Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita meminum kopi eksklusif burung jacu? Ini kerana biji kopi itu diambil dihasilkan daripada najis burung jacu dan kopi tersebut dikatakan harganya sangat mahal. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menceritakan secara ringkas sedikit pengenalan mengenai kopi burung jacu ini dan juga burung jacu. Pertamanya, burung jacu atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil Guan ialah mana-mana daripada beberapa burung kecil keluarga curassow.[1]

Kopi najis burung jacu bernilai tinggi - Kosmo Digital

Gambar di atas: Burung Jacu/ Guan Biasa[2]

Curassow, mana-mana daripada banyak burung tropika Amerika daripada keluarga Cracidae (order Galliformes). Tegasnya, ia merujuk kepada 7–12 spesies di mana jantan berwarna hitam berkilat (selalunya dengan perut putih) dan mempunyai jambul bulu yang melengkung dan hiasan paruh berwarna terang; betina, tidak mempunyai hiasan, lebih kecil dan keperangan. Curassow ialah burung buruan dengan daging yang lazat. Contoh besar (hingga hampir 100 cm [40 inci]) ialah curassow (Crax rubra), ditemui dari Mexico ke Ecuador; curassow bertopi keledar (Helmeted curassowPauxi pauxi) pergunungan Venezuela dan Colombia; dan curassow (C. mitu) Amazon, yang sangat terancam (mengalami kepupusan).

Northern Helmeted Currasow - White Oak Conservation

Gambar di atas: Helmeted Curassow

Guan terdiri daripada 12 spesies, beratnya lebih ringan dan agak kecil daripada curassow yang berkaitan. Sangat suka berkawan, mereka mempunyai tangisan yang bising yang kedengaran terutamanya pada waktu malam. Kedua-dua jantina kelihatan sama. Guan berjambul (Crested guanPenelope purpurascens), ditemui dari Mexico ke Ecuador dan Venezuela, ialah burung buruan penting, kira-kira 65 cm panjang dan berat kira-kira 2 kg. Ia berwarna coklat kehijauan, dengan tompok putih di bawah. Beberapa spesies termasuk dalam spesies haiwan terancam.[3]

Crested Guan - eBird

Gambar di atas: Crested guan

Seterusnya berkenaan kopi burung jacu ini pula adalah sejenis kopi yang sangat jarang ditemui. Kopi ini dikatakan antara yang termahal di dunia kerana diperbuat daripada biji kopi yang telah dicerna dalam perut burung tersebut. Ia berasal dari salah satu ladang terkecil, berkeluasan 50 hektar, Camocim Estate di Brazil.

Perusahaan kopi ini bermula pada awal tahun 2000 apabila Henrique Sloper menyedari ladangnya dipenuhi burung jacu iaitu spesies burung terancam dan dilindungi di Brazil. Burung-burung itu sangat gemar memakan tanaman kopi dan sangat menyukai kopi organik yang ditanam di ladang Henrique Sloper. Pada mulanya, dia ingin mengusir burung-burung tersebut dari ladang tetapi ternyata tiada apa yang boleh dilakukan untuk menghentikannya. Burung Jacu hakikatnya dilindungi secara ketat oleh undang-undang, maka dia tidak dapat menyakitinya dengan cara apa pun.

Henrique Sloper menceritakan bahawa semasa usia remajanya, dia sering ke Indonesia dan di sana dia diperkenalkan dengan kopi luwak. Dari situ dia mendapat idea untuk menghasilkan kopi burung jacu. Dia mengakui bahawa ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilakukan pada peringkat awal. Cabaran terbesar adalah untuk meyakinkan pemetik kopi bahawa mereka perlu melakukan kerja di luar kebiasaan iaitu mengutip najis burung yang mengandungi biji kopi. Dia mengambil masa yang agak lama untuk meyakinkan para pekerjanya agar menuai najis burung dan bukannya biji kopi.

Jelasnya lagi, mengumpul najis burung jacu adalah proses yang sangat sukar. Ini kerana, selepas itu, pekerja perlu membersihkan biji kopi daripada najis burung dengan menggunakan tangan, lalu mengeluarkan bijian kopi itu daripada kulit pelindungnya. Proses yang kurang menyenangkan inilah yang telah menjadikan kopi jacu lebih mahal berbanding kopi-kopi lain. Selepas dua tahun menjalankan ujian, Ladang Camocim kini menjadi satu-satunya di dunia yang menghasilkan kopi daripada najis burung jacu dan telah menjualnya selama kira-kira satu dekad.

Dia juga menyebutkan, burung-burung jacu ini hanya memilih kopi yang terbaik untuk dimakan. Berbeza dengan kopi luwak yang dicerna musang, biji kopi yang masuk ke dalam sistem pencernaan burung jacu bergerak pantas dan tidak terdegrasi oleh protein haiwan atau asid perut. Hasilnya, kopi jacu yang dipanggang dan dibancuh itu mempunyai rasa yang sangat unik dan lazat. Justeru, tidak hairanlah kopi jacu antara yang termahal di dunia dan dijual pada harga AS$1,000 (RM4,070) sekilogram. Dilaporkan juga ia popular di negara seperti Perancis, Jepun dan Britain di mana pusat beli-belah mewah seperti Harrods menjualnya pada harga £1,400 (RM8,308) untuk satu kilogram.[4]

Hukum kopi burung jacu

Secara umumnya, kami melihat ia sangat dekat dengan perbahasan kopi luwak yang kami pernah bahaskan dahulu dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah. Jadi, kami bawakan semula di sini sebahagian perbahasannya.

Perkara ini ada berkait rapat dengan apa yang telah dibahaskan oleh para ulama mengenai makanan atau biji-bijian yang telah dimakan oleh haiwan ternakan. Kemudiannya, ia keluar daripada perut haiwan tersebut sama ada melalui muntahnya atau kotoran najisnya atau seumpamanya. Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa:

إذَا أَكَلَتْ الْبَهِيمَةُ حَبًّا وَخَرَجَ مِنْ بَطْنِهَا صَحِيحًا فَإِنْ كَانَتْ صَلَابَتُهُ بَاقِيَةً بِحَيْثُ لَوْ زُرِعَ نَبتَ فَعَيْنُهُ طَاهِرَةٌ لَكِنْ يَجِبُ غَسْلُ ظَاهِرِهِ لِمُلَاقَاةِ النَّجَاسَةِ لانه وان صار غذاءا لَهَا فَمِمَّا تَغَيَّرَ إلَى الْفَسَادِ فَصَارَ كَمَا لَوْ ابْتَلَعَ نَوَاةً وَخَرَجَتْ فَإِنَّ بَاطِنَهَا طَاهِرٌ وَيَطْهُرُ قِشْرُهَا بِالْغَسْلِ وَإِنْ كَانَتْ صَلَابَتُهُ قَدْ زَالَتْ بِحَيْثُ لَوْ زُرِعَ لَمْ يَنْبُتْ فَهُوَ نَجِسٌ

Maksudnya: “Sekiranya seekor haiwan memakan biji tumbuhan dan kemudian biji tersebut keluar dari perutnya dalam keadaan baik. Sekiranya keadaan bijian itu masih kekal sebagaimana asal (tidak berubah), yang mana jika ditanam ia dapat tumbuh, maka ia dikira suci. Akan tetapi mesti dibasuh bahagian luarannya (terlebih dahulu) kerana telah terkena najis.  Juga kerana, jika ia (bijian tersebut) telah menjadi makanan untuk haiwan ternakan tersebut, iaitu daripada apa-apa yang telah berubah menjadi rosak (kerana telah diproses dan diurai), maka ia menjadi (najis), sebagaimana kalaulah ia menelan biji-bijian, kemudian mengeluarkannya. Bahagian dalam bijian tersebut masih suci, manakala kulitnya (bahagian luar) dapat disucikan dengan membasuhnya. Namun, jika keadaan (bijian itu) tidak kekal (yakni telah berubah), yang mana jika ditanam ia tidak dapat tumbuh, maka ia dikira najis.” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/573).

Begitu juga, Syeikh al-Ramli ada menyatakan bahawa sekiranya bijian tersebut boleh kembali (dikeluarkan) dalam keadaannya yang masih baik yang mana jika ditanam ia dapat tumbuh, maka ia dianggap sebagai mutanajjis[5] dan bukannya najis. Juga kemungkinan pendapat yang mengatakan ia adalah najis, boleh difahami dalam konteks bijian tersebut sudah tidak lagi kekal dalam keadaannya yang asal. Bijian tersebut diqiaskan pada telur, iaitu sekiranya telur tersebut keluar dalam keadaan masih elok setelah ditelan yang mana ia masih lagi boleh menetas, maka hukumnya adalah mutanajjis dan bukannya najis. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/240).

Kemudian, Syeikh Abu Bakar al-Dimyati juga ada menyebutkan bahawa hukum bagi selain daripada bijian seperti telur, kacang badam (almond), kacang walnut dan yang seumpamanya, sekiranya ia dimuntahkan oleh haiwan ternakan atau dikeluarkan melalui kotoran najisnya, hukumnya adalah sebagaimana yang telah disebutkan oleh pengarang kitab Nihayah al-Muhtaj, yang telah mengqiaskannya dengan telur. (Lihat I‘anah al-Talibin, hlm. 99).

Oleh itu, kita mengetahui bahawa apa-apa jenis makanan seperti biji-bijian, kacang-kacang, buah-buahan dan seumpamanya, sekiranya ia keluar dari perut haiwan dalam keadaan masih elok dan kulitnya tidak pecah, serta masih kekal dalam rupanya yang asal (tidak berubah), maka ia dikira sebagai mutanajjis, sementara bahagian dalamnya masih dianggap suci dan boleh dibersihkan.

Justeru, biji kopi yang keluar dari perut burung jacu atau guan, yang masih dalam keadaan baik sebagaimana asalnya (yakni tidak pecah, berlubang atau seumpamanya) dikira sebagai mutanajjis dan bukannya najis. Sekiranya, ia dibasuh dan dibersihkan, ia kembali dianggap suci. Setelah itu, jika ia dihancurkan dan dibancuh air kopi, minuman tersebut adalah halal untuk diminum.

Perkara ini adalah selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”

Selain itu, terdapat juga kaedah fiqh lain menyatakan:

الأَصْلُ بَقَاءٌ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu itu adalah kekal mengikut keadaan sebelumnya.

Berdasarkan kepada kaedah-kaedah fiqh di atas, didapati kedudukan kopi burung jacu berasal daripada sesuatu yang bersih dan telah melalui sistem penghadaman binatang, kemudian dikeluarkan dalam bentuk asal tanpa mengalami sebarang kerosakan pada struktur biji kopi yang asal. Justeru, setelah dibasuh dan dibersihkan ia adalah halal untuk diminum sebagaimana hukumnya yang asal sebelum dimakan oleh burung jacu.

Tambahan lagi, biji kopi luwak yang keluar dalam keadaan masih baik (tidak berlubang,  dan tidak pecah), kemudian ia telah disucikan, maka ia dikira halal dan boleh diminum berdasarkan kepada beberapa fatwa yang telah dikeluarkan daripada badan berautoriti seperti Majelis Ulama Indonesia (MUI)[6] dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012.[7] Justeru, hal yang sama turut terpakai kepada biji kopi burung jacu.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa kopi burung jacu adalah halal dan harus untuk diminum, dengan syarat biji kopi yang keluar dari perut burung tersebut dalam keadaan baik, tidak berlubang dan tidak rosak serta masih dalam keadaannya yang asal. Kemudian, biji kopi itu hendaklah melalui proses pembersihan bagi menghilangkan najis padanya, sebelum diproses dan diminum.

Kami juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk menasihati umat Islam agar sentiasa berhati-hati dalam pengambilan apa jua makanan dan minuman agar ia benar-benar bertepatan dengan prinsip halalan tayyiban (halal lagi baik) agar segala daging yang tumbuh pada tubuh badan kita berpunca daripada sumber yang baik seterusnya menjauhkan kita daripada neraka Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

[1] Lihat https://www.britannica.com/animal/guan-bird. Diakses pada 12 Oktober 2023.

[2]

[3] Lihat https://www.britannica.com/animal/curassow. Diakses pada 12 Oktober 2023.

[4] Lihat https://www.kosmo.com.my/2021/03/07/kopi-najis-burung-jacu-bernilai-tinggi/, https://www.kosmo.com.my/2023/06/22/kopi-eksklusif-daripada-najis-burung-jacu-rm8000-sekilogram/, dan https://www.youtube.com/watch?v=BZNOUCNzPDQ. Diakses pada 12 Oktober 2023.

[5] Sesuatu yang terkena najis.

[6] Lihat http://mui.or.id/wp-content/uploads/files/fatwa/Kopi-Luwak.pdf.

[7] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10294. Diakses pada 20 Januari 2022.

Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply