Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan kepada kami tentang tokoh ulama terkemuka Qadhi Iyadh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Qadhi Iyadh adalah Imam, Hafiz yang unik, Syeikhul Islam, al-Qadhi, ‘Allamah, atau nama penuhnya Qadhi Abu al-Fadl ‘Iyadh bin Musa bin ‘Iyadh bin ‘Umar bin Musa bin ‘Iyadh al-Yahsubi al-Andalusi al-Sabti al-Maliki.

 

Tarikh dan tempat lahirnya

Dikatakan Qadhi Iyadh dilahirkan di Sabtah salah satu negeri di Maghribi pada pertengahan bulan Sya’ban tahun 476 H / 1083-84 M, enam bulan selepas Almoravid mengambil alih kota itu. Nenek moyangnya meninggalkan Andalus ke Fez dan kemudian menetap di Ceuta.

 

Pendidikannya

Dikatakan Qadhi Iyadh tidak menuntut ilmu pada peringkat awal sebagai mana yang dinyatakan oleh al-Zahabi. Pada usia 22 tahun, Qadhi ‘Iyadh mendapat kebenaran (ijazah) daripada Hafiz Abu ‘Ali al-Ghasani. Ini membolehkan Qadhi ‘Iyadh mengambil ilmu daripadanya. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 20/213)

Qadhi ‘Iyadh bermusafir keluar dari kota Ceuta dua kali, salah satunya pergi ke Andalus untuk mencari ulama yang dapat dia mempelajari ilmu. Beliau telah berguru dengan Abu Ali al-Salafi dan melaziminya begitu juga mengambil ilmu daripada Abu Abdillah Muhammad Isa al-Tamimi serta al-Qadhi Muhammad bin Abdullah al-Masili.

Antara tahun 507H/1113M dan 508H/1114M Qadhi melawat Cordoba, Almeria, Murcia, dan Granada.

Qadhi ‘Iyadh juga mengambil dan mempelajari hadis daripada:

  • Abu Bahr bin Malangnya
  • Muhammad bin Hamdayn
  • Abu al-Husayn Siraj al-Saghir
  • Abu Muhammad bin ‘Attab
  • Hisyam bin Ahmad dan ramai lagi ulama lain.

Beliau belajar fiqh daripada Abu Abdullah Muhammad bin ‘Isa al-Tamimi dan Qadhi Muhammad bin ‘Abdullah al-Masili.

Qadhi bin Khalkhan berkata, “Guru-guru Qadhi ‘Iyad berjumlah sekitar seratus orang.”

Pujian ulama kepadanya

Ramai ulama memuji kepada al-Qadhi Iyadh dan menggelarkannya dengan gelaran yang mulia. Antaranya:

  • Ahli Sejarah maghribi al-Abbas bin Ibrahim berkata, “Kalaulah tidak kerana Qadhi Iyadh, nescaya tidak disebut Maghribi.
  • Al-fatah Ibn Khalqan memuji al-Qadhi Iyadh dengan pujian yang panjang dengan madah-madah yang indah.

Kerjayanya

Qadhi mula-mula dilantik menjadi hakim Ceuta pada 515 H/1121 M dan berkhidmat dalam jawatannya sehingga 531 H/1136 M. Beliau kemudiannya kembali berkhidmat semula di Cueta dari 539-543 H/1145-48 M.

Tempohnya sebagai hakim di Cueta mungkin merupakan tempoh paling produktifnya; kajian kes beliau merupakan asas untuk karya beliau dalam fiqh.

Khalaf bin Shakwal memujinya dengan berkataa:

“Dia termasuk orang-orang yang berilmu dan berpolitik, mempunyai kecerdasan dan kefahaman yang besar. Dia menjalankan tugas sebagai hakim di Ceuta untuk masa yang lama, di mana dia mendapat reputasi yang terpuji. Kemudian dia mengembara dari sana untuk menjadi hakim di Granada. Namun, dia tidak tinggal lama di situ. Selepas itu, dia datang kepada kami di Cordoba dan kami belajar daripadanya.”

Ahli fiqh (faqih) Muhammad bin Hammadah al-Sabti berkata:

“Qadi memulakan latihannya pada usia dua puluh lapan tahun dan memegang jawatan hakim pada usia tiga puluh lima tahun. Dia berlembut, tetapi tidak lemah, [dan] garang dalam mempertahankan kebenaran. Beliau belajar fiqh daripada Abu ‘Abdullah al-Tamimi dan menemani Abu Ishaq b. Ja’far. Tiada seorang pun di Ceuta yang menulis lebih banyak karya daripada dia pada zamannya. Beliau menulis buku ‘Al-Shifa’ fi Sharaf al-Mustafa’, ‘Tartib al-Madarik wa Taqrib al-Masalik fi Dzikir Fuqaha’ Mazhab Malik’, sebuah karya berbilang jilid, ‘Kitab al-‘Aqidah’, ‘Kitab Sharh Hadith Ummu Zar”, kitab ‘Jami’ al-Tarikh’ dan lain-lain.”

Murid-muridnya

Oleh kerana Qadhi Iyadh terkenal dengan kealimannya maka tidak hairanlah ramai pelajar yang ingin menadah ilmu dari beliau dengan secara talaqqi. Tambahan pula, beliau seorang yang berpengaruh dari segi jawatannya yang sudah tentu menarik minat ramai sarjana Islam untuk belajar daripadanya.

Ramai ulama belajar dan meriwayatkan daripada Qadhi ‘Iyadh. Antaranya ialah:

  • Imam ‘Abdullah bin Muhammad al-‘Ashiri
  • Abu Ja’far bin al-Qasir al-Gharnati
  • al-Hafiz Khalaf bin Bashakwal
  • Abu Muhammad bin ‘Ubayd Allah al-Hijri
  • Muhammad bin al-Hasan al-Jabiri
  • Anaknya, Qadhi Muhammad bin ‘Iyadh, Qadhi Denia (di Sepanyol).

Karyanya

Qadhi Iyadh terkenal dengan tokoh yang banyak berkarya bahkan karyanya itu menjadi rujukan kepada ummah dan para ulama di seluruh dunia sehingga ke hari ini. Antara karya Qadhi yang terkenal ialah:

  • Al-Shifa’ bi Ta’rif Huquq al-Mustafa – diterjemahkan sebagai “Ubat (atau Penawar) Melalui Mengiktiraf Hak Orang Terpilih”; sejumlah besar ulasan telah ditulis mengenai Shifa’, yang merupakan salah satu petunjuk status tinggi buku itu dalam tradisi Muslim
  • Tartib al-Madarik wa Taqrib al-Masalik li Ma’rifat A’lam Mazhab Malik
  • Ikmal al-Mu’lim bi Fawa’id Muslim – Ulasan Qadhi ‘Iyadh sendiri telah dihuraikan secara mendalam oleh Imam al-Nawawi dalam ulasannya tentang Sahih Muslim.
  • Al-I’lam bi Hudud Qawa’id al-Islam – karya tentang rukun Islam yang lima.
  • Al-Ilma’ ila Ma’rifa Usul al-Riwayah wa Taqyid al-Sama’ – karya terperinci tentang ilmu Hadis.
  • Mashariq al-Anwar ‘ala Sahih al-Athar – karya berdasarkan kitab Muwatta’ Imam Malik, Sahih al-Bukhari Imam Bukhari, dan Sahih Muslim oleh Imam Muslim.
  • Al-Tanbihat al-Mustanbatah ‘ala al-Kutub al-Mudawwanah wa al-Mukhtalatah
  • Daqa’iq al-Akhbar fi Dhikr al-Jannah wa al-Nar – karya yang menggambarkan kegembiraan/kenikmatan Syurga (Jannah) dan dahsyatnya Neraka (Jahannam).

Akhir hayatnya

Terdapat beberapa pendapat tarikh dan tempat beliau meninggal dunia. Pendapat ramai ulama mengatakan beliau meninggal dunia pada Ramadan 544 H/ Disember-Januari 1149-50 M.

Sebaliknya, ia juga telah dilaporkan bahawa beliau meninggal dunia pada Jamadilakhir tahun yang sama, di Marrakesh.

Ibn Bashakwal berkata, “Qadhi ‘Iyadh meninggal dunia di sebelah barat kampung halamannya, pada pertengahan tahun 544 Hijrah.”

Anaknya, Qadhi Muhammad bin ‘Iyadh, berkata, “Beliau wafat pada tengah malam, pada hari Jumaat 9 Jamadilakhir. Beliau dimakamkan di Marrakesh pada tahun 544 Hijrah.”

Syeikh Mohammed Aslam menziarahi kubur Qadhi ‘Iyadh di Marrakesh.

Aku (al-Zahabi) berkata, “Telah sampai kepadaku bahawa dia dibunuh oleh panah kerana penyangkalannya bahawa Ibn Tumart adalah maksum dan Mahdi yang ditunggu-tunggu.”

Ada juga pendapat mengatakan Qadhi Muhammad bin ‘Iyadh meninggal dunia pada tahun 575 Hijrah.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply