Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kelebihan membaca doa seperti, “Rabbana Atina Fiddunya Hasanah…”?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Doa ini juga merupakan antara doa yang sering diucapkan oleh Nabi SAW. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas R.A, beliau berkata:

كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Doa Nabi SAW yang paling sering diucapkan ialah:

 اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Ya Allah, Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.”

Riwayat al-Bukhari (6389) dan Muslim (7016)

Imam Muslim menambah dalam riwayatnya:

وَكَانَ أَنَسٌ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ بِدَعْوَةٍ دَعَا بِهَا، فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ بِدُعَاءٍ دَعَا بِهَا فِيهِ

Maksudnya: “Apabila Anas hendak berdoa dengan satu doa, maka dia berdoa dengan doa tersebut. Apabila dia hendak berdoa dengan beberapa doa, maka dia menyertakan doa tersebut di dalamnya.”

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Nabi SAW sering berdoa dengan doa ini kerana pada doa ini terkumpul makna doa seluruhnya, baik yang berhubungan dengan perkara dunia mahupun akhirat. (Lihat Fath al-Bari, 14/430)

Imam Ibn Kathir pula menjelaskan bahawa doa ini meliputi pelbagai kebaikan di dunia dan menjauhkan segala kejahatan. Ia mencakupi permintaan yang bersifat duniawi seperti kesihatan, rumah yang luas, isteri yang cantik, rezeki yang melimpah, ilmu yang bermanfaat, amal soleh, kenderaan yang baik, pujian dan sebagainya.

Kebaikan di akhirat pula mencakupi masuk ke dalam syurga – yang merupakan kebaikan yang tertinggi – kemudahan hisab dan pelbagai urusan akhirat yang lain. Manakala keselamatan dari api neraka pula bererti juga kemudahan dari pelbagai faktor penyebabnya di dunia, iaitu berupa perlindungan daripada segala dosa dan larangan serta terhindar daripada pelbagai syubhat dan perkara haram. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/390)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply