Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah orang lelaki duduk di atas hamparan sutera? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, hukum lelaki memakai sutera adalah haram. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

أحلَّ الذهبُ والحريرُ لإناثِ أُمتي، وحُرِّم على ذكورِها

Maksudnya: “Dihalalkan emas dan sutera bagi wanita dalam kalangan umatku, dan diharamkan bagi kaum lelakinya.

Riwayat al-Nasa’i (5163)

Al-Syaukani menyatakan, hadith ini merupakan dalil yang digunakan oleh jumhur ulama yang berpendapat bahawa sutera dan emas adalah haram bagi lelaki dan harus bagi wanita. (Lihat Nail al-Autar, 2/98).

Dalam riwayat lain, Nabi SAW bersabda:

أَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ فِي يَمِينِهِ قِطْعَةَ حَرِيرٍ وَفِي شِمَالِهِ قِطْعَةَ ذَهَبٍ وَقَالَ: هَذَانِ حَرَامٌ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي حِلٌّ لِإِنَاثِهِمْ

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW mengambil sutera dan dipegangnya dengan tangan kanan. Lalu Baginda mengambil emas dan dipegangnya dengan tangan kiri. Kemudian Baginda bersabda: ‘Kedua-duanya ini (sutera dan emas) haram untuk kaum lelaki dalam kalangan umatku, dan halal untuk kaum wanitanya.’

Riwayat al-Bukhari (2921) dan Muslim (2076)

Al-Ramli menyebutkan, diharamkan ke atas lelaki memakai sutera tulen atau sutera  bercampur  yang kadar suteranya  lebih  banyak melainkan ke atas kanak-kanak. Beliau menyebutkan lagi, diharamkan  lelaki dan khunsa memakai sutera tulen atau sutera. Sekiranya sutera tulen  atau kadar suteranya lebih banyak (dominan) daripada campuran kain lain, mereka (lelaki dan khunsa) tidak boleh memakai sutera dan dibaj (sejenis sutera). Berbeza pula material kain yang selainnya lebih banyak atau  kadar kainnya sama  rata  dengan sutera, maka  tidak haram  kerana tidak dinamakan baju sutera.

Seterusnya memakai sutera dibenarkan hanya pada situasi darurat seperti tiada baju melainkan sutera dan pada situasi keperluan seperti mengalami penyakit kulit. Kanak-kanak lelaki boleh memakai sutera  dan  penjaganya boleh menggayakan anak lelakinya walaupun sudah mencapai had umur mumayyiz. (Lihat Ghayah al-Bayan fi Syarh Zubad Ibn Ruslan, hlm. 183).

Selain daripada itu, sebahagian ulama ada menyebutkan hikmah pengharaman sutera bagi kaum lelaki. Di antara yang disebutkan, kerana Islam adalah agama jihad dan kekuatan. Maka Islam juga menjaga sifat kelelakian kaum lelaki daripada segala perkara yang menunjukkan kelemahan dan kelembutan. Sedangkan sutera itu sifatnya lembut dan melambangkan kewanitaan. Hal ini  berbeza dengan wanita yang dihalalkan memakai sutera kerana Allah menciptakannya dengan sifat kelembutan yang sukakan kecantikan dan kewajipannya untuk berhias demi kesenangan suaminya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 373-374).

Kemudian, dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Huzaifah R.A, katanya:

نَهَانَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَشْرَبَ فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ، أَوْ أَنْ نَأْكُلَ فِيهَا، وَعَنْ لُبْسِ الحَرِيرِ وَالدِّيبَاجِ، وَأَنْ نَجْلِسَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang kami meminum air dan makan dalam bekas emas dan perak, juga (melarang) daripada memakai sutera atau sutera halus serta duduk di atasnya (beralaskan dengannya).

Riwayat al-Bukhari (5837)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan dalam bab ‘mengambil sutera sebagai alas’: “Hukumnya (menjadikan sutera sebagai alas) adalah sama seperti hukum (memakai sutera) dari sudut pengharaman dan keharusan — yakni diharamkan bagi kaum lelaki dan diharuskan bagi kaum perempuan.” (Lihat Fath al-Bari, 10/291; Irsyad al-Sari, 8/440).

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, di antara faedah yang dapat diambil daripadanya adalah dilarang untuk duduk di atas sutera (bagi lelaki) dan suatu larangan itu menunjukkan hukumnya adalah haram. Begitu juga dilarang bagi lelaki untuk memakai sutera dan larangan itu juga menunjukkan hukumnya adalah haram. Adapun golongan perempuan dibolehkan untuk memakainya disebabkan oleh hajat dan keperluan mereka kepada perhiasan, dan Islam membezakan hukum di antara golongan lelaki dan perempuan dalam hal yang melibatkan perhiasan dan kecantikan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/112).

Hal ini juga adalah sebagaimana dinyatakan oleh sebahagian ulama bahawa hukum menggunakan sutera sebagai selimut, cadar atau alas untuk solat adalah seperti hukum memakai sutera iaitu diharamkan bagi lelaki dan diharuskan bagi wanita. Ini adalah pandangan jumhur ulama daripada mazhab Syafi‘i, Maliki dan Hanbali. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/13-14; al-Iqna‘, 1/198, Kassyaf al-Qina‘, 1/273).

Bahkan Ibn Hajar al-Haitami menyatakan, diharamkan bagi lelaki untuk menjadikan sutera sebagai pakaian, alas untuk duduk atau bersandar, alas untuk tidur dan segala jenis penggunaan. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 3/20; al-Iqna‘, 1/198).

Tambahan lagi, al-Mawardi ketika menjawab pandangan daripada Abu Hanifah yang mengharuskan pemakaian sutera sebagai alas, beliau menyatakan bahawa pandangan ini (yakni pendapat Abu Hanifah) adalah suatu pandangan yang bersalahan kerana keumuman hadith Nabi SAW yang menyatakan “Dihalalkan emas dan sutera bagi wanita dalam kalangan umatku, dan diharamkan bagi kaum lelakinya.” Oleh yang demikian, mengambil atau menjadikan sutera sebagai alas adalah suatu perkara yang berlebih-lebihan dalam mempamerkan kemewahan. Justeru hukumnya adalah lebih berat daripada hukum memakai sutera, maka ia adalah lebih utama untuk diharamkan (ke atas kaum lelaki). (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/478).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa kaum lelaki diharamkan daripada menggunakan atau duduk di atas alas atau hamparan sutera. Hal ini kerana jelas pengharamannya ke atas mereka (golongan lelaki) berdasarkan kepada nas yang sahih. Apatah lagi pemakaian atau penggunaan kain sutera itu sangat dekat dengan perbuatan menggambarkan dan berlebih-lebihan dalam mempamerkan kemewahan dan kemegahan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply