Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum menghiasi masjid? Ini kerana saya dapati banyak masjid yang dibina semata-mata untuk memperelok dan mencantikkannya.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا أُمِرْتُ بِتَشْيِيدِ المسَاجِدِ

Maksudnya: Aku tidak diperintah untuk meninggikan masjid.”

Riwayat Abu Dawud (448) dam Ibn Hibban (1615). Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa hadith ini diperselisihi berkenaan dengan bersambung sanadnya atau sanadnya mursal. Hadith ini dinilai sahih berdasarkan kitab Sahih al-Jami’ (5550)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kamu akan menghiasnya (masjid) sebagaimana Yahudi dan Nasrani menghiasi tempat peribadatan mereka” Penjelasan dari Ibn Abbas ini adalah penting, kerana ia mempunyai hukum seperti hadith-hadith nabawi yang lain, kerana ia mengandungi khabar ghaib yang tidak boleh diperoleh melalui pendapat manusia biasa. Perkara ini telah pun berlaku. Secara zahir, hadith ini menunjukkan pengharaman memperindahkan dan menghiasi masjid, kerana itu adalah amalan orang-orang Yahudi dan Nasrani. Menyerupai orang Yahudi dan Nasrani adalah perkara yang diharamkan, maka sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia menjadi seperti mereka. Menghiasi masjid bukanlah daripada sunnah, tetapi ia merupakan bid’ah kerana ia melibatkan pembaziran dalam perbelanjaan, yang juga adalah dilarang. Selain itu, tindakan ini boleh mengganggu khusyuk dalam solat dan ibadah, yang merupakan roh ibadah. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/139-140)

Ibn Battal berkata: “Ini menunjukkan bahawa sunnah dalam pembinaan masjid adalah meninggalkan berlebihan dalam menghiasinya. Bahkan, ketika Umar bin al-Khattab R.A memimpin banyak penaklukan pada masanya dan memiliki banyak kekayaan, beliau tidak mengubah masjid seperti yang ada, dan begitu juga pada zaman Uthman, beliau juga tidak menghiasinya secara berlebihan.” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 2/97)

Tidak diragukan lagi bahawa memperindah, menghias dan bermegah-megah dalam pembangunan masjid merupakan ciri sikap boros. Sedangkan memakmurkannya hanyalah dengan melakukan ketaatan dan zikir kepada Allah SWT di dalamnya. Cukuplah bagi manusia membuat sesuatu yang dapat melindungi mereka daripada panas, dingin, dan hujan. Telah datang ancaman dengan kehancuran apabila masjid dihiasi dan al-Quran diperindahkan (dengan pelbagai corak). Diriwayatkan daripada Abu al-Darda R.A, beliau berkata:

إِذَا زَوَّقْتُمْ مَسَاجِدَكُمْ، وَحَلَّيْتُمْ مَصَاحِفَكُمْ، فَالدِّمَارُ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Jika kamu menghiasi masjid-masjid dan mushaf kamu, maka kehancuranlah yang akan menimpa kamu.”

Riwayat Ibn Syaibah dalam al-Musannaf (3166) dan sanadnya dinilai mursal dan bertaraf hasa sebagaimana disebut dalam al-Silsilah al-Sahihah (1351)

Imam al-Munawi berkata, “Menghias masjid dan mushaf adalah sesuatu yang dilarang, kerana perkara itu boleh menyibukkan hati, dan menghilangkan kekhusyukan daripada bertadabbur dan hadirnya hati dengan mengingat Allah SWT. Mazhab al-Syafi’i berpendapat bahawa menghiasi masjid – walaupun Ka’bah – dengan emas atau perak diharamkan secara mutlak. Adapun dengan selain keduanya hukumnya adalah makruh.” (Lihat Faidh al-Qadir, 1/367)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hukum menghiasi masjid adalah dibolehkan dengan sekadarnya sahaja dan tidak boleh berlebihan dalam menghiasinya. Tambahan pula, amat penting untuk sama-sama kita membina dan membangunkan masjid dengan cantik dan indah, akan tetapi tidak boleh berlebihan dan disertai dengan rasa bangga dan sombong dengan binaan masjid yang indah tersebut. Hal ini kerana matlamat pengimarahan masjid adalah jauh lebih utama. Itulah pengisian peribadatan kepada Allah SWT.

Marilah sama-sama kita menekuni sebuah hadith Nabi SAW,  daripada Anas R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَبَاهَى النَّاسُ فِي الْمَسَاجِدِ

Maksudnya: “Tidak berlaku Kiamat sehingga orang ramai bermegah pada masjid mereka.”

Riwayat Abu Daud (449), Ibn Majah (379) dan Ahmad (12379)

Al-Bukhari Rahimahullah menyebut, Anas R.A berkata:

يَتَبَاهَوْنَ بِهَا ثُمَّ لَا يَعْمُرُونَهَا إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Orang ramai bermegah-megah dalam membangunkan masjid, kemudian mereka tidak memakmurkannya kecuali hanya sedikit.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/455-456)

Semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan mereka yang mengimarahkan masjid, bukan semata-mata bangunan tetapi kehadiran dan ketaatan dalam masjid itu sendiri. Amin.

Wallahua’alam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply