Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Apakah bacaan Doa iftitah mengikut sunnah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Doa iftitah merupakan bacaan yang dibaca sebelum membaca Surah al-Fatihah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌إِذَا ‌افْتَتَحَ ‌الصَّلَاةَ قَالَ: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ وَتَبَارَكَ اسْمُكَ وَتَعَالَى جَدُّكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Maksudnya: “Apabila Baginda Nabi SAW memulakan solat, Baginda akan membaca: Maha Suci Engkau wahai Allah dan segala puji bagi Engkau. Nama-Mu penuh berkat dan Maha Tinggi. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau.”

Riwayat al-Tirmizi (243)

Membaca doa iftitah adalah antara perkara sunat yang dituntut untuk dibaca di dalam solat. Imam al-Nawawi menjelaskan: “(Rukun) Yang keempat adalah membaca Al-Fatihah dan disunatkan selepas takbiratul ihram untuk membaca doa Iftitah.” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 26)

Ia sunat dibaca pada permulaan rakaat yang pertama sama ada solat fardhu mahupun solat sunat. Imam al-Nawawi berkata: “Perkara yang disebutkan ini menjelaskan sunatnya membaca doa Iftitah bagi setiap orang yang mendirikan solat. Ianya termasuk juga solat Sunat Rawatib, solat Sunat Mutlak, Solat Sunat Hari Raya, Solat Solat Gerhana dan lain-lain pada permulaan qiyam yang pertama (rakaat pertama). Bacaan tersebut dikecualikan pada dua tempat (iaitu Solat Jenazah dan orang yang masbuk).” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/319)

Terdapat pelbagai bentuk bacaan doa iftitah yang diriwayatkan dalam pelbagai hadis. Antaranya adalah:

Bacaan Pertama

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ، كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ المَشْرِقِ وَالمَغْرِبِ، اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنَ الخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالبَرَدِ

Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah aku dengan kesalahanku, sebagaimana Engkau telah jauhkan antara Timur dan Barat. Ya Allah, sucikanlah aku daripada kesalahan, sebagaimana Engkau mensucikan salju putih daripada kotoran. Ya Allah, bersihkanlah kesalahanku dengan air, salju dan embun.”

Riwayat al-Bukhari (744)

Bacaan Kedua

وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا، وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي، وَنُسُكِي، وَمَحْيَايَ، وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ، اللهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَنْتَ رَبِّي، وَأَنَا عَبْدُكَ، ظَلَمْتُ نَفْسِي، وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي ذُنُوبِي جَمِيعًا، إِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، وَاهْدِنِي لِأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْتَ، وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لَا يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ، لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ، وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ، أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ، تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

Maksudnya: “Aku hadapkan wajahku kepada Zat yang Maha Pencipta langit dan bumi sebagai Muslim yang ikhlas dan aku bukan termasuk dalam kalangan orang yang mensyirikkan Allah. Sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku, hanya semata-mata untuk Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya. Oleh kerana itu, aku patuh kepada perintah-Nya, dan aku termasuk dalam kalangan orang yang aku berserah diri. Ya Allah, Engkaulah Maha Penguasa. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Maha Suci Engkau dan Maha Terpuji. Engkaulah Tuhanku dan aku adalah hamba-Mu. Aku telah menzalimi diriku sendiri dan akui dosa-dosaku. Maka, ampunilah semua dosa-dosaku. Sesungguhnya, tidak ada yang boleh mengampuni segala dosa melainkan Engkau. Tunjukilah aku akhlak yang paling terbaik. Tidak ada yang dapat menunjukkannya melainkan hanya Engkau. Jauhkanlah dariku akhlak yang buruk. Kerana sesungguhnya tidak ada yang sanggup menjauhkannya melainkan hanya Engkau. Aku patuhi segala perintahMu, dan aku tolong agama-Mu. Segala kebaikan berada di tangan-Mu. Sedangkan kejahatan tidak datang daripada-Mu. Aku berpegang teguh denganMu dan kepada-Mu. Maha Suci Engkau dan Maha Tinggi. Kumohon ampun dariMu dan aku bertaubat kepada-Mu.”

Riwayat Muslim (201)

Bacaan Ketiga

اللَّهِ أَكْبَرُ وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ، اللَّهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ وَبِحَمْدِكَ

Maksudnya: “Aku hadapkan wajahku kepada Zat yang Maha Pencipta langit dan bumi sebagai Muslim yang ikhlas dan aku bukan termasuk dalam kalangan orang yang mensyirikkan Allah. Sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku, hanya semata-mata untuk Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya. Maka aku patuh kepada perintah-Nya, dan aku termasuk dalam kalangan orang yang awal berserah diri. Ya Allah, Engkaulah Maha Penguasa. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Maha Suci Engkau dan Maha Terpuji.”

Riwayat al-Nasa’ie (898)

Bacaan Keempat

إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ. اللَّهُمَّ اهْدِنِي لِأَحْسَنِ الْأَعْمَالِ وَأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْتَ، وَقِنِي سَيِّئَ الْأَعْمَالِ وَسَيِّئَ الْأَخْلَاقِ لَا يَقِي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku, hanya semata-mata untuk Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya. Maka, aku patuh kepada perintah-Nya, dan aku termasuk dalam kalangan orang yang aku berserah diri. Ya Allah, tunjukilah aku amal dan akhlak yang terbaik. Tidak ada yang dapat menunjukkanku kepadanya kecuali Engkau. Jauhkanlah aku dari amal dan akhlak yang buruk. Tidak ada yang dapat menjauhkanku darinya kecuali Engkau.”

Riwayat al-Nasa’ie (896)

Bacaan Kelima

Saidina Umar ibn al-Khattab diriwayatkan pernah menguatkan bacaan doa ini ketika dalam solat iaitu:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، تَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Maksudnya: “Maha suci Engkau, ya Allah. Ku sucikan nama-Mu dengan memuji-Mu. Nama-Mu penuh keberkatan. Maha Tinggi Engkau. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau.”

Riwayat Muslim (52)

Bacaan Keenam

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ وَتَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرَكَ»، ثُمَّ يَقُولُ: «لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ» ثَلَاثًا، ثُمَّ يَقُولُ: «اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا» ثَلَاثًا

Maksudnya: “Maha Suci Engkau, ya Allah. Ku sucikan nama-Mu dengan memuji-Mu. Nama-Mu penuh keberkatan. Maha tinggi Engkau. Tidak Tuhan yang berhak disembah selain Engkau, Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah (3x), Allah Maha Besar (3x)”

Riwayat Abu Dawud (775)

Bacaan Ketujuh

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “Allah Maha Besar dengan segala kebesaran, segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, Maha Suci Allah, baik waktu pagi dan petang.”

Riwayat Muslim (150)

Bacaan Kelapan

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, pujian yang terbaik dan pujian yang penuh keberkatan di dalamnya.”

Riwayat Muslim (129)

Bacaan Kesembilan

اللَّهُمَّ لَكَ الحَمْدُ أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ، وَلَكَ الحَمْدُ لَكَ مُلْكُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ، وَلَكَ الحَمْدُ أَنْتَ نُورُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ، وَلَكَ الحَمْدُ أَنْتَ مَلِكُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ، وَلَكَ الحَمْدُ أَنْتَ الحَقُّ وَوَعْدُكَ الحَقُّ، وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ، وَقَوْلُكَ حَقٌّ، وَالجَنَّةُ حَقٌّ، وَالنَّارُ حَقٌّ، وَالنَّبِيُّونَ حَقٌّ، وَمُحَمَّدٌ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقٌّ، وَالسَّاعَةُ حَقٌّ، اللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ، وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ، وَبِكَ خَاصَمْتُ، وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ، فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، أَنْتَ المُقَدِّمُ، وَأَنْتَ المُؤَخِّرُ، لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, segala puji bagi Engkau. Engkau pemelihara langit dan bumi serta orang-orang yang berada di dalamnya. Segala puji bagi Engkau. Engkau memiliki kerajaan langit, bumi dan siapa saja yang berada di dalamnya. Segala puji bagi Engkau. Engkau adalah cahaya bagi langit, bumi dan siapa saja yang berada di dalamnya. Segala puji bagi Engkau. Engkau Raja langit dan bumi dan Raja bagi siapa saja yang berada di dalamnya. Segala puji bagi Engkau. Engkaulah al-Haq. Janji-Mu pasti benar, firman-Mu pasti benar, pertemuan dengan-Mu pasti benar, firman-Mu pasti benar, syurga itu benar adanya, neraka itu benar adanya, para nabi itu membawa kebenaran, dan Muhammad SAW itu membawa kebenaran, hari kiamat itu benar. Ya Allah, kepada-Mu lah aku berserah diri. Kepada-Mu lah aku beriman. Kepada-Mu lah aku bertawakal. Kepada-Mu lah aku bertaubat. Kepada-Mu lah aku mengadu. Dan kepada-Mu aku berhukum. Maka ampunilah dosa-dosaku. Baik yang telah aku lakukan maupun yang belum aku lakukan. Baik apa yang aku sembunyikan maupun yang aku nyatakan. Engkaulah Pemula dan Pengakhir. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau.”

Riwayat al-Bukhari (1120)

Bacaan Kesepuluh

اللهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan malaikat Jibril, Mikail, dan Israfil. Pencipta langit dan bumi. Yang mengetahui hal ghaib dan juga nyata. Engkaulah hakim di antara hamba-hamba-Mu dalam hal-hal yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah aku kebenaran dalam apa yang diperselisihkan, dengan izin-Mu. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk menuju jalan yang lurus, kepada siapa saja yang Engkau kehendaki.”

Riwayat Muslim (200)

Bacaan Kesebelas

Rabi’ah al-Jurasyi berkata: “Aku bertanya kepada A’isyah: ‘Apakah yang telah dibaca oleh Nabi SAW sekiranya Baginda bangun beribadah di malam hari? Dengan apakah Baginda beriftitah?’ Aisyah menjawab:

كَانَ يُكَبِّرُ عَشْرًا، وَيُسَبِّحُ عَشْرًا، وَيُهَلِّلُ عَشْرًا، وَيَسْتَغْفِرُ عَشْرًا، وَيَقُولُ: «اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، وَاهْدِنِي وَارْزُقْنِي» عَشْرًا، وَيَقُولُ: «اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الضِّيقِ يَوْمَ الْحِسَابِ» عَشْرًا

Maksudnya: “Baginda bertakbir sepuluh kali, bertasbih sepuluh kali, tahlil sepuluh kali dan beristighfar sepuluh kali, kemudian membaca doa‘اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَاهْدِنِي وَارْزُقْنِي sepuluh kali, kemudian membaca اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الضِّيقِ يَوْمَ الْحِسَابِ sepuluh kali.”

Riwayat Ahmad (24250)

Bacaan Keduabelas

اللَّهُ أَكْبَرُ ذُو الْمَلَكُوتِ وَالْجَبَرُوتِ، وَالْكِبْرِيَاءِ وَالْعَظَمَةِ

Maksudnya: “Allah Maha Besar. Yang memiliki kerajaan besar, kekuasaan, kebesaran, dan keagungan.”

Riwayat Ahmad (23375)

Bacaan doa iftitah yang afdhal di sisi para ulama’ Syafi’iyyah adalah bacaan yang kedua. Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa ini diikuti dengan bacaan (bacaan pertama) yang terpada pada hadith Abu Hurairah. Gabungan kedua-dua doa ini digalakkan sekiranya kita bersendirian atau ketika menjadi imam dan makmun tidak bermasalah dengan bacaannya yang panjang. Sekiranya menjadi imam, pandangan yang terpilih adalah diringkaskan (bacaan kedua) sehingga frasa (وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ). (Lihat al-Majmu’, 3/ 321)

Manakala hukum membaca doa iftitah dalam solat sunat mahupun solat wajib adalah sunat. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi: “Ketahuilah bahwa semua doa-doa ini (pelbagai versi doa iftitah dalam hadis) hukumnya sunat dalam solat wajib mahupun solat sunat.” (Lihat al-Azkar, 1/107)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: “Doa Iftitah dalam solat, sama ada solat itu wajib atau sunat, sama ada berbentuk zikir atau doa, adalah dilakukan dan dibaca selepas takbiratul ihram dan sebelum membaca isti’azah (permintaan perlindungan daripada syaitan) dan membaca al-Fatihah, dan ia hanya dilakukan dalam rakaat pertama solat dan tidak dalam rakaat-rakaat yang lain. Doa Iftitah adalah sunat dan bukan wajib. Terdapat beberapa lafaz yang boleh digunakan dalam Doa Iftitah, dan yang terbaik adalah menggunakan setiap lafaz tersebut pada setiap solat, supaya semua lafaz yang berkaitan dengannya dapat diamalkan. Walau bagaimanapun, jika seseorang memilih untuk menggunakan hanya beberapa lafaz daripada lafaz-lafaz tersebut, itu juga dibenarkan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/160)

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada kita dalam memperelokkan ibadah solat kita. Wallahu a’lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply