Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bertugas sebagai anggota bomba. Jika sekiranya saya pergi menghadiri operasi sebelum waktu maghrib dan tidak sempat solat., apakah cara terbaik untuk menggantikan solat maghrib tersebut? Ataupun mana-mana solat yang tidak dapat dikerjakan kerana menghadiri operasi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Setiap solat fardhu 5 waktu yang disyariatkan mempunyai waktu-waktu khusus yang telah ditetapkan untuk setiap solat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah al-Nisa’: 103)

Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa Allah SWT menjadikan waktu solat itu ada waktu yang khusus untuk ditunaikan. Ini bermakna bahawa hukum Allah ini adalah kefardhuan yang mesti dilaksanakan dalam tempoh yang tertentu dengan segera yang mungkin. Antara hikmahnya ialah jika tiada tempoh waktu yang khusus maka manusia pasti tidak akan melakukannya ataupun melakukan dalam keadaan cuai dan leka. (Lihat Tafsir Al-Maraghi, 5/143-144)

Antara rukhsah yang Allah berikan kepada umat ini adalah dibenarkan untuk menjama‘kan di antara dua solat dalam keadaan-keadaan yang tertentu seperti musafir, hujan, sakit dan seumpamanya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

(Surah al-Hajj: 78)

Jama‘ bermaksud menggabungkan dua solat di dalam satu waktu. Iaitu menggabung solat Zohor dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan solat Isyak. Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa harus hukumnya menjama‘kan di  antara solat Zohor dengan Asar pada waktu yang dia suka dan juga solat Maghrib dengan solat Isyak menurut mazhab al-Syafi‘i, dan ini juga berdasarkan persepakatan ulama’. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab , 4/249)

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.Anhuma, katanya :

جَمَعَ رَسُولُ اللهِ ﷺ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، وَبَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالعِشَاءِ بِالمَدِينَةِ مِنْ غَيْرِ خَوْفٍ وَلاَ مَطَرٍ، قَالَ: فَقِيلَ لاِبْنِ عَبَّاسٍ: مَا أَرَادَ بِذَلِكَ؟ قَالَ: أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menjama’kan di antara solat Zohor dengan Asar dan di antara solat Maghrib dengan Isyak di Madinah bukan kerana takut dan bukan kerana hujan. Lalu ditanya kepada Ibn Abbas: ‘Apa tujuan Baginda berbuat demikian?’ Ibn ‘Abbas menjawab: ‘Baginda tidak ingin menyusahkan umatnya’.”

Riwayat Al-Tirmizi (187) dan Al-Nasa’ie (1574)

Al-Mubarakfuri menyatakan bahawa sesiapa yang ada keuzuran, maka diharuskan untuk dia menjama‘kan solat. Manakala bagi mereka yang ada keuzuran akan tetapi tidak mahu menjama’kan solat, sehingga dia meninggalkan solat, maka dia berdosa tanpa syak lagi. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/205)

Antara riwayat lain juga menyebut sebagaimana yang disebut oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

صَلَّى رَسُولُ اللهِ ﷺ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ. قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menunaikan solat Zohor dan Asar secara jama‘ di Madinah dalam keadaan tiada ketakutan dan tidak bermusafir. Abu al-Zubair berkata: Aku telah bertanya Sa‘id: ‘Mengapa dilakukan sebegitu?’ Maka Sa‘id menjawab: Aku telah bertanya Ibn ‘Abbas soalan seperti yang kamu tanyakan, maka Ibn ‘Abbas menjawab: ‘Rasulullah SAW menghendaki untuk tidak menyusahkan seorang pun dari ummatnya’.”

Riwayat Muslim (705)

Imam al-Nawawi berkata: “Sejumlah para ulama’ berpendapat boleh menjamakkan solat ketika di tempat tinggal jika ada keperluan bagi sesiapa yang tidak menjadikannya kebiasaan. Ini merupakan pendapat Ibn Sirin, Asyhab bin ‘Abd al-‘Aziz daripada murid-murid Malik bin Anas. Juga al-Khattabi menyebut pendapat ini daripada al-Qaffal (al-Marwazi) dan al-Syasyi al-Kabir (Muhammad bin ‘Ali) daripada kalangan tokoh ulama Mazhab al-Syafi’i, daripada Abi Ishaq al-Marwazi, daripada sejumlah ahli hadith. Ibn Munzir memilih pendapat ini dan ia disokong oleh apa yang zahir dari perkataan Ibn ‘Abbas “Baginda tidak mahu membebankan seorang pun umatnya”. Beliau tidak memberikan alasan sakit atau selainnya”. (Lihat  Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/335).

Maksudnya, para ulama ini melihat keizinan jama’ itu luas merangkumi segala keadaan yang sukar. Tujuannya bagi meringankan bebanan umat ini. Menurut Ibn ‘Abbas itulah tujuan kenapa Nabi s.a.w melakukan jama’ di Madinah. Namun, para ulama ini meletakkan syarat agar tidak dijadikan kebiasaan. Ertinya, dilakukan apabila ada keperluan sahaja samada sakit atau selainnya.

Maka dapat difahami daripada hadith tersebut bahawa jika terdapat sebab keuzuran, kegawatan dan terdapat urusan yang mendesak maka ia lebih utama untuk mengambil rukhsah menjama‘kan solat.

Solat Jama’ Bagi Anggota Bomba Yang Terlibat Dengan Operasi Menyelamat

Syeikh Dr Wahbah Al-Zuhaili menyenaraikan ada 8 sebab yang mengharuskan jamak di sisi mazhab Hanbali. Di antara sebab tersebut ialah keuzuran dan sesiapa yang terlibat dengan sesuatu perkara yang penting yang mana jika tidak dijamakkan solat akan menyebabkan kemudaratan. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 2/510).

Ibnu Qudamah mengatakan:“Kami telah bersepakat (ijma’) bahawa solat tidak boleh dijamakkan melainkan ada keuzuran” (Lihat al-Syarh al-Kabir ‘ala al-Muqni’ , 2/116).

Beliau menyebutkan lagi bahawa harus untuk menjamakkan solat jika ada keperluan yang mendesak dan ianya perlulah tidak dianggap sebagai adat.Beliau bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. (Lihat al-Mughni, 2/121).

Syeikh Abd al-Rahman Al-‘Asimi Al-Najdi menyebut, harus untuk menjamakkan solat kerana ada keuzuran dan keperluan disebabkan ada tugasan penting yang tidak boleh ditinggalkan dan jika ditinggalkan akan mendatangkan mudarat. (Lihat Hasyiah al-Raudh al-Murbi’, 2/401).

Justeru, dalam permasalahan ini kami melihat akan keharusan untuk menjama’kan solat bagi anggota bomba yang terlibat dengan operasi menyelamat, terutama pada waktu solat yang pendek seperti waktu solat Maghrib kerana tugasan tersebut adalah tugasan yang getir, yang tidak boleh ditinggalkan dan boleh membawa mudharat jika tidak dilaksanakan dengan sebaiknya. Ini dianggap sebagai satu keuzuran untuk membenarkan mereka menjamakkan solat.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa diharuskan jama’ solat untuk anggota bomba dan seumpamanya yang terlibat dengan operasi menyelamat yang mendapati kesukaran baginya untuk solat pada waktunya. Hal ini mengambil kira pandangan sebahagian fuqaha mazhab al-Syafi’i dan juga pandangan fuqaha mazhab Hanbali yang menyebut akan keharusan jamak disebabkan ada keuzuran atau tugas yang penting.

Perkara ini juga bertepatan dengan kaedah :

المشَقَّة تَجْلِبُ التَّيْسِيَر

Maksudnya: “ Kepayahan dan kesukaran mendatangkan kemudahan.”

Namun begitu ada beberapa garis panduan berkaitan solat jamak yang perlu diikuti:

  • Hendaklah waktu operasi itu meliputi sekurang-kurangnya dua waktu solat yang jika tidak ada keharusan jamak akan menyebabkan terlepas salah satu waktu ;
  • Waktu operasi itu tidak mengizinkannya untuk dia solat walaupun dengan bergilir-gilir dengan rakan yang lain;
  • Hanya dibenarkan melakukan jamak tamam iaitu melakukannya secara sempurna tanpa perlu qasar. Hal ini kerana qasar iaitu memendekkan solat empat rakaat kepada dua rakaat hanya dilakukan ketika musafir.

Semoga perbahasan ini, sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam melaksanakan perintah Allah dalam kehidupan harian kita.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply