Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Ruangan dalam bilik saya terhad dan kecil. Jadi, bila hendak solat saya terpaksa solat menghadap ke tandas sebabnya kiblat berbetulan ke arah yang sama. Tetapi pintu tandas itu tertutup. Apakah hukum solat saya itu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, Islam membenarkan umatnya untuk menunaikan solat di mana-mana sahaja bagi menyempurnakan perintah tersebut kecuali pada beberapa tempat seperti tandas atau bilik mandi. Hal ini dijelaskan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى أَنْ يُصَلَّى فِي سَبْعَةِ مَوَاطِنَ فِي الْمَزْبَلَةِ وَالْمَجْزَرَةِ وَالْمَقْبُرَةِ وَقَارِعَةِ الطَّرِيقِ وَفِي الْحَمَّامِ وَفِي مَعَاطِنِ الإِبِلِ وَفَوْقَ ظَهْرِ بَيْتِ اللَّهِ ‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang untuk mendirikan solat di tujuh tempat iaitu tempat (pembuangan) sampah, tempat penyembelihan haiwan, perkuburan, di tengah jalan, tempat pemandian (tandas), tempat unta, dan di atas Kaabah.

Riwayat al-Tirmizi (346)

Begitu juga disebutkan di dalam hadith lain yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A:

الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلاَّ الْمَقْبُرَةَ وَالْحَمَّامَ

Maksudnya: “Bumi seluruhnya adalah masjid (tempat untuk sujud/solat) melainkan perkuburan dan bilik mandi (atau tandas).

Riwayat al-Tirmizi (317)

Menurut al-Mubarakfuri, perkataan hammam (الْحَمَّامَ) merujuk kepada suatu tempat di mana seseorang mandi dengan air panas. Pada asalnya, perkataan itu merujuk kepada air panas (iaitu mandi dengan air panas), kemudian ia dikatakan atau digunakan bagi tempat mandi dengan apa-apa air sekalipun.

Kemudian, beliau menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan kepada larangan untuk mendirikan solat di perkuburan dan bilik mandi (atau bilik air), dan para ulama berselisih pendapat mengenai hukumnya. Imam Ahmad berpendapat bahawa solat yang didirikan di dalamnya adalah tidak sah. Manakala jumhur ulama pula berpendapat, solat yang didirikan adalah sah dengan syarat bersih daripada najis dan ia dihukumkan sebagai makruh. Namun, al-Mubarakfuri kemudiannya menyatakan bahawa zahir hadith menunjukkan ia adalah dilarang. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/219-220).

Selain daripada itu al-Syirazi ada menyatakan bahawa para ashab kami berselisih pendapat mengenai makna larangan solat di dalam bilik mandi. Sebahagian mereka berpendapat dilarang solat di bilik mandi (atau bilik air) adalah kerana ia tempat mensucikan najis. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang itu solat di tempat yang diyakini suci, maka sah solatnya, dan sekiranya dia solat di tempat yang diyakini kenajisannya, maka solatnya tidak sah. Namun, sekiranya dia syak (sama ada tempat itu suci daripada najis ataupun tidak), maka dalam hal ini terdapat dua pendapat sebagaimana halnya orang yang solat di perkuburan.  Manakala sebahagian mereka lagi pula berpendapat, dilarang solat di bilik mandi (atau bilik air) adalah kerana ia merupakan tempat tinggal syaitan, bila mana aurat terdedah di dalamnya. Oleh itu, dihukumkan sebagai makruh untuk mendirikan solat di dalamnya sekalipun diyakini suci daripada najis dan solatnya dikira sah kerana larangan tersebut tidak berkaitan dengan solat itu sendiri. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/122).

Seterusnya Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan kenyataan al-Syirazi di atas menyebutkan, pendapat yang paling sahih (asah) bahawa sebab larangan (solat di bilik mandi/bilik air) kerana ia adalah tempat tinggal syaitan, maka dihukumkan sebagai makruh tanzih dan solatnya adalah dikira sah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/159).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya tidak mengapa seseorang untuk solat menghadap ke arah tandas atau bilik air selagi mana dia masih berada di luar tandas dan kawasan tersebut suci daripada najis.

Hal ini kerana di antara syarat sah solat adalah suci tempat bersolat daripada najis. Tempat bersolat bermaksud ruang yang digunakan oleh orang yang bersolat termasuk tempat berpijak hingga ke tempat sujud yang bersentuhan dengan badannya ketika bersolat. Sehubungan itu, tidak mengapa tempat yang bernajis sekiranya tidak bersentuhan dengan badan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/122-123).

Selain itu, apa yang dilarang adalah seseorang itu solat di dalam tandas atau bilik mandi kerana ia terdedah kepada najis atau merupakan tempat tinggal syaitan. Sekalipun begitu, jika seseorang tetap mendirikan solat di dalamnya di kawasan yang diyakini suci daripada najis, solatnya tetap dikira sah tetapi hukumnya adalah makruh sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas. Justeru, mendirikan solat di luar kawasan tandas yang diyakini bersih adalah lebih-lebih lagi utama untuk dibolehkan, sekalipun berbetulan arah kiblat menghadap ke arah tandas.

Tambahan lagi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Abdullah bin Baz pernah ditanya mengenai seseorang yang solat di dalam biliknya, tetapi arah kiblat selari dengan arah bilik airnya, iaitu berada di hadapannya dan jaraknya dengan bilik air itu hanya lebih kurang semeter. Akan tetapi terdapat pemisah di antara biliknya dengan bilik air itu iaitu dinding yang berkongsi. Justeru, apakah hukum solat yang dilakukannya itu?

Syeikh menjawab, tidak ada masalah dalam hal itu. Apa yang dilarang ialah dia mendirikan solat di dalam bilik air. Adapun kedudukannya di arah kiblat seseorang yang solat atau di sebelah kanannya mahupun di sebelah kirinya tidak ada masalah dalam hal tersebut — yakni tidak mengapa.[1]

Selain itu, dalam soalan lain yang hampir serupa dengan soalan di atas juga pernah diajukan kepada  Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Abdullah bin Baz iaitu jika bilik air berada di arah kiblat orang yang solat, adakah sah solat seseorang yang menghadap ke arahnya? Beliau menjawab, solat yang didirikannya adalah sah dan tidak ada masalah dalam hal itu. Hal ini kerana perkara yang dilarang adalah solat di dalam bilik air. (Lihat Fatawa al-Syeikh Ibn Baz, 2/196).

Meskipun begitu tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian ulama memakruhkan solat menghadap tandas. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr, katanya:

لَا تُصَلِّ إِلَى الْحُشِّ، وَلَا إِلَى الْحَمَّامِ وَلَا إِلَى الْمَقْبَرَةِ

Maksudnya: “Janganlah kamu solat menghadap ke arah tandas, bilik mandi (bilik air) dan perkuburan.

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya (7577)

Dalam riwayat Abdullah bin ‘Amr yang lain datang dengan lafaz:

تُكْرَهُ الصَّلَاةُ إِلَى حَشٍّ وَفِي حَمَّامٍ وَفِي مَقْبَرَةٍ

Maksudnya: “Makruh solat menghadap ke arah tandas, dan begitu juga di dalam bilik mandi (bilik air) dan di perkuburan.” (Lihat al-Ausat fi al-Sunan wa al-Ijma‘ wa al-Ikhtilaf oleh Ibn al-Munzir, 2/183).

Begitu juga terdapat riwayat daripada al-‘Ala’ bin al-Musayyib daripada bapanya dan juga Khaithamah, kedua-duanya berkata:

لَا تُصَلِّ إِلَى حَائِطِ حَمَّامٍ، وَلَا وَسَطَ مَقْبَرَةٍ

Maksudnya: “Janganlah kamu solat menghadap ke arah dinding bilik mandi (bilik air) dan begitu juga di tengah perkuburan.

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya (7579)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa seseorang mendirikan solat menghadap ke arah tandas disebabkan oleh arah kiblat yang berbetulan berada pada arah yang sama selagi mana kawasan itu suci daripada najis dan solat yang didirikan itu juga dikira sah. Hal ini kerana dia tidak solat di dalam kawasan tandas sebaliknya hanya menghadap ke arahnya, sedangkan nas yang thabit melarang seseorang untuk solat di dalam tandas.

Apatah lagi jika seseorang tetap mendirikan solat di dalam tandas atau bilik air di kawasan yang diyakini suci daripada najis, solatnya tetap dikira sah tetapi hukumnya adalah makruh sebagaimana yang kami telah jelaskan di atas. Maka, mendirikan solat di luar kawasan tandas yang diyakini bersih adalah lebih-lebih lagi utama untuk dibolehkan, sekalipun berbetulan arah kiblat menghadap ke arah tandas.

Sekalipun begitu, di sana terdapat sebahagian ulama memakruhkan solat menghadap tandas sebagaimana riwayat yang kami telah sebutkan di atas. Boleh jadi kerana ia dilihat sebagai sesuatu yang kurang elok dari segi adabnya. Ini kerana tandas atau bilik air merupakan tempat yang dikaitkan dengan kotoran dan najis. Sedangkan kita diperintahkan ketika solat untuk menghadap ke arah tempat yang paling mulia iaitu Kaabah. Dalam erti kata lain, seseorang yang menunaikan solat sepatutnya menjauhkan diri dari menghadap tempat-tempat yang kotor lagi hina.

Selain itu, boleh jadi juga kerana dikhuatiri syaitan akan mengganggu solat seseorang. Ini kerana sebagaimana yang diketahui tandas atau bilik air merupakan tempat tinggal syaitan, maka solat menghadap ke arah tempat tinggal syaitan adalah solat yang dilakukan menghadap tempat yang berkemungkinan besar menjadi kawasan laluan syaitan. Selain daripada itu, dikatakan juga antara alasan ia dianggap sebagai makruh kerana kita dilarang menghadap atau membelakangkan kiblat ketika buang air besar dan kecil. Jadi, bagaimana pula jika tempat buang air besar dan kecil berada di arah kiblat kita ketika mendirikan solat? Sudah tentu ia adalah sesuatu yang tidak wajar.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/12577/حكماستقبالالحماماثناءالصلاة. Diakses pada 4 Oktober 2023.

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply