Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang miqat Zat ‘Irqin. Dan Benarkah Umar R.A menjadikan Zat Irqin sebagai miqat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

 وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

(Surah al-Hajj: 27)

Sebagaimana yang kita ketahui, ibadat haji mempunyai dua miqat iaitu; miqat makani (tempat) dan miqat zamani (masa) iaitu bulan Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Manakala, miqat makani pula telah dinyatkan oleh Rasulullah SAW tempat-tempat tersebut berdasarkan nas yang sahih iaitu 5 tempat.

Sedangkan satu tempat yang dibahaskan oleh ulama dikenali dengan nama miqat Zat ‘Irqin (ذَات عِرْق).

Dinamakan Zat Irqin (ذَات عِرْق) kerana terdapat gunung kecil yang memanjang dari Timur sampai ke Barat dengan jarak hanya 2 km sahaja. Irq (عِرْق) ini dan tempat berihram di bawahnya bermula dari sebuah lembah yang disebut Ankhal (أَنْخَل) dan berakhir di sebelah Barat pada sebuah lembah yang disebut al-Asla’ al-Syarqiyyah (العَصْلَاء الشَّرْقِيَّة).

Ketentuan ini berdasarkan persaksian para penduduk yang dapat dipercayai, iaitu penduduk daerah tersebut dan disebut Dharibah (الضَّرِيْبَة). Satu Dharab iaitu gunung kecil dan ia terletak di sebelah Timur dengan jaraknya kira-kira 100 km dari Makkah, dan sekarang telah menjadi terpencil kerana tidak ada jalan menujunya. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/49)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan beberapa hadith berikut:

Daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ النَّبِىَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- وقَّتَ لأَهْلِ العِراقِ ذَاتَ عِرْقٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW menentukan Zat Irqin sebagai miqat bagi penduduk Iraq.”

Riwayat Abu Daud (1739) dan al-Nasa’ie (2653)

Dalam Sahih al-Bukhari, disebut:

أَنَّ عُمَرَ -رَضِيَ اللهُ عَنْهُ- هُوَ الَّذِي وَقَّتَ ذَاتَ عِرْقٍ.

Maksudnya: “Bahawa ‘Umar R.A yang menentukan Zat Irq sebagai miqat.”

Riwayat al-Bukhari (1531)

Qarar Hai’ah Kibar al-’Ulama’ (no. 177) berkaitan miqat Zat Irqin menyebut:

Bahawa ‘Irq adalah puncak gunung yang tinggi. Warnanya berbeza daripada gunung yang lain dengan warna yang kehitaman. Ia terletak pada puncak yang teratas dari gunung. Gunung ini adalah tempat yang tertinggi dari yang ada di sekitarnya. Ia memanjang dari TImur hingga ke Barat kira-kira 2000 M, dan dibataskan dari arah Timur oleh lembah al-Hanu dan dari arah Barat oleh lembah ‘Ashla Syarqiyyah. Gunung ini adalah batas untuk miqat sebelah selatan.

“Miqat Zat ‘Irqin merupakan tanah subur yang terletak antara dua gunung. Di dalamnya terdapat jalur yang besar mengarah ke Timur sampai ke Barat, disebut lembah Dharibah. Tanah yang subur ini meluas pada sebahagian sisinya dan menyempit pada sisi yang lain, antara 200 M dan 500 M panjangnya, dari Timur sampai ke Barat kira-kira 2000 M.”

Mengenai batasan Miqat pula, Qarar menyebut:

Dari arah timur, ia dibataskan oleh tempat pertemuan antara lembah al-Hanu serta lembah Ankhal pada muara keduanya, kerana lembah Dharibah terdiri daripada keduanya. Dan pada tempat pertemuan dua lembah itu, dimulakan al-’Irq yang dinisbahkan pada miqat itu. Pada batasan ini, ditemui tiga bahagian:

  • Di kedua sebelah Selatannya, iaitu pada kaki al-’Irq tersebut, pada permulaannya dari Timur di mana ada jalur lembah al-Hanu.
  • Di atas tempat pertemuan lembah al-Hanu dan lembah Ankhal, iaitu pada segitiga yang memisahkan antara keduanya sebelum mendekati pertemuan keduanya.
  • Pada kaki gunung sebelah utara yang menghadap ke gunung ‘Irq dari utara.

(Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/49).

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply