Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud firasat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْمُتَوَسِّمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda.”

(Surah al-Hijr:75)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa kalimah firasat diambil daripada perkataan al-tafarrus (التَّفَرُّس) dengan sesuatu. Iaitu lintasan yang menghentam pada hati dan melompat ke atasnya seperti terkaman singa kepada mangsa. Inilah asal isytiqaqnya. Ia mempunyai pelbagai jenis berdasarkan seseorang, keadaan, kekuatan hati, kebersihannya, kekuatan iman, dan kelemahannya. (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, hlm. 705; Mu’jam Maqayis al-Lughah, 4/186; Lisan al-’Arab, 6/159)

Dalam Taj al-’Arus menyebut:

 والفِرَاسَةُ، بالكَسْرِ: اسمٌ مِن التَّفَرُّسِ، وَهُوَ التَّوَسُّم.

Maksudnya: “Dan firasat itu dibaca dengan baris bawah adalah nama daripada tafarrus iaitu menerkam atau membaham. Dan ia adalah sebagai sangkaan yang kuat lagi benar.” (Lihat Taj al-‘Arus min Jawahir al-Qamus, 16/328)

Pada istilahnya pula, kami kemukakan di sini beberapa pandangan ulama’ khususnya ahli tasawwuf berkenaan firasat, antaranya:

  • Ustaz Syeikh Abu Ali Al-Daqaq[1] berkata, “Firasat adalah suara batin yang masuk ke dalam hati dan meniadakan kontradiksi. Setiap suara hati memiliki nilai hukum yang menguasai hati. Kata firasat merupakan pecahan dari kata frasa yang mengandung makna menerkam atau memburu. Farisah al-sabu’u memiliki makna terkaman binatang buas. Tetapi, makna pembandingnya tidak boleh diertikan dalam konteks hati sahaja. Keberadaannya adalah bergantung kepada kualiti iman. Setiap orang yang imannya lebih kuat, pasti firasatnya lebih tajam.” (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, hlm. 231)
  • Abu Said al-Kharraz[2] mengatakan “Barang siapa melihat dengan cahaya firasat bererti dia melihat dengan cahaya Al-Haq. Sumber ilmunya berasal daripada al-Haq. Dia dapat melihat tanpa lupa dan lalai. Hukum kebenaran Tuhan mengiringi gerakan lidahnya. Manusia seperti ini berbicara dengan menggunakan pancaran sinar kebenaran Tuhan. Ucapannya yang menyatakan dia memandang dengan cahaya al-Haq ertinya dia melihat dengan cahaya yang dikhususkan Allah kepadanya.” (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, hlm. 231)
  • Muhammad Al-Wasiti[3] mengatakan, “Firasat adalah pancaran cahaya yang memancar ke dalam hati, penguasaan ma’rifat yang membawa rahsia-rahsia ke dalam hati, dari sesuatu yang gaib menuju yang ghaib sehingga dia mampu melihat sesuatu menurut sisi mana Tuhan memandang. Dia boleh berbicara dengan hati makhluk.” (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, hlm. 231-232)
  • Muhammad al-Kattani[4] berkata, “Firasat merupakan terdedahnya keyakinan dan penglihatan yang ghaib yang termasuk dalam maqam iman.” (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, hlm. 232)
  • Abu Ja’far al-Haddad berpendapat, “Firasat adalah kilasan pertama intuisi yang datang kepadamu, tidak disertai fikiran yang berlawanan. Jika suatu fikiran yang berlawanan datang menentangnya, maka ketahuilah bahawa (fikiran yang pertama) hanyalah fikiran sesat dan igauan fikiran semata-mata.” (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, hlm. 315)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Beliau ialah Abu ‘Ali al-Hasan bin ‘Ali bin Muhammad al-Daqqaq, yang merupakan salah seorang tokoh sufi terkemuka. Menurut al-Hujwiri, Abu ‘Ali Hasan al-Daqqaq adalah merupakan tokoh di dalam ilmu pengetahuan dan tiada yang setanding dengannya pada zamannya. Dia merupakan seorang yang fasih dalam perbicaraan tentang jalan mendekatkan diri kepada Tuhan. Beliau berguru antaranya dengan Nasr Abadzi. Antara ucapannya ialah: “Siapa yang banyak mengingati kematian, maka akan mendapat tiga kemuliaan iaitu bersegera untuk bertaubat, hatinya qana’ah (merasa cukup) dan sentiasa bersemangat dalam beribadah.” (Lihat al-Tazkirah, hlm. 15). Antara muridnya ialah Abu al-Qasim al-Qusyairi yang terkenal dengan al-Risalah al-Qusyairiyyah. Beliau meninggal dunia pada tahun 405 H dan ada pendapat menyebut pada tahun 412 H.

[2] Nama penuh beliau ialah Ahmad bin ‘Isa Abu Sa’id al-Kharraz. Beliau berasal dari Baghdad. Beliau merupakan salah seorang murid Syeikh Muhammad bin Mansur al-Tusi. Beliau bersahabat dengan Syeikh Dzun Nun al-Misri, Syeikh Sari al-Saqati dan Syeikh Bisyr al-Hafi. Beliau wafat sebelum Syeikh Junaid al-Baghdadi pada tahun 286 H.

[3] Beliau ialah Abu Bakar Muhammad bin Musa al-Wasiti. Berasal daripada Farghanah dan dengannya dikenali dengan nama Ibn al-Farghani. Beliau termasuk dari kalangan ashab al-Junaid dan Abu al-Husain al-Nuri. Beliau meninggal dunia di Turkmenistan pada tahun 320 H. Pendapat lain menyebut, pada tahun 325 H.

[4] Nama penuh beliau ialah Muhammad bin ‘Ali bin Ja’far Abu Bakar al-Kattani. Merupakan salah seorang tokoh besar sufi. Beliau berasal dari Baghdad. Beliau bersahabat dan berguru dengan Imam Junaid, Abu Sa’id al-Kharraz dan Abu al-Hasan al-Nuri. Al-Sulami dalam Tabaqat al-Sufiyyah menyebut bahawa al-Kattani tinggal di Makkah, di sekitar Masjid al-Haram sehingga akhir hayatnya. Meninggal dunia pada tahun 322 H.

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply