#3455: Kelebihan Hari Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan apakah kelebihan hari Jumaat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),

(Surah al-Jumu’ah: 9)

Betapa mulianya hari Jumaat sehingga terdapat surah yang dikenali sebagai surah al-Jumu’ah.

Terdapat banyak hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan hari Jumaat yang dianggap hari yang paling mulia di antara hari-hari yang lain. Antara hadith yang menyebut tentang keistimewaan hari Jumaat ialah:

  • Hari Jumaat adalah salah satu hari dari hari-hari kebesaran Islam sepertimana Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ فِيهِ خُلِقَ آدَمُ وَفِيهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ وَفِيهِ أُخْرِجَ مِنْهَا وَلاَ تَقُومُ السَّاعَةُ إِلاَّ فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Sebaik-baik hari yang mana matahari terbit padanya ialah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam AS, pada hari itu dia dimasukkan ke dalam syurga, pada hari itu dia dikeluarkan dari syurga. Tidak akan berlaku hari Kiamat melainkan pada hari Jumaat.”

Riwayat Muslim (854)

  • Daripada Abi Lubabah bin Abd al-Munzir, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ سَيِّدُ الْأَيَّامِ، وَأَعْظَمُهَا عِنْدَ اللَّهِ، وَهُوَ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ يَوْمِ الْأَضْحَى وَيَوْمِ الْفِطْرِ، فِيهِ خَمْسُ خِلَالٍ، خَلَقَ اللَّهُ فِيهِ آدَمَ، وَأَهْبَطَ اللَّهُ فِيهِ آدَمَ إِلَى الْأَرْضِ، وَفِيهِ تَوَفَّى اللَّهُ آدَمَ، وَفِيهِ سَاعَةٌ لَا يَسْأَلُ اللَّهَ فِيهَا الْعَبْدُ شَيْئًا إِلَّا أَعْطَاهُ، مَا لَمْ يَسْأَلْ حَرَامًا، وَفِيهِ تَقُومُ السَّاعَةُ، مَا مِنْ مَلَكٍ مُقَرَّبٍ، وَلَا سَمَاءٍ، وَلَا أَرْضٍ، وَلَا رِيَاحٍ، وَلَا جِبَالٍ، وَلَا بَحْرٍ، إِلَّا وَهُنَّ يُشْفِقْنَ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu kepada segala hari dan seagung-agung hari di sisi Allah yang mana keagungannya itu di sisi Allah lebih agung berbanding hari raya Aidiladha dan juga Aidilfitri. Ini kerana, pada hari tersebut terdapat lima perkara besar iaitu: Padanya diciptakan, diturunkan ke bumi dan diwafatkan Nabi Adam. Padanya juga terdapat satu masa apabila seseorang itu meminta sesuatu kepada Allah pasti akan diberikan kepadanya selagimana dia tidak meminta sesuatu yang haram. Padanya juga akan berlakunya Kiamat dan pada hari itu juga (hari Jumaat) tidak ada malaikat yang dekat dengan Allah, di langit, bumi, angin, gunung dan laut melainkan takut dengan keagungan hari Jumaat.”

Riwayat Ibn Majah (1084) Riwayat Ahmad (15548) Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah dhaif disebabkan Abdullah bin Muhammad bin Uqail atau Ibn Abi Thalib al-Qurasyi. Ibn Hajar mengatakan beliau seorang buruk hafalannya tetapi riwayatnya boleh dijadikan sokongan. Adapun perawi yang lain adalah thiqah.

Tambahan pula, hari Jumaat adalah penghulu segala hari ada diriwayatkan juga oleh Ibn Majah daripada riwayat Abi Lubabah. Selain itu, Ibn Jarir juga ada meriwayatkannya di dalam tafsirnya dan begitu juga Ibn Abi Syaibah daripada riwayat Said bin al-Musayyib secara mursal dengan sanad yang sahih. Di samping itu, al-Thabarani juga meriwayatkannya di dalam al-Awsath daripada riwayat Anas bin Malik dan al-Hakim pula meriwayatkannya daripada riwayat Abu Hurairah RA. Manakala, Imam al-Baihaqi meriwayatkannya di dalam al-Syu’ab daripada ucapan Abdullah bin Mas’ud dengan sanad yang sahih.

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الصَّلَاةُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ، مَا لَمْ تُغْشَ الْكَبَائِرُ

Maksudnya: “Solat lima waktu, Jumaat kepada Jumaat berikutnya merupakan kaffarah (penghapus dosa) di antara keduanya selagimana tidak melakukan dosa besar.”

Riwayat Muslim (233)

Imam al-Nawawi menyatakan setiap yang disebut di dalam hadith tersebut boleh menghapuskan dosa sekiranya terdapat dosa kecil untuk dihapuskan. Sekiranya tidak terdapat dosa kecil atau besar maka akan dicatat baginya kebaikan dan diangkat darjatnya. Sekiranya terdapat dosa besar dan tidak terdapat dosa kecil, mudah-mudahan perkara tersebut dapat meringankan dosa besar yang dilakukan. (Lihat al-Minhaj, 3/113)

  • Kita juga diperintahkan untuk memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW pada hari Jumaat sepertimana sabda Nabi SAW:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلاةِ فِي كُلِّ يَوْمٍ جُمْعَةٍ، فَإِنَّ صَلاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمٍ جمعةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلاةَ كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً

Maksudnya: “Perbanyakanlah selawat kepadaku, pada setiap hari Jumaat. Ini kerana selawat umatku akan diperlihatkan padaku pada setiap hari Jumaat. Sesiapa yang banyak berselawat kepadaku, dialah yang paling dekat denganku.”

Riwayat al-Baihaqi (3/249) dalam al-Sunan al-Kubra, dan al-Albani (1673) menyatakan status hadith ini hasan lighairihi dalam Sahih al-Targhib

  • Membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat juga dianjurkan oleh Rasulullah SAW:

إِنَّ مَنْ قَرَأَ سُورَة الْكَهْفِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الْجُمُعَتَيْنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka dia akan disinari oleh cahaya di antara dua jumaat.”

Riwayat al-Baihaqi (526)  dalam al-Da‘awat al-Kabir

  • Terdapat waktu yang mustajab pada hari Jumaat untuk kita berdoa. Nabi SAW bersabda:

فِيهِ سَاعَةٌ لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ وَهُوَ يُصَلِّى ، يَسْأَلُ اللَّهَ شَيْئًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ

Maksudnya: “Padanya (iaitu pada hari Jumaat) terdapat satu waktu, (dimana) tidaklah (waktu tersebut) bertepatan dengan (masa) seorang hamba yang muslim sedang berdoa dengan meminta sesuatu kepada Allah, melainkan (Allah) akan memberikan kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari (935) dan Muslim (852)

Terdapat hadith yang lain menerangkan bahawa waktu tersebut adalah selepas Asar pada hari Jumaat, iaitu Nabi SAW bersabda :

يَوْمُ الْجُمُعَةِ اثْنَتَا عَشْرَةَ سَاعَةً لَا يُوجَدُ فِيهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللَّهَ شَيْئًا إِلَّا آتَاهُ إِيَّاهُ فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Pada hari Jumaat terdapat dua belas masa, padanya terdapat satu masa di mana tidaklah seorang hamba yang Muslim berdoa kepada Allah, melainkan Allah akan memakbulkan doa itu. Berusahalah mencari waktu tersebut pada hujung waktu sesudah Asar.”

Riwayat Abu Dawud (1048) dan al-Nasa’ie (1389)

Justeru, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan untuk memperbanyakkan amalan soleh khususnya pada hari Jumaat seperti selawat atas Nabi SAW, membaca surah al-Kahfi, surah Yasin, zikrullah, istighfar, berinfak atau sedekah, menziarahi kubur dan lain-lain lagi.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *