Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah ada sahabat yang hanya ingin solat yang wajib dan puasa Ramadhan serta menghalal yang halal dan mengharam yang haram? Siapakah sahabat tersebut dan apakah tafsir hadith tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Jawapannya, benar. Hal ini berdasarkan hadith: Daripada Abu Abdillah, Jabir bin Abdillah al-Ansari R.Anhuma: Bahawa seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, seraya berkata:

أَرَأَيْتَ إِذَا صَلَّيْتُ المُكْتُوبَاتِ، وَصُمْتُ رَمَضَانَ، وَأَحْلَلْتُ الْخَلَالَ، وَحَرَّمْتُ الْحَرَامَ، وَلَمْ أَزِدْ عَلَى ذَلِكَ شَيْئًا، أَأَدْخُلُ الْجَنَّةَ؟ قَالَ: نَعَمْ.

Maksudnya: “Apakah pendapat kamu jika aku melaksanakan solat yang wajib, berpuasa Ramadhan, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram dan aku tidak tambah sedikit pun (dengan amalan sunat), adakah aku akan masuk syurga? Baginda bersabda: Ya.”

Riwayat Muslim (15)

Sahabat yang bertanya adalah Nu’man bin Qauqal al-Khuzaie. Beliau menyertai peperangan Badar dan syahid dalam Peperangan Uhud. Beliaulah yang berkata pada hari Peperangan Uhud: Aku bersumpah denganmu wahai Tuhan segala kemuliaan tidak akan tenggelam matahari sehinggalah aku berjaya menjejakkan kakiku ini di kehijauan syurga. Rasulullah SAW telah bersabda selepas kesyahidannya:

إِنَّ النُّعْمَانَ ظَنَّ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ خَيْراً فَوَجَدَهُ عِنْدَ ظَنِّهِ، وَلَقَدْ رَأَيْتُهُ يَطَأُ فِي خضرها ما به من عرج

Maksudnya: “Sesungguhnya Nu’man telah bersangka baik kepada Allah Azawajalla, maka beliau mendapati Allah melakukan terhadapnya sebagaimana sangkaannya itu. Aku benar-benar melihat beliau menjejakkan kakinya di kehijauan syurga tanpa ada apa-apa kepincangan.”

Maksud hadith tersebut, Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Dikehendaki dengan kenyataan sahabat ini yang tidak mahu menambah dan mengurang bukanlah berkenaan dengan solat wajib, zakat, puasa ramadhan dan haji dengan makna bahawa dia tidak beramal daripada syariah Islam. Ini kerana, mafhum sebenar orang yang bertanya ini menuju dengan amalannya sebagai layak masuk syurga Allah.”

Semoga Allah SWT campakkan kepada kita sifat malu sebagai mana menjadi sifat para Nabi SAW dan orang-orang soleh. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply