Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah ganjaran pahala bagi orang yang membersihkan masjid?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
عُرِضَتْ عَلَيَّ أُجُورُ أُمَّتِي حَتَّى الْقَذَاةُ يُخْرِجُهَا الرَّجُلُ مِنْ الْمَسْجِدِ
Maksudnya: “Telah diperlihatkan kepadaku pahala-pahala umatku hingga perbuatan seseorang yang mengeluarkan kotoran dari masjid…”
Riwayat Abu Dawud (461) al-Tirmizi (2916) dan Ibn Khuzaimah. Hadith ini dinilai dhaif tetapi ia mempunyai syawahid sebagaimana yang disebut dalam Taudhih al-Ahkam (2/141)
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَخْرَجَ أَذًى مِنَ المَسْجِدِ بَنَى الله لَهُ بَيْتاً فِي الجَنَّةِ
Maksudnya: “Sesiapa mengeluarkan gangguan daripada masjid, Allah akan membuatkan rumah di dalam syurga baginya.”
Riwayat Ibn Majah (757). Hadith ini dinilai dhaif sebagaimana yang disebut dalam Dhaif al-Targhib (185)
Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Dalam hadith ini, dibentangkan kepada Nabi SAW ganjaran amalan umatnya, baik yang besar mahu pun yang kecil, termasuk ganjaran bagi tindakan membersihkan masjid, seperti menyapu lantai. Ini adalah bukti bahawa semua amalan, baik yang besar mahupun yang kecil, akan dihisab, dan pahala akan diberikan kepada pelakunya. Seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran:
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًۭا يَرَهُۥ (٧) وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍۢ شَرًّۭا يَرَهُ ۥ(٨)
Maksudnya: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).”
(Surah al-Zalzalah: 7-8)
Zahir hadith ini ialah, bahawa amalan umat baginda SAW diperlihatkan pada malam baginda dinaikkan ke langit, dan ganjaran amalan-amalan umat baginda diperlihatkan kepada baginda. Hadith ini juga menunjukkan pentingnya menghormati dan menghargai masjid, serta keperluan untuk membersihkannya dan mewangikannya. Sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat Ahmad, bahawa Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW memerintahkan pembinaan masjid dan untuk membersihkan dan mewangikannya. Ini menunjukkan betapa pentingnya menghormati dan membesarkan masjid, yang merupakan tempat suci untuk beribadah kepada Allah. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/142)
Ibn Ruslan al-Syafi’i menyatakan: Dalam hadith ini terdapat dorongan untuk membersihkan masjid daripada segala jenis sampah dan kotoran yang mungkin terdapat di dalamnya. Bahkan, tindakan membersihkan masjid dan menjaga kebersihan di dalamnya adalah perbuatan yang sangat mulia, dan pahala diberikan kepada mereka yang melakukannya. Ini juga mengingatkan kita untuk lebih memberi perhatian kepada tindakan yang mungkin dianggap kecil, kerana setiap tindakan baik, sekecil apa pun, diangkat di sisi Allah. Selain itu, ada nasihat dari beberapa ulama bahawa ketika seseorang mengambil sampah daripada masjid atau membersihkan gangguan pada jalan yang digunakan oleh umat Islam, dia seharusnya mengucapkan kalimah “لا إله إلا الله” (Tiada Tuhan selain Allah) sebagai tanda berkumpulnya antara iman yang rendah dan yang tinggi, dan ia adalah kalimah tauhid antara perbuatan dan perkataan, dan sekiranya hatinya seiring dengan lisannya, pastilah ia lebih sempurna. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud li Ibn Ruslan, 3/289)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa pahala membersihkan masjid sangatlah besar ganjarannya walaupun perbuatan itu dianggap perbuatan yang kecil. Tindakan membersihkan masjid daripada segala jenis sampah dan kotoran yang mungkin terdapat di dalamnya adalah perbuatan yang sangat mulia, dan pahala diberikan kepada mereka yang melakukannya. Ini juga mengingatkan kita untuk lebih memberi perhatian kepada tindakan yang mungkin dianggap kecil, kerana setiap tindakan baik, sekecil apa pun, diangkat tinggi di sisi Allah dan dibalas dengan pahala.
Sebuah kisah yang amat menarik, daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
أَنَّ امْرَأَةً، سَوْدَاءَ كَانَتْ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ – أَوْ شَابًّا – فَفَقَدَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَسَأَلَ عَنْهَا – أَوْ عَنْهُ – فَقَالُوا مَاتَ . قَالَ ” أَفَلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي ” . قَالَ فَكَأَنَّهُمْ صَغَّرُوا أَمْرَهَا – أَوْ أَمْرَهُ – فَقَالَ ” دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ ” . فَدَلُّوهُ فَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ قَالَ ” إِنَّ هَذِهِ الْقُبُورَ مَمْلُوءَةٌ ظُلْمَةً عَلَى أَهْلِهَا وَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُنَوِّرُهَا لَهُمْ بِصَلاَتِي عَلَيْهِمْ ” .
Maksudnya: “Bahawa seorang wanita berkulit hitam berkhidmat sebagai siak masjid atau seorang pemuda, kemudian Nabi SAW mendapatinya tiada, lantas ditanya tentangnya. Maka mereka menjawab, telah meninggal dunia. Sabda Baginda, kenapa kamu tidak beritahu kepadaku. Katanya, seolah-olah mereka memperkecilkan urusan tersebut. Atau kerana jawatannya, atau kerana tugasnya yang dianggap remeh. Kemudian Baginda SAW bersabda: Tunjukkan kepadaku kuburnya. Lantas, mereka menunjukkannya dan Nabi solat ke atasnya. Kemudian Baginda SAW bersabda: Sesungguhnya kubur ini dipenuhi dengan kegelapan kepada tuan-tuannya. Dan sesungguhnya Allah jadikan solatku memberi cahaya kepada mereka.”
Riwayat Muslim (956)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”