#3719: Perkahwinan Tanpa Wali

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, antara rukun sahnya nikah adalah adanya wali, adakah sah perkahwinan yang dijalankan tanpa adanya wali? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Wali adalah salah satu daripada rukun pernikahan. Tanpanya, maka tidak akan berlaku sesuatu perkahwinan. Antara peranan wali adalah dengan memberi kebenaran untuk bernikah dan wali juga boleh melarang anak perempuannya itu dari berkahwin. Firman Allah SWT:

فَلَا تَعۡضُلُوهُنَّ أَن يَنكِحۡنَ أَزۡوَٰجَهُنَّ

Maksudnya: Maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kahwin lagi dengan bakal suaminya.

(Surah Al-Baqarah: 232)

Daripada Ma’qil bin Yasar R.A, beliau meriwayatkan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan dirinya. Dia berkata:

زَوَّجْتُ أُخْتًا لِي مِنْ رَجُلٍ فَطَلَّقَهَا، حَتَّى إِذَا انْقَضَتْ عِدَّتُـهَا جَاءَ يَـخْطُبُهَا، فَقُلْتُ لَهُ: زَوَّجْتُكَ وَفَرَشْتُكَ وَأَكْرَمْتُكَ، فَطَلَّقْتَهَا، ثُمَّ جِئْتَ تَخْطُبُهَا؟ لاَ وَاللَّهِ لاَ تَعُودُ إِلَيْكَ أَبَدًا، وَكَانَ رَجُلًا لاَ بَأْسَ بِهِ، وَكَانَتِ الْمَرْأَةُ تُرِيدُ أَنْ تَرْجِعَ إِلَيْهِ، فَأَنْزَلَ اللهُ هَذِهِ الآيَةَ: {فَلاَ تَعْضُلُوهُنَّ}، فَقُلْتُ: الآنَ أَفْعَلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: فَزَوَّجَهَا إِيَّاهُ.

Maksudnya: “Aku menikahkan saudara perempuanku dengan seorang lelaki, lalu lelaki itu menceraikannya, hingga ketika ‘iddahnya telah berakhir, dia datang untuk meminangnya. Aku berkata kepadanya: “Aku menikahkanmu, menyiapkan tempat tidurmu, dan memuliakanmu, namun engkau menceraikannya, dan kemudian engkau datang meminangnya? Tidak, demi Allah, dia tidak akan kembali lagi kepadamu buat selama-lamanya.” Sedangkan lelaki itu tidak ada keburukan padanya (baik orangnya) dan si perempuan juga ingin kembali kepadanya. Lalu Allah menurunkan ayat ini: ): {فَلاَ تَعْضُلُوهُنَّ} (Maksudnya: “Janganlah kamu menahan mereka daripada berkahwin.”) [Surah al-Baqarah: 232] Aku berkata: “Sekarang aku akan melakukannya wahai Rasulullah.” Dia berkata: “Aku pun menikahkan saudara perempuanku itu dengan lelaki tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (5130) dan al-Tirmizi (2981)

Imam al-Syafi’i berkata: “Ayat ini dengan jelas menunjukkan petunjuk dalam Kitab Allah bahawa seorang wanita tidak ada kebebasan untuk menikahkan diri sendiri, dan hadith ini juga menjadi dalil bahawa perkahwinan mesti dilakukan dengan persetujuan wali bagi suami dan isteri” (Lihat Ahkam al-Quran li al-Syafi’i, 1/174)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan wali merupakan salah satu daripada rukun-rukun nikah. Perkahwinan yang dilakukan tanpa wali adalah tidak sah. Begitu juga wanita yang mengahwinkan dirinya sendiri. Oleh yang demikian perkahwinan yang dijalankan tanpa adanya wali maka perkahwinan tersebut terbatal.

Menjawab bagi persoalan di atas, kami ingin menekankan bahawa wali adalah salah satu daripada rukun-rukun nikah. Justeru, perkahwinan yang dilakukan tanpa adanya wali adalah tidak sah menurut undang-undang syariah. Hal yang sama berlaku bagi wanita yang mengahwinkan dirinya sendiri tanpa persetujuan wali. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan kehadiran wali yang sah dalam proses perkahwinan, kerana perkahwinan yang dijalankan tanpa adanya wali adalah  terbatal. Yang demikian boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asya’ri bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لَا نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ

Maksudnya: “Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali dan juga dua orang saksi.”

Riwayat al-Tirmizi (1102)

Hadith ini menunjukkan bahawa seorang perempuan tidak dibolehkan melakukan akad nikah untuk dirinya sendiri melainkan walinya dan tidak boleh juga dia melakukan akad nikah untuk perempuan lain. Yang demikian merupakan pandangan ulama seperti Imam al-Syafi’I, Sufyan al-Thauri, Imam Ahmad dan Abu Ishaq.  (Lihat al-Tamhid, 12/21 ).

Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada  Aisyah, bahawa  Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ إِذْنِ وَلِيِّهَا فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَإِنْ دَخَلَ بِهَا فَلَهَا المَهْرُ بِمَا اسْتَحَلَّ مِنْ فَرْجِهَا

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, jika dia menggaulinya maka dia berhak mendapat maharnya sebagai ganti terhadap apa yang dihalalkan daripada kemaluannya.”

Riwayat Tarmizi (1102)

Dapat difahami melalui hadith ini ialah wali dalam perkahwinan adalah merupakan syarat sah nikah. Oleh itu, perkahwinan tidak sah kecuali dengan adanya wali yang bertanggungjawab untuk melangsungkan perkahwinan. Ini adalah pandangan  tiga imam mazhab utama iaitu Imam Malik, Imam al-Shafi’i, dan Imam Ahmad, serta jumhur  ulama.

Akad perkahwinan adalah satu perjanjian yang penting yang memerlukan pengetahuan tentang maslhah dan mafsadah perkahwinan, serta memerlukan pertimbangan, penelitian, dan perundingan. Wanita adalah seorang yang kurang dari sudut fikiran dan penelitian terhadap sesuatu. Oleh yang demikian, seorang wanita memerlukan wali dalam akad perkahwinan untuk kepentingan maslahahnya. Justeru, wali menjadi satu syarat penting dalam akad perkahwinan menurut nas yang sahih dan pandangan kebanyakan ulama. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram,5/264)

Hikmah disyariatkan wali dalam perkahwinan adalah mengikut kebiasaan adat yang sebaiknya yang mana tidak wajar seorang perempuan melakukan akad sendiri. Ini kerana dia mestilah memiliki sifat malu sebagai seorang perempuan. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 4/61)

Imam al-Syirazi berkata: Sekiranya tidak ada wali, kerana wali itu (berada) pada jarak yang membolehkan untuk solat qasar (dua marhalah), maka sultan yang mengahwinkan perempuan itu dan tidak boleh wali yang seterusnya (wali ab’ad) mengahwinkan kerana hak perwalian wali yang tiada (berada jauh dua marhalah) masih kekal. Oleh itu, sekiranya wali hakim mengahwinkan perempuan itu yang menggantikan tempat wali nasab, maka sah aqad tersebut. Hal ini kerana ada keuzuran daripada wali nasab maka sultan mengambil tempatnya (menjadi wali). (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Syafie, 2/429)

Telah Dinyatakan dalam Mughni al-Muhtaj bahawa jika perempuan ingin berkahwin dengan seorang yang tidak sekufu dengannya, maka wali boleh menghalangnya dengan enggan mengahwinkannya dengan lelaki tersebut. Ini kerana wali mempunyai hak dalam memilih pasangan yang sekufu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/253)

Sebagai kesimpulannya, kami ingin menekankan bahawa perkahwinan yang sah adalah perkahwinan yang mematuhi serta memenuhi semua rukun-rukun nikah. Perkahwinan yang dijalankan tanpa seorang wali adalah tidak sah dan dianggap terbatal, seperti yang telah dinyatakan dalam nas al-Quran dan al-Hadith. Ini adalah penting untuk memastikan bahawa perkahwinan yang  dijalankankan tersebut sah dan memenuhi ketetapan syara’.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *