Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah kedudukan tangan seseorang itu ketika mengangkat takbiratul ihram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terdapat beberapa cara bagaimana Nabi SAW mengangkat tangan ketika bertakbir. Kesemuanya ini terdapat di dalam hadith Nabi SAW.

Pertama: Nabi SAW mengangkat takbir sejajar dengan bahu. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ إِذَا افْتَتَحَ الصَّلاَةَ، وَإِذَا كَبَّرَ لِلرُّكُوعِ، وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ، رَفَعَهُمَا كَذَلِكَ أَيْضًا، وَقَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ، وَكَانَ لاَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِي السُّجُودِ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengangkat dua belah tangan Baginda hingga ke paras bahu apabila memulakan solat (iaitu ketika takbiratulihram), dan apabila mengangkat takbir untuk rukuk dan ketika bangun daripada rukuk, Baginda mengangkat kedua-dua belah tangannya juga, dan mengucapkan ‘سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ’. Namun Rasulullah tidak melakukannya ketika sujud.”

Riwayat Al-Bukhari (735)  dan Muslim (390)

Kedua: Nabi SAW mengangkat takbir sejajar dengan cuping telinga. Ini berdasarkan riwayat daripada Malik bin al-Huwairith RA, iaitu:

…أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا كَبَّرَ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى يُحَاذِيَ بِهِمَا أُذُنَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW ketika bertakbir, mengangkat kedua tangannya sehingga bersetentang dengan cuping telinga…

Riwayat Muslim (391)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Sunatnya mengangkat tangan sehingga sejajar dengan bahu pada permulaan sembahyang dengan takbiratul Ihram, dan juga semasa takbir untuk rukuk, serta semasa mengangkat kepala dari rukuk. Terdapat tiga tempat di mana sunatnya untuk  tangan sebaiknya dilakukan sejajar dengan bahu.

Muhammad bin Nasr al-Marwazi berkata: Kebanyakan Ulama’ dari pelbagai negeri telah bersepakat mengenai perkara ini, kecuali ahli Kufah. Mazhab Hanafi dalam perkara ini telah berselisih pendapat kecuali ketika mengangkat tangan semasa takbiratul ihram yang mana mereka merujuk kepada dalili yang diriwayatkan oleh Abu Dawud daripada Ibn Mas’ud, bahawa dia melihat Nabi SAW mengangkat tangan pada awal solat, kemudian baginda tidak melakukannya lagi.

Jawapan daripada permasalahan ini ialah: Mengangkat tangan selain daripada takbiratul ihram telah thabit dan yang telah thabit adalah diutamakan berbanding yang menafikannya. Manakala Hadith Ibn Mas’ud tidak thabit seperti yang telah disebutkan oleh Imam al-Syafi’i yang mana ia telah thabit, jika ia ditinggalkan, itu adalah petanda kebolehannya.

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada al-Hasan al-Basri dan Humaid bin Hilal bahawa mengangkat tangan adalah amalan para sahabat. Oleh itu, Ali bin al-Madini berkata: Adalah hak ke atas orang Islam untuk mengangkat tangan mereka semasa rukuk dan ketika mengangkat kepala daripada ruku’.

Syeikh al-Islam berkata: Mengangkat tangan semasa rukuk dan mengangkatnya setelah itu, sama keadaannya seperti mengangkatnya semasa takbiratul al-ihram. Ia adalah disyariatkan dengan ijma’ kaum muslimin.

Aku berkata: Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli Kufah. Syeikh al-Islam berkata: Mereka mempunyai alasan sebelum sunnah Rasulullah SAW sampai kepada mereka.

Dalam riwayat yang lain: “Mengangkat kedua tangan sehingga menyamai kedua telinganya.” Yang terbaik ialah menghimpun kedua riwayat ini untuk mencapai keluasan dan dalam situasi yang berbeza, jadi kedua-duanya adalah sunnah. Dalam Syarh al-Iqna’, dinyatakan: Mengangkat tangan bersamaan pada  awal rukuk adalah disyariatkan, kerana hadis yang menyebut, “Dan apabila baginda  takbir untuk rukuk.” Mengangkat tangan dalam semua situasi solat adalah dianggap sebagai perkara disunatkan dalam solat. Ibnu al-Qayyim berkata: Mengangkat tangan dalam situasi ini – dalam tiga situasi ini – diriwayatkan daripada Baginda SAW oleh kira-kira tiga puluh orang sahabat, dan kesepakatan telah dicapai oleh sepuluh daripadanya, dan tidak thabit apa yang selainnya.

Dalam Syarh al-Iqna’ dinyatakan: Mengangkat tangan pada tempat yang sepatutnya adalah kesempurnaan dalam solat dan sunnah-sunnahnya. Siapa yang mengangkat tangan pada tempat yang sepatutnya, maka solatnya lebih sempurna daripada orang yang tidak mengangkat tangan sebagaimana khabar-khabar yang diriwayatkan.

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai hikmah mengangkat tangan. Mereka mengatakan bahawa semasa takbiratul ihram, ia adalah untuk mengangkat hijab kealpaan daripada mengingati Allah dan mendekati-Nya, dan dalam situasi lain, ia adalah untuk mengagungkan Allah. Sebahagian daripada mereka mengatakan bahawa ia adalah tindakan penyerahan dan ketaatan seperti tawanan yang menyerah. Sebahagian lagi mengatakan bahawa itu adalah perhiasan solat, pendapat ini juga diriwayatkan daripada Ibn Umar, kesimpulannya, perbuatan ini adalah mengikut sunnah yang telah ditetapkan daripada Rasulullah SAW. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/177-178)

Kesimpulan

Berdasarkan dua hadith yang dikemukakan di atas, dapat disimpulkan bahawa kedua-dua cara yang disebutkan adalah sunnah kerana kedua cara tersebut dilakukan oleh Nabi SAW. Boleh sahaja dipilih mana satu yang ingin diamalkan.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada kita dalam memperelokkan ibadah solat kita.

Wallahu a’lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply