Soalan
Apakah amalan yang boleh saya buat untuk waris saya yang telah meninggal dunia agar pahala berpanjangan sampai kepadanya?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Apabila matinya manusia, segala taklifan dia sebagai manusia akan terhapus, semua amal ibadahnya akan terhapus kecuali 3 perkara yang ganjaran pahalanya akan berkekalan sehingga selepas kematian. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَاّ مِنْ ثَلاثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَه
Maksudnya: “Apabila matinya anak Adam, maka amalnya terputus kecuali daripada tiga perkara, sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.”
Riwayat Muslim (1631)
Imam al-Nawawi dalam syarhnya menyebut: Ulama’ berkata: Hadith ini bermaksud bahawa setiap amalan orang yang mati terputus disebabkan oleh kematiannya kecuali disebabkan oleh tiga perkara yang mempunyai sebabnya. Anaknya adalah daripada hasilnya, begitu juga dengan ilmu yang diajarkannya melalui pembelajaran, begitu juga dengan sedeqah jariah iaitu wakaf. Dan pada hadith ini juga terdapat kelebihan berkahwin untuk dapatkan anak yang soleh. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/85).
Berdasarkan soalan di atas, terdapat beberapa amalan yang manfaatnya sampai kepada si mati, antaranya ialah amalan sedekah, berdoa, dan haji untuk orang yang sudah meninggal dunia sampai pahalanya kepada mereka, dengan izin Allah Taala.
- Berdoa untuk si mati
Di dalam al-Quran menyebut bahawa orang beriman berdoa untuk generasi yang mendahului mereka di dalam iman:
وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “an orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu”.
(Surah al-Hasyr: 10)
Menjadi perkara yang sunat juga di dalam solat jenazah untuk berdoa demi kebaikan jenazah. Lafaznya seperti:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَه وَارْحَمْه وَعَافِه وَاعْفُ عَنْه
Maksudnya: Ya Allah, ampunlah dosanya, limpahkan rahmat kepanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَه وَارْحَمْه وَعَافِه وَاعْفُ عَنْه وَأَكْرِمْ نُزُلَه وَوَسِّعْ مُدْخَلَه واغسله بالماء والثلج والبرد ونقها من الخطايا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنْ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْه دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِه وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِه وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِه وَأَدْخِلْه الْجَنَّةَ وَأَعِذْه مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah, ampunlah dosanya, limpahkan rahmat kepanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya. Muliakan tempat turunnyanya, luaskan tempat tinggalnya (di dalam kubur), mandikannya dengan air, salji dan air dingin. Bersihkannya daripada kekotoran dosanya sebagaimana dibersihkan pakaian yang putih dari segala kekotoran. Dan gantikan rumahnya dengan rumah yang lebih baik dan pasangan yang lebih baik. Masukkan dia ke dalam syurga dan lindungilah dia daripada azab kubur dan azab neraka.” (Lihat al-Majmu’, 5/236)
- Bersedekah bagi pihaknya
Hal ini berdasarkan sebuah hadis riwayat Aisyah R.Anha bahawa seorang lelaki datang bertemu Rasulullah SAW:
إِنَّ أُمِّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَلَمْ تُوصِ، وَإِنِّي أَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ لَتَصَدَّقَتْ، فَلَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا وَلِيَ أَجْرٌ؟ فَقَالَ: نَعَمْ
Maksudnya: ”Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia secara mendadak dan tidak sempat berwasiat. Saya kira, jika ia sempat berbicara nescaya dia akan bersedekah. Adakah baginya pahala jika saya bersedekah untuknya ?” Maka Baginda SAW menjawab: ”Ya.”
Riwayat Ibn Majah (2717)
Berkata Imam al-Ramli: “(Pada menyatakan sedekah bermanfaat kepada mayyit) baginya, dan termasuklah contohnya ialah berwakaf dengan mushaf (al-Quran) atau selainnya, menggalikan perigi, menanamkan pokok daripada hartanya ketika dia masih hidup atau selepas matinya menggunakan harta orang lain.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 6/92).
- Melaksanakan haji
Daripada Buraidah, daripada ayahnya, bahawa seorang wanita bertanyakan kepada Rasulullah SAW perihal ibunya yang baru meninggal dunia:
يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّهَا لَمْ تَحُجَّ قَطُّ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ، حُجِّي عَنْهَا
Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku tidak sempat menunaikan haji, apakah boleh aku berhaji bagi pihaknya?” Jawabnya: “Boleh, berhajilah kamu bagi pihaknya.”
Riwayat al-Tirmizi (667) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih.
Hadis ini menunjukkan bolehnya menunaikan haji bagi seseorang yang belum sempat melaksanakannya sewaktu ia hidup.
Sebenarnya ada lagi beberapa amalan yang memungkinkan seseorang anak atau waris boleh memanfaatkan kepada si mati. Insya-Allah kami akan perincikan pada jawapan yang lain. Kami menutup dengan doa:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى الْإِيمَانِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى الْإِسْلَامِ اللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ
Maksudnya: “Ya Allah, Ampunkanlah dosa orang yang hidup di kalangan kami, yang mati, yang kecil, yang besar, lelaki, perempuan, yang hadir dan yang ghaib. Ya Allah, siapa yang Kamu hidupkannya di kalangan kami maka hiduplah ia di atas iman dan siapa yang mematikannya maka matilah ia di atas Islam. Ya Allah janganlah Kamu halangkan kami dari pahalanya dan sesatkan kami selepasnya.”
Wallahua`lam.
Bertarikh 11 November 2021 M bersamaan 6 Rabiul Akhir 1443 H