Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah doa yang warid daripada Nabi SAW pada solat jenazah dan bolehkah syarah sikit? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, solat jenazah mengandungi empat takbir dan tidak boleh kurang daripada itu. Hal ini kerana tidak ada khilaf dalam kalangan fuqaha bahawa takbir dalam solat jenazah adalah rukun, dan tidak sah solat jenazah melainkan dengannya.

Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي اليَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ خَرَجَ إِلَى المُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengumumkan kematian al-Najasyi pada hari kematiannya. Kemudian Baginda keluar menuju ke tempat solat lalu Baginda menyusun saf bersama mereka, dan bertakbir sebanyak empat kali.

Riwayat al-Bukhari (1245) dan Muslim (951)

Secara ringkasnya solat jenazah adalah sebagaimana berikut:

Pertama: Bertakbiratul ihram sambil berniat solat Jenazah.

Kedua: Setelah bertakbir, letakkan kedua-dua tangan ke dada sebagaimana solat biasa, kemudian membaca surah al-Fatihah.

Ketiga: Setelah selesai membaca surah al-Fatihah, bertakbir pula kali kedua. Kemudian, bacalah apa-apa selawat ke atas Nabi SAW. Selawat yang afdhal ialah selawat Ibrahimiyah sebagaimana yang telah disebutkan dalam bab hukum-hukum solat.

Keempat: Bertakbir pula kali ketiga dan diikuti dengan mendoakan mayat. Mendoakan mayat adalah maksud utama solat jenazah. Sekurang-kurang bacaan doa adalah:

اللَّهُمَّ ارْحَمهُ أوِ اغْفِرلَه

Maksudnya: “‘Ya Allah! Rahmatilah dia,’ atau ‘Ya Allah! Ampunilah dia.’” (Lihat  al-Fiqh al-Manhaji, 1/602).

Kelima: Bertakbir buat kali keempat, kemudian berdoa:

اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ

Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami dan dia.

Riwayat Abu Daud (3201)

Keenam: Memberi salam sebanyak dua kali, iaitu ke kanan dan ke kiri sebagaimana salam solat-solat yang lain.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, terdapat beberapa riwayat menyebutkan berkenaan doa Nabi SAW dalam solat jenazah. Di antaranya riwayat daripada ‘Auf bin Malik R.A, katanya: Rasulullah SAW mendirikan solat ke atas jenazah, kemudian aku hafal daripada doanya:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ، وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّع مُدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالمَاءَ وَالثَّلجِ وَالبرَدِ، وَنَقِّهِ منِ الخَطَايَا؛ كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأهْلاً خَيْرًا مِنْ أهْلِهِ، وَأدْخِلْهُ الجَنَّةَ، وَقِهِ فِتْنةٌ القَبْرِ، وَعَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah, Ampunilah baginya, kasihanilah dia, selamatkanlah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kedudukannya, perluaskanlah tempat masuk (kuburnya), sucikanlah dia dengan air, salji dan air sejuk, bersihkanlah dia dari dosa-dosa seperti Engkau bersihkan kain yang putih dari kekotoran, gantikanlah dia rumah yang lebih baik dari rumahnya dan ahli keluarga yang lebih baik dari ahli keluarganya. Masukkanlah dia ke syurga dan lindungi dia daripada fitnah kubur dan azab neraka.”

Riwayat Muslim (963)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menjelaskan makna lafaz-lafaz di dalam doa tersebut:

Lafaz “اغْفِرْ لَهُ” (ampunilah baginya) dalam doa di atas merujuk kepada keampunan dengan menutupi dosa-dosanya yang dia telah tergelincir melakukannya.

Lafaz “ارْحَمْهُ” (kasihanilah dia): Rahmat adalah lebih luas daripada keampunan kerana di dalamnya mengandungi terhasilnya atau tercapainya sesuatu yang diingini setelah hilangnya sesuatu yang tidak disukai.

Lafaz “عَافِهِ” (selamatkanlah dia) iaitu selamatkanlah dia daripada dosa-dosa, azab kubur dan juga azab api neraka.

Lafaz “اعْفُ عَنْهُ” (maafkanlah dia) iaitu maafkanlah dia atas apa yang dia telah tergelincir melakukannya daripada perkara-perkara yang haram atau terkurang melakukannya daripada perkara-perkara yang wajib — yang diperintahkan untuk melakukannya.

Lafaz “أَكْرِمْ نُزُلَهُ” (muliakanlah kedudukannya): Al-Nuzul ialah tempat istirahat yang disediakan untuk tetamu. Dalam erti kata lain, jadikan tempat peristirahatannya dan layanannya di di sisi-MU dengan penuh kehormatan.

Lafaz “وَسِّع مُدْخَلَهُ” (perluaskanlah tempat masuknya) iaitu tempat masuknya di dalam kubur dengan diluaskan di dalam kubur itu untuknya, dibukakan buatnya pintu ke syurga dan begitu juga kedudukannya di sisi-Mu di dalam syurga selepas kebangkitan.

Lafaz “اغْسِلْهُ بِالمَاءَ وَالثَّلجِ وَالبرَدِ” (sucikanlah dia dengan air, salji dan air sejuk). Hal ini kerana bahan-bahan ini dapat memadamkan panas dosa-dosanya dan mendinginkannya.

Lafaz “نَقِّهِ منِ الخَطَايَا” (bersihkanlah dia dari dosa-dosa). Perkataan naqiy “نَقِيُّ” bermaksud membersihkan. Jadi, “نَقَّي الشيء” bermaksud membersihkannya. Maksudnya adalah membersihkan sesuatu daripada kotoran dosa dan kesalahan yang telah merosakkannya.

Lafaz “كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ” (seperti Engkau bersihkan kain yang putih dari kekotoran): Dikhususkan dengan menyebut “warna putih” kerana menghilangkan kotoran daripada pakaian putih adalah lebih jelas berbanding warna-warna lain.

Lafaz “أَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ” (gantikanlah dia rumah yang lebih baik dari rumahnya) iaitu dengan menggantikannya dengan tempat kediaman dalam syurga, berbanding tempat kediamannya dalam dunia yang telah ditinggalkannya.

Lafaz “أهْلاً خَيْرًا مِنْ أهْلِهِ” (gantikanlah ahli keluarga yang lebih baik dari ahli keluarganya): Pergantian ini sama ada dari sudut ahli itu sendiri, di mana Allah SWT akan menggantikannya dengan ahli yang lain di dalam kediamannya dalam syurga, atau pergantian itu dari sudut sifat-sifatnya, iaitu seorang wanita tua dikembalikan menjadi muda dan sifat-sifat buruknya berubah menjadi sifat-sifat baik.

Lafaz “أدْخِلْهُ الجَنَّةَ” (masukkanlah dia ke syurga): Syurga ialah nama untuk apa yang Allah sediakan buat hamba-hamba-Nya yang soleh berupa kenikmatan yang mata tidak pernah melihatnya, telinga tidak pernah mendengarnya, dan tidak pernah sama sekali ia terlintas di dalam hati manusia mahupun fikirannya.

Lafaz “قِهِ فِتْنةٌ القَبْرِ” (lindungi dia daripada fitnah kubur) iaitu daripada ujian-ujiannya yang pasti akan berlaku, dan doa ini adalah untuk meminta perlindungan daripada keburukannya.

Lafaz “عَذَابَ النَّارِ” (lindungi dia daripada azab api neraka): Memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada azab api neraka yang ketakutannya tidak dapat dibayangkan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/206-207).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply