Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. benarkah kita mesti mentaati Ulil Amri dan siapakah yang dimaksudkan oleh Ulil Amri dalam al-Quran? Seterusnya, bagaimana bentuk ketaatan kepada mereka?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.

(Surah al-Nisa’: 59)

Ulama berselisih pendapat, siapa yang dimaksudkan dengan ulil  amri di dalam ayat ini:

  • Pendapat Abu Hurairah, Ibn ‘Abbas dan Ibn Zaid R.Anhum mengatakan maksud ulil amri di sini adalah para penguasa yang sah.
  • Pendapat Jabir bin Abdillah, Hasan al-Basri, Qotadah, Mujahid dan ‘Atho’, yang dimaksudkan dengan ulil amri adalah ahli ilmi (ulama) yang tegak di atas sunnah.
  • Pendapat Imam Mujahid dalam satu riwayat ulil amri adalah para sahabat Nabi SAW dan juga yang mengatakan ulil amri di sini adalah Abu Bakar dan Umar.

Berkata Ibn Jarir al-Tabari (wafat 310H) Rahimahullah dalam tafsirnya (5/150): “Pendapat yang kuat adalah pendapat pertama berdasarkan petunjuk Nabi SAW.” Dan pendapat ini dikuatkan oleh al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah dalam tafsirnya, Tafsir al-Quran al ‘Azim (1/530).

Namun pendapat lain seperti al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) berkata: “Yang sahih adalah yang mencakupi dua kelompok para penguasa dan para ulama kerana kedua-duanya sama-sama mengurus urusan manusia, dan ini adalah pendapat gurunya Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (wafat 728H) Rahimahullah.”
Lihat Majmu’ al-Fatawa (28/180)

Dalam Tafsir al-Tabari pula, Abu Hurairah mentafsirkan perkataan ulil amri itu sebagai golongan pemerintah. Pemerintah ialah mereka yang diberikan mandat oleh rakyat untuk memimpin sesebuah negara.

Dalam konteks Malaysia, pemimpin terbahagi kepada dua kategori. Pertama, pemimpin Negara dan pemimpin kerajaan. Istilah pemimpin Negara merujuk kepada kepimpinan tertinggi Negara yang terdiri daripada Yang Di Pertuan Agong, manakala ketua kerajaan merujuk kepada kepimpinan tertinggi sesebuah kerajaan yang dipimpin oleh parti yang memenangi undi di dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Sayyid Qutb Rahimahullah di dalam Fi Zilal al-Quran mengatakan: “Ayat ini menjadikan ketaatan kepada Allah sesuatu ketaatan yang mendasar dan menjadikan ketaatan Rasul-Nya juga sesuatu ketaatan yang mendasar kerana beliau diutuskan oleh Allah SWT. Kemudian ia menjadikan ketaatan kepada pemerintah-pemerintah dari golongan mukminin itu sebagai ketaatan yang mengikut ketaatan kepada Allah dan ketaatan kepada Rasul-Nya. Oleh sebab itulah Al-Quran tidak mengulangi kata-kata ‘taat’ ketika menyebut ‘pemerintah-pemerintah’ sebagaimana ia mengulanginya ketika menyebut Rasulullah SAW ini untuk menjelaskan bahawa ketaatan kepada pemerintah-pemerintah itu adalah diambil dari ketaatan kepada Allah dan ketaatan kepada Rasul-Nya setelah Al-Quran menjelaskan bahawa pemerintah-pemerintah itu hendaklah dari golongan orang-orang yang beriman yang mengikut syarat-syaratnya.”
Lihat Fi Zilal al-Quran (2/315)

Manakala perintah taat daripada hadis pula:

عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ إِلاَّ أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya: “Wajib atas seorang Muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) pada perkara yang ia sukai dan tidak sukai, kecuali jika diperintahkan berbuat maksiat, jika diperintahkan berbuat maksiat, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh buat taat.”

Riwayat al-Bukhari (7144) dan Muslim (1839)

Al-Hasan berkata berkenaan pemerintah: “Mereka menguruskan urusan kita dalam lima perkara, solat jumaat, solat jemaah, solat hari raya, menjaga perbatasan sempadan, dan juga melaksanakan hudud. Demi Allah, tidaklah tegaknya agama kecuali dengan mereka, sekalipun mereka melampau dan zalim.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

اللَّهُمَّ لَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ فِيْنَا وَلَا يَرْحَمُنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan pemimpin kami – disebabkan dosa-dosa kami – orang yang tidak takut kepada-Mu dan tidak mempunyai belas kasihan kepada kami.” (Lihat al Mustadrak ‘ala Majmu’ Fatawa, 3/108)

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply