Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami siapakah Sahl bin Sa’d R.A?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Nama beliau ialah Sahl bin Sa’d bin Malik bin Khalid bin Tha’labah bin Harithah bin Amr bin al-Khazraj bin Sa’idah bin Ka’ab bin al-Khazraj al-Sa’idi. Kunniyyah beliau ialah Abu al-Abbas dan dikatakan juga bahawa kunniyyah beliau ialah Abi Yahya. Selain itu, beliau merupakan antara sahabat Nabi SAW yang masyhur. Dikatakan bahawa nama beliau yang asal (sebelum memeluk Islam) ialah Hazan, kemudian Nabi SAW menukarkannya kepada Sahl.

Ketika Nabi SAW wafat, beliau berumur 15 tahun. Tatkala berlakunya peperangan Tabuk, beliau masih muda dan turut ikut serta dalam peperangan ini.

Beliau meriwayatkan 188 buah hadis daripada Nabi SAW dan juga daripada sahabat-sahabat yang lain. Di samping itu, ramai yang telah mengambil dan meriwayatkan hadis daripada beliau. Antara faktornya ialah, Sahl bin Sa’d merupakan antara sahabat Nabi SAW yang Allah SWT kurniakan nya umur yang panjang. Beliau hidup begitu lama dan sempat ketika zaman pemerintahan al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi.

Antara murid-muridnya ialah: Muhammad bin Muslim bin Syihab al-Zuhri, Qudamah  bin Ibrahim , Amru bin Jabir al-Hadrami, Imran bin Abi Anas al-Qurasyi, Wafa’ bin Syuraih al-Hadrami, Yahya bin Maimun al-Hadrami, al-Abbas bin Sahal bin Sa’d al-Ansari  dan lain-lain.

Al-Zuhri berkata: “Ketika Rasulullah SAW wafat beliau berusia 15 tahun dan beliau merupakan antara sahabat yang terakhir meninggal di Kota Madinah iaitu pada tahun 91 Hijrah.”

Al-Waqidi berkata: “Beliau hidup selama 100 tahun dan ada yang berpendapat bahawa beliau hidup selama 96 tahun.”

Beliau telah wafat pada tahun 88 Hijrah di Madinah dan ketika itu umur beliau melebihi seratus tahun. Di samping itu, beliau merupakan sahabat Nabi SAW yang terakhir wafat di Madinah. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala, 4/432)

Antara hadith yang diriwayatkan oleh beliau ialah:

Daripada  Abu  Abbas  Sahl  bin  Sa’ad  Al-Sa’idi  RA,  beliau  berkata: Seorang  lelaki mendatangi  Rasulullah  SAW berkata: “Wahai  Rasulullah,  tunjukkan kepadaku satu amalan yang jika aku kerjakan, Allah dan manusia akan mencintaiku. Baginda bersabda:

ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبُّكَ اللّهُ، وَازْهَدْ فِيمَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبُّكَ النَّاسُ

Maksudnya: “Zuhudlah terhadap dunia maka engkau akan dicintai Allah, dan zuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia maka engkau akan dicintai manusia.”

Riwayat Ibn Majah (4102) dan selainnya dengan sanad-sanad yang hasan. Hadis hasan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *