Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum membunuh tikus ketika dalam ihram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

(Surah al-Hajj: 27)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan hadith daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَمْسٌ مِنَ الدَّوابِّ كُلُّهُنَّ فَوَاسِقُ، يُقْتَلنَ فِي الحِلِّ وَالحَرَمِ: العَقْرَبُ، والحِدَأةُ، وَالغُرَابُ، وَالفَأْرَةُ، وَالكَلْبُ العَقُورُ

Maksudnya: “Lima haiwan melata, semua fasiq (perosak) yang boleh dibunuh di daerah yang halal dan haram: Kalajengking, sejenis burung helang, burung gagak, tikus dan anjing yang suka menggigit.”

Riwayat al-Bukhari (1829) dan Muslim (1198)

Syeikh Abdullah al-Bassam menyebut: Berdasarkan hadith di atas, boleh membunuh lima binatang yang disebutkan dalam hadith. Ia merupakan kesepakatan daripada para ulama’, sedangkan perbezaan itu pada makna yang diberlakukan untuk membunuhnya kerananya. Selain itu, hadith juga menjelaskan bahawa disyariatkan membunuh haiwan dan serangga yang berbahaya seperti ular, serigala, singa, helang dan kera berdasarkan makna hadith itu yang membolehkan membunuhnya kerana kefasikannya yang telah ditetapkan sebahagiannya.

Syeikh dan yang lainnya berkata: Bagi orang yang berihram dan yang lainnya, hendaklah membunuh apa yang kebiasaannya membahayakan manusia, seperti ular, kalajengking dan tikus. Dia hendaklah mencegah apa yang membahayakan dari manusia dan binatang lain, hingga seandainya salah satunya menyerangnya dan tidak dapat dicegah kecuali dengan membunuhnya. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/86)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

 

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply