)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas berkata, Allah SWT mengkhabarkan bahawa seseorang itu tidak akan memikul dosa orang lain, sekalipun orang tersebut adalah bapa atau anak. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/404)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan, anak zina itu sekiranya dia beriman dan beramal soleh, nescaya dia juga akan masuk syurga. Jika dia tidak berbuat demikian (beriman dan beramal soleh), maka dia dihukum berdasarkan perbuatannya sepertimana orang lain dihukum. Dan suatu hukuman itu bergantung kepada amalannya dan bukanlah nasab keturunannya. (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 5/83)

Sungguh perkataan ini amatlah benar kerana ianya bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.”

(Surah al-Baqarah: 82)

Dan hendaklah kita sama-sama sentiasa mengingati bahawa nasab keturunan itu tidak menjadikan seseorang itu mulia dan tinggi darjatnya di sisi Allah SWT, akan tetapi yang menjadi kayu ukur penilaian adalah ketaqwaan seseorang kepada Sang Pencipta. Oleh yang demikian, Allah SWT berfirman:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Diriwayatkan juga daripada Jabir bin Abdullah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا أيُّها النَّاسُ إنَّ ربَّكمْ واحِدٌ، ألَا لَا فَضْل لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ، وَلاَ لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلاَ لأَِحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، وَلاَ أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ إِلاَّ بِالتَّقْوَى

Maksudnya: “Wahai Manusia, sesungguhnya tuhan kamu semua adalah yang esa, tidak ada kelebihan bagi orang arab ke atas yang bukan arab, dan bukan juga bagi bukan arab ke atas orang arab, dan tidak ada kelebihan bagi yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam dan bukan juga yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah kecuali dengan (kelebihan) taqwa.”

Riwayat al-Baihaqi (5137) di dalam Syu‘ab al-Iman. Hadith ini dinilai sahih oleh Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij beliau. (Lihat Zad al-Ma’ad, 5/144)

Disebutkan di dalam Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, apabila meninggalnya anak zina atas agama Islam, maka dia akan masuk Syurga. Statusnya sebagai anak zina tidak memberi sebarang kesan kerana perbuatan zina itu tidak dilakukannya, bahkan orang lain yang melakukannya. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 3/482)

Kesemua penghujahan yang kami bawakan ini bukanlah bertujuan untuk menjustifikasi perbuatan zina yang jelas pengharamannya dan menggalakkan agar tidak menjaga nasab keturunan. Akan tetapi, ianya wajar disebutkan sebagai renungan bersama supaya kita tidak merendahkan seseorang itu hanya kerana statusnya sebagai anak yang lahir luar nikah.

Tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan oleh seseorang wali yang menerima perkhabaran tentang kelahiran  anak luar nikah adalah menyambutnya sepertimana dia menyambut anak yang lain, iaitu dengan mengumandangkan azan di telinga kanan, iqamah di telinga kiri, dan mendoakan kebaikan buat anak tersebut.

Sebaiknya, anak tersebut juga perlu dididik dan mendapat tarbiah yang secukupnya seperti anak yang lain. Hal ini kerana, boleh jadi anak tersebut kelak membesar menjadi seorang yang soleh dan solehah, berbakti dan berjasa kepada masyarakat.

Semoga dengan penerangan ringkas ini dapat membuka mata kita dalam menilai seseorang itu, di samping membina masyarakat yang lebih positif dan bijak dalam menangani sesuatu masalah atau isu yang berkaitan.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply