Soalan

Assalamualaikum ustaz. Assalamualaikum. Saya ada dengar kita tidak boleh menamakan anak kita Yasar, Rabah, dan seumpamanya. Sedangkan saya lihat maksudnya baik. Yasar dengan maksud mudah dan senang, sedangkan Rabah dengan maksud keberuntungan. Kenapa?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Antara keunikan bagi manusia adalah mereka diberi nama. Hal ini tidak sepertimana makhluk yang lain, yang hanya diberi nama umum seperti pokok, haiwan, kambing, lembu dan lain-lain.

Nama yang dipilih pula hendaklah nama yang diredhai dan disukai oleh Allah. Itulah yang sepatutnya. Sabda Rasulullah SAW:

تَسَمَّوْا بأسماءِ الأنبياءِ، وأَحَبُّ الأسماءِ إلى اللهِ تعالى عبدُ اللهِ وعبدُ الرحمنِ، وأَصْدَقُها حارثٌ وهَمّامٌ، وأَقْبَحُها حَرْبٌ ومُرَّةٌ.

Maksudnya: “Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi dan nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Dan nama yang paling benar ialah Haris dan Hammam. Dan nama yang paling buruk Harb dan Murrah.”

Riwayat Abu Daud (4950) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (814)

Berkenaan dengan persoalan di atas, memang terdapat sebuah hadis daripada Samurah bin Jundub, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

لا تُسَمِّينَّ غُلامَكَ يَسارًا ولا رَباحًا ولا نَجيحًا، ولا أفلَحَ؛ فإنَّك تقولُ: أثَمَّ هو؟ فيقول: لا، إنَّما هنَّ أربَعٌ؛ فلا تَزيدُنَّ عَلَيَّ

Maksudnya: “Jangan kamu menamakan anak-anakmu dengan nama Yasar, Rabah, Najih, Aflah. Kerana sesungguhnya apabila kamu berkata, adakah dia di sana? Maka jika tiada, kamu akan jawab: ‘Tiada.’ Sesungguhnya mereka adalah nama yang empat, maka jangan kamu tambah ke atasku.

Riwayat Muslim (2137) Abu Daud (4958) al-Tirmizi (2836) dan Ahmad  (20078)

Dr Aidh al-Qarni berkata: Makna hadis ini adalah apabila kamu menamakan dengan nama-nama ini, sebagai contoh, kamu kata, adakah di rumah terdapat Yasar (memberi maksud mudah), lantas dijawab: ‘Tiada.’ Maka di situ, boleh membawa kepada maksud berlaku kesusahan atau kesukaran. Atau kamu tanya, adakah Rabah (memberi maksud keuntungan) ada di rumah? Lalu dijawab: ‘Tiada,’ maka bertukarlah tempat rabah (keuntungan) kepada kerugian. Begitulah juga yang seumpamanya. (Lihat Mulhim al-‘Alam, hlm. 166-167).

Ini menggambarkan betapa Rasululalh SAW mengambil sikap tafa’ul iaitu berharap ke arah kebaikan dan menutup segala pintu yang membawa kepada kejatuhan, kehinaan, dan ketidakbaikan. Itulah sebab kenapa nama-nama tersebut tidak digalakkan walaupun kita dapati sebahagian ulama’ atau sesetengah orang menamakan anak-anak mereka dengan nama di atas.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam agama. Amin.

Wallahu a’lam.

 

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H

Leave a Reply