Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa seseorang telah meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama sekali, untuk memperoleh husnul khatimah, doa amat diperlukan. Antara doa yang boleh dilazimi ialah:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمُرِي آخِرَهُ، وَخَيْرَ عَمَلِي خَوَاتِمَهُ، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِي يَوْمَ أَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umurku adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalanku sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hariku, adalah hari dimana daku berjumpa dengan-Mu kelak.” [1]

Riwayat Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (121) dan al-Tabarani dalam al-Ausat (9411)

Dalam menjawab persoalan di atas, terdapat banyak hadith yang menyebutkan tentang tanda-tanda seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan Husn al-Khatimah. Terlebih dahulu, antara syarat paling penting bagi seseorang itu mendapat Husn al-Khatimah ialah mati dalam keadaan menganut agama Islam, beriman kepada Allah SWT dan melafazkan syahadah sebelum dia meninggalkan dunia. Hal Ini kerana Allah SWT tidak mengampunkan dosa orang yang melakukan syirik kepadaNya, firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.

(Surah al-Nisa’: 48)

Justeru, antara tanda-tanda Husn al-Khatimah ialah sesiapa yang sempat melafazkan kalimah syahadah sebelum dia meninggal dunia. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Muadz bin Jabal RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا الله دَخَلَ الجَنَّةَ

Maksudnya: Sesiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, nescaya dia akan memasuki syurga.

Riwayat Abu Dawud (3316) dan Ahmad (22034)

Selain itu, terdapat tanda-tanda lain bagi kematian yang baik (Husn al-Khatimah) terbahagi kepada dari sudut masa, tempat dan keadaan. Antaranya ialah:

Pertama: Mati pada hari atau malam Jumaat. Hal Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn ‘Amru, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِن مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الجُمْعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الجُمْعَةِ إِلَّا وَقَّاه اللهُ فِتْنَةَ القَبْرِ

Maksudnya:Tidak ada orang Islam yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat kecuali Allah SWT akan melindunginya daripada fitnah kubur.”

Riwayat al-Tirmizi (1074)

Al-Munawi berkata: Sabda Baginda, ‘ما من مسلم يموت يوم الجمعة أو ليلة الجمعة الا وقاه الله فتنة القبر’ (Tidak mati seorang Muslim di hari Jumaat atau malamnya kecuali Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur) ertinya dengan tidak menghadapi pertanyaan di dalam kubur kerana di hari dan malam Jumaat, tercurah rahmat yang terbesar. (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/368)

Dalam menjelaskan hadith lain, al-Munawi menyebut: Sabda Baginda, ‘ومن فتنة القبر’ (dan dari fitnah kubur), ertinya kebingungan dalam menjawab pertanyaan dua malaikat. Sabda Baginda ‘وعذاب القبر’ (dan dari azab seksa , kubur) terdapat athaf ‘am pada khas, kerana seksa kubur terkadang timbul dari fitnah kubur seperti ketika seseorang kebingungan menjawab pertanyaan, lalu kemudian dia diseksa. Dan terkadang dia dapat menjawab dengan benar, namun kemudian dia diseksa kerana kecuaiannya dalam melakukan perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/216)

Kedua: Mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Hal ini berdasarkan hadith yang telah disebutkan di atas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا الله دَخَلَ الجَنَّةَ

Maksudnya: Sesiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, nescaya dia akan memasuki syurga.

Riwayat Abu Dawud (3116)

Ketiga: Meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahinya. Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَوْتُ المُؤْمِنِ بِعَرْقِ الجَبِينِ

Maksudnya: Tanda kematian bagi seorang mukmin ialah dengan berpeluh dahinya.

Riwayat al-Tirmidzi (982)

Keempat: Dia diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah SWT beramal soleh sebelum dia meninggal dunia. Di dalam satu hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ قَالُوا وَكَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ قَالَ يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ مَوْتِهِ

Maksudnya: Jika sekiranya Allah SWT menginginkan kebaikan terhadap hambaNya, maka Allah SWT menjadikannya sentiasa melakukan amal. Para sahabat R.Anhum bertanya, “Bagaimana dia menjadikannya sentiasa melakukan amal?”. Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT akan memberikan taufiq padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya.

Riwayat al-Tirmidzi (2142)

Kelima: Dia berasa gembira dan senang hati untuk bertemu dengan Allah SWT. Di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asya’ari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحَبَّ لِقَاءَ اللَّهِ أَحَبَّ اللَّهُ لِقَاءَهُ وَمَنْ كَرِهَ لِقَاءَ اللَّهِ كَرِهَ اللَّهُ لِقَاءَهُ

Maksudnya: Sesiapa gembira bertemu dengan Allah, maka Allah gembira bertemu dengannya. Dan sesiapa merasa berat bertemu dengan Allah, maka Allah juga merasa berat untuk bertemu dengannya.

Riwayat al-Bukhari (6508) dan Muslim (2686)

Imam al-Nawawi di dalam syarahnya menyebutkan: Orang yang bahagia suka kepada kematian dan pertemuan dengan Allah supaya mereka dapat berpindah kepada perkara yang adil bagi mereka, dan Allah suka bertemu dengan mereka, iaitu memberi ganjaran kepada mereka dengan pemberian dan penghormatan. Manakala orang yang tidak bahagia itu tidak suka untuk bertemu dengan Allah apabila mereka mengetahui akan seksanya apabila mereka berpindah ke alam itu dan Allah juga tidak suka untuk bertemu mereka, iaitu Allah menjauhkan mereka daripada rahmat-Nya dan penghormatan-Nya. Allah juga tidak menghendakinya kepada mereka. Manakala maksud hadith yang menyatakan sebab Allah tidak suka bertemu dengan mereka adalah disebabkan mereka juga tidak suka untuk bertemu dengan Allah SWT. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 17/10)

Ibn al-Athir menyatakan: Yang dimaksudkan dengan pertemuan dengan Allah adalah destinasi ke akhirat, dan memohon apa yang ada dengan Allah. Dan bukanlah tujuannya adalah kematian, kerana semua orang tidak menyukai kematian, maka sesiapa yang meninggalkan dunia dan membencinya, dia suka untuk bertemu dengan Allah, dan sesiapa yang lebih menyukai dunia dan bersandar kepadanya (dunia), bermakna dia tidak suka untuk bertemu dengan Allah. Hal ini kerana untuk sampai bertemu Allah adalah dengan kematian. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 4/266)

Keenam: Meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan perut.

وَمَنْ مَاتَ فِي الْبَطْنِ فَهُوَ شَهِيْدٌ

Maksudnya: Sesiapa yang mati akibat daripada penyakit berkaitan perut, maka dia mati dalam keadaan syahid.

Riwayat Muslim (1915)

Imam al-Nawawi menyatakan di dalam syarahnya:  Mereka yang dikira syahid dalam kategori ini diberi kelebihan oleh Allah disebabkan kesakitan yang sangat dahsyat ketika kematian. dan para ulama’ berkata yang dimaksudkan syahid bagi mereka yang mati bukan kerana dibunuh di dalam peperangan di jalan Allah adalah mereka mendapat pahala dan ganjaran para syuhada’ di akhirat. Di dunia ini mereka dimandikan dan disolatkan seperti yang lain-lain. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 13/63)

Ketujuh: Meninggal dunia dalam keadaan mati lemas, jatuh bangunan dan syahid di jalan Allah SWT.

الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya: Orang yang mati syahid itu ada lima iaitu orang yang meninggal kerana penyakit ta’un, sakit perut, tenggelam, orang yang jatuh daripada bangunan  atau tebing dan syahid di jalan Allah.

Riwayat al-Bukhari (652)

Kelapan: Meninggal dunia dalam keadaan melahirkan anak.

قَتْلُ الْمُسْلِمِ شَهَادَةٌ وَالطَّاعُونُ شَهَادَةٌ وَالْبَطْنُ وَالْغَرَقُ وَالْمَرْأَةُ يَقْتُلُهَا وَلَدُهَا جَمْعَاءَ

Maksudnya: Seorang muslim yang terbunuh dikira sebagai seorang syahid, kematian akibat wabak taun juga dikira sebagai syahid, kematian kerana sakit perut, mati lemas dan seorang wanita yang meninggal dunia kerana melahirkan anaknya dikira sebagai syahid.

Riwayat Ahmad (22684)

Kesembilan: Meninggal dunia kerana mempertahankan harta dan maruah dirinya.

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ  ” أَرَأَيْتَ إِنْ جَاءَ رَجُلٌ يُرِيدُ أَخْذَ مَالِي قَالَ : فَلَا تُعْطِهِ مَالَكَ  قَالَ : أَرَأَيْتَ إِنْ قَاتَلَنِي  قَالَ : قَاتِلْهُ  قَالَ : أَرَأَيْتَ إِنْ قَتَلَنِي قَالَ : فَأَنْتَ شَهِيدٌ  قَالَ : أَرَأَيْتَ إِنْ قَتَلْتُهُ  قَالَ : هُوَ فِي النَّارِ

Maksudnya: Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, bagaimana kalau ada seseorang yang hendak mengambil hartaku?” Baginda SAW bersabda, “Jangan engkau berikan hartamu!”. “Bagaimana kalau dia melawanku?”. Baginda SAW bersabda; “Lawanlah dia!”. “Bagaimana kalau dia membunuhku?” Baginda SAW bersabda; “Engkau syahid”. “Bagaimana kalau aku yang membunuhnya?” Baginda SAW bersabda: “Dia di neraka!”

Riwayat Muslim (140)

Sejarah mencatatkan seorang tokoh yang bernama Sa’id bin Jubair, iaitu murid kepada Abdullah bin Abbas R.Anhuma dan Abdullah bin Umar R.Anhuma. Beliau termasuk salah seorang yang paling alim dalam kalangan tabi’in.

Ketika kekejaman al-Hajjaj berleluasa sehingga menyebabkan ramai yang dibunuh, Sa’id bin Jubair mengambil keputusan untuk keluar dari Iraq dan akhirnya beliau tinggal di sebuah perkampungan berhampiran Makkah. Beliau tinggal di sana selama sepuluh tahun. Setelah itu, seorang penguasa baru didatangkan ke Makkah, iaitu Khalid bin Abdullah al-Qasri yang berasal dari Bani Umayyah.

Para sahabat Sa’id bin Jubair menjadi gelisah dan khuatir kerana mereka tahu tentang kekejaman penguasa baru itu. Mereka menduga bahawa penguasa baru tersebut pasti akan menangkap Sa’id bin Jubair. Di antara mereka lalu segera menemui Sa’id bin Jubair dan berkata, “Orang itu telah datang ke Mekah. Demi Allah, kami khuatir akan keselamatan kamu. Sebaiknya, kamu keluar dari sini.” Namun, beliau menjawab, “Demi Allah, sudah lama aku bersembunyi sehingga malu rasanya kepada Allah. Aku memutuskan akan tetap tinggal di sini, dan redha dengan kehendak Allah.” Akhirnya, penguasa tersebut mengetahui tempat persembunyian Sa’id bin Jubair, lalu dia pun mengirimkan pasukannya untuk menangkap dan membawanya kepada Hajjaj.

Ketika dihadapkan kepada Hajjaj bin Yusuf, dengan pandangan penuh kebencian Hajjaj bertanya, “Siapa namamu?” Sa’id: “Sa’id (bahagia) bin Jubair (perkasa)”. Hajjaj: “Yang benar engkau adalah Syaqi (celaka) bin Kasir (lumpuh)”. Sa’id: “Ibuku lebih mengetahui namaku daripada engkau”. Hajjaj: “Bagaimana pendapatmu tentang Muhammad?” Sa’id: “Apakah yang kau maksud adalah Muhammad bin Abdullah SAW?” Hajjaj: “Benar”. Sa’id: “Manusia utama di antara keturunan Adam AS dan nabi yang terpilih. Yang terbaik di antara manusia yang hidup dan yang paling mulia di antara yang telah mati. Beliau telah memikul risalah dan menyampaikan amanat, beliau telah menunaikan nasihat bagi Allah Ta’ala, kitab-Nya, bagi seluruh kaum muslimin secara umum dan khusus”.

Hajjaj: “Bagaimana pendapatmu tentang Abu Bakar?” Sa’id: “Al-Siddiq khalifah Rasulullah SAW. Beliau wafat dengan terpuji dan hidup dengan bahagia. Beliau mengambil petunjuk Nabi SAW tanpa mengubah ataupun mengganti sedikitpun darinya”. Hajjaj: “Bagaimana pendapatmu tentang Umar?” Sa’id: “Beliau adalah al-Faruq, dengannya Allah Ta’ala membezakan antara yang haq dan yang batil. Beliau adalah manusia pilihan Allah dan rasul-Nya, beliau melaksanakan dan mengikuti jejak kedua pendahulunya, maka dia hidup terpuji dan mati sebagai syuhada”. Hajjaj: “Bagaimana dengan Uthman?” Sa’id: “Beliau yang menyediakan bekalan pasukan al-‘Usrah (iaitu pasukan dalam perang Tabuk) dan meringankan beban kaum muslimin dengan membeli telaga ‘Ruumah’ dan membeli rumah untuk dirinya di jannah. Beliau adalah menantu Rasulullah atas dua orang puteri beliau dan dinikahkan kerana wahyu dari langit. Lalu beliau terbunuh di tangan orang zalim”.

Hajjaj: “Bagaimana dengan Ali?” Sa’id: “Beilau adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW dan pemuda pertama yang memeluk Islam. Beliau adalah suami Fatimah al-Zahra puteri Rasulullah SAW, ayah dari Hasan dan Husein yang merupakan dua pemimpin pemuda ahli jannah”. Hajjaj: “Khalifah yang mana dari Bani Umayah yang paling kau sukai?” Sa’id: “Yang paling diredhai Pencipta (Rabb) mereka”. Hajjaj: “Manakah yang paling diredhai Rabb-nya?”. Sa’id: “Ilmu tentang itu hanyalah diketahui oleh Yang Maha Mengetahui yang zahir dan yang tersembunyi”. Hajjaj: “Bagaimana pendapatmu tentang diriku?”. Sa’id: “Engkau lebih tahu tentang dirimu sendiri”. Hajjaj: “Aku ingin mendengar pendapatmu”. Sa’id: “Itu akan menyakitkan dan menjengkelkanmu”. Hajjaj: “Aku harus tahu dan mendengarnya darimu”.

Sa’id: “Yang kuketahui, engkau telah melanggar Kitabullah, engkau mengutamakan hal-hal yang kelihatan hebat, sebaliknya ia membawamu ke arah kehancuran dan menjerumuskanmu ke neraka”. Hajjaj: “Kalau begitu, demi Allah aku akan membunuhmu”. Sa’id: “Bila demikian, maka engkau merosakkan duniaku dan aku merosakkan akhiratmu”. Hajjaj: “Pilihlah bagi dirimu cara-cara kematian yang kau sukai”. Sa’id: “Pilihlah sendiri wahai al-Hajjaj. Demi Allah, untuk setiap cara yang kau lakukan, Allah akan membalasmu dengan cara yang setimpal di akhirat nanti”. Hajjaj: “Tidakkah engkau menginginkan ampunanku?”. Sa’id: “Ampunan itu hanyalah dari Allah Ta’ala, sedangkan engkau tak punya ampunan dan alasan lagi di hadapan-Nya”.

Mendengar itu, lantas kemarahan Hajjaj memuncak. Beliau memerintahkan algojonya: “Siapkan pedang dan alasnya”. Sa’id tersenyum mendengarnya, sehingga bertanyalah Hajjaj: “Mengapa engkau tersenyum?” Sa’id: “Aku takjub atas keangkuhanmu terhadap Allah Ta’ala dan kelapangan Allah terhadapmu”. Hajjaj: “Bunuh dia sekarang!”. Sa’id (menghadap kiblat sambil membaca firman Allah SWT):

إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا ۖ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

(Surah al-An’am: 79)

Hajjaj berkata: “Palingkan dia dari kiblat!”. Sa’id (membaca firman Allah SWT):

وَلِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ ۚ فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ ۚ

Maksudnya: “Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah.”

(Surah al-Baqarah: 115)

Hajjaj: “Sungkurkan dia ke tanah!” Sa’id (membaca firman Allah SWT):

مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.”

(Surah Taha: 55)

Hajjaj: “Sembelihlah musuh Allah ini! Aku belum pernah menjumpai orang yang suka berdalih dengan ayat-ayat Allah seperti dia.” Sa’id: (mengangkat kedua tangannya sambil berdoa;) “Ya Allah…, janganlah lagi Engkau beri kesempatan dia melakukannya atas orang lain setelah aku”.

Tidak lebih dari lima belas hari setelah wafatnya Sa’id bin Jubair, secara mendadak al-Hajjaj ditimpa demam. Semakin hari, suhu tubuhnya makin meningkat dan bertambah parah rasa sakitnya hingga keadaannya silih berganti antara pengsan dan siuman. Tidurnya tidak nyenyak lagi, sekejap-sekejap terbangun dengan ketakutan dan menggigau; “Ini Sa’id bin Jubair hendak menerkamku!. Ini Sa’id bin Jubair berkata; “Mengapa engkau membunuhku?”. Dia menangis tersedu-sedu menyesali diri; “Apa yang telah aku perbuat atas Sa’id bin Jubair? Kembalikan Sa’id bin Jubair kepadaku!”. Keadaan itu terus berlanjutan hingga dia meninggal. Setelah kematian Hajjaj, seorang kawannya pernah memimpikannya. Dalam mimpinya itu dia bertanya kepada Hajjaj; “Apa yang Allah SWT perbuat terhadapmu setelah membunuh orang-orang itu, wahai Hajjaj?”. Dia menjawab; “Aku diseksa dengan seksaan yang setimpal atas setiap orang tersebut, tapi untuk kematian Sa’id bin Jubair aku diseksa 70 kali ganda”.

(Lihat Suwarun min Hayat al-Tabi’in oleh Abdul Rahman Ra’fat al-Basya, hlm. 174-176. Lihat juga al-Tabaqat oleh Ibn Sa’d, 6/178 dan Tahzib al-Tahzib oleh Ibn Hajar, 4/11)

Kesepuluh: Meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amalan soleh.

مَنْ قَالَ : لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ابتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ ، خُتِمَ لَهُ بهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ ، وَمَنْ صَامَ يَوْمًا ابتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ خُتِمَ لَهُ بهَا ، دَخَلَ الْجَنَّةَ ، وَمَنْ تَصَدَّقَ بصَدَقَةٍ ابتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ خُتِمَ لَهُ بهَا ، دَخَلَ الْجَنَّةَ “

Maksudnya: Sesiapa yang mengucap ‘Laa ilaaha illallah’ ikhlas kerana mencari keredhaan dia Allah SWT, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk Syurga. Sesiapa yang berpuasa pada suatu hari kerana ingin mencari keredhaan Allah SWT, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk Syurga. Sesiapa yang bersedekah ikhlas kerana Allah SWT kemudian dia meninggal dunia, maka dia akan masuk Syurga.”

Riwayat Ahmad (23372)

Saya tertarik dengan kisah seorang jutawan muda dari Sydney, Australia yang bernama Ali Banat. Pada usia 33 tahun, beliau telah berjaya mencapai kejayaan yang hebat, mempunyai dua buah perniagaan yang berkembang maju, dengan hidup yang mewah. Masa depannya kelihatan cerah.

Namun, pada Julai 2015, Ali telah mendapat berita yang langsung tidak pernah terlintas di fikirannya. Beliau telah didiagnosis menghidapi tahap 4 penyakit Adenoid Cystic Carcinoma, sejenis barah tisu kelenjar. Sejak dari itu, beliau sedar bahawa hidupnya tidak akan sama lagi seperti dahulunya. Yang menyedihkan, barah ini telah merebak ke seluruh badannya termasuklah ke paru-paru dan tulang.

Pada mulanya, Ali berasa sangat terkejut dengan berita ini, seperti mana sesiapa yang ada dalam situasi yang sama, namun beliau dapat bersabar dan melihatnya dari sudut yang lebih positif. Beliau melihat barah ini sebagai ‘hadiah’ daripada Tuhan, suatu cara untuk mengubah dirinya untuk mendekati Penciptanya Yang Maha Esa. Kehidupan mewah dengan kereta lumba, pakaian mahal dan segala harta benda lain kini tidak lagi penting buat beliau, dan berasakan bahawa selama ini beliau mengejar cita-cita yang salah.

Tidak lama selepas itu, beliau dengan segera menjual perniagaannya dan mengembara ke Togo, Afrika, sebuah negara dengan 80 peratus penduduknya hidup dalam kemiskinan. Negara ini juga mempunyai populasi Muslim yang ramai, sekitar 12 hingga 20 peratus daripada keseluruhan rakyatnya.

Di sana, Ali telah menggunakan duit hasil jualan perniagaannya untuk membina sebuah masjid bersama dengan sekolah untuk anak-anak yatim. Beliau kemudiannya meluaskan skop kepada sebuah projek, iaitu Muslims Around The World (MATW). Projek ini juga mempunyai beberapa matlamat lain, antaranya termasuklah untuk membina sebuah kawasan perumahan kepada lebih 200 orang janda, membina hospital mini atau pusat kesihatan serta pusat perniagaan bagi menyokong kehidupan penduduk tempatan.

Ali melalui laman GoFundMe, mengumpul dana untuk projeknya itu, dan memaklumkan akan menggunakan 100 peratus derma yang dikutip tanpa sebarang caj perkhidmatan untuk 3 buah projek yang berjalan serentak iaitu MATW Village, Chive Project dan Cemetry Project.

Walaupun doktor memaklumkan bahawa beliau hanya akan hidup selama lebih kurang 7 bulan sahaja, beliau hidup lebih 2 tahun daripada tempoh tersebut. Akhirnya pada Maghrib 29 Mei 2018, Ali Banat kembali ke Rahmatullah. Beliau kembali kepada Tuhan Yang Maha Esa pada bulan yang penuh dengan berkah, semoga Allah akan menempatkan arwah dalam kalangan orang yang beriman di syurga.[2]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

[1] Doa ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ يَقُولُ إِذَا انْصَرَفَ مِنَ الصَّلَاةِ: اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمُرِي آخِرَهُ، وَخَيْرَ عَمَلِي خَوَاتِمَهُ، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِي يَوْمَ أَلْقَاكَ

Maksudnya: Baginda SAW mengucapkan ketika selesai daripada solat: ‘اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمُرِي آخِرَهُ، وَخَيْرَ عَمَلِي خَوَاتِمَهُ، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِي يَوْمَ أَلْقَاكَ’ (“Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umurku adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalanku sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hariku, adalah hari dimana daku berjumpa dengan-Mu kelak.”) [Riwayat Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (121) dan al-Tabarani dalam al-Ausat (9411)]

[2] Dengan sedikit olahan dari laman web https://iluminasi.com/bm/kisah-bagaimana-barah-mengubah-kehidupan-ali-banat-menjadi-seorang-tokoh-islam-yang-dermawan.html

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply