Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita berwuduk dengan air paip, air kolam renang atau air seumpamanya kerana kebiasaannya air-air begitu telah dicampurkan dengan klorin? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan klorin. Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, klorin ialah gas berwarna hijau kekuning-kuningan dan berbau busuk (biasanya digunakan untuk membunuh kuman di dlm air dan lain-lain).[1] Secara ringkasnya, klorin (daripada bahasa Yunani Chloros, bermaksud “hijau pucat”), adalah unsur kimia dengan nombor atom 17 dan simbol Cl. Ia adalah satu halogen, dijumpai di dalam jadual berkala dalam kumpulan 17. Sebagai ion klorida , yang mana ia merupakan sebahagian daripada garam biasa dan sebatian lain, secara semulajadi ia banyak dan sangat diperlukan dalam banyak bentuk kehidupan, termasuk manusia. Sebagai gas klorin, ia berwarna kuning kehijauan, yang mana beratnya dua setengah kali ganda manakala baunya sangat menyesakkan dan sangat beracun. Dalam bentuk cecair dan pepejal ia merupakan agen pengoksidaan, pelunturan, dan nyahjangkitan yang sangat efektif.

Klorin adalah bahan kimia yang penting untuk beberapa proses penulenan air, nyahjangkitan, dan dalam pelunturan. Ozon boleh juga digunakan untuk membunuh bakteria, dan ia lebih disukai oleh kebanyakan majlis perbandaran untuk digunakan dalam minuman kerana ozon tidak membentuk sebatian organoklorin dan tidak tertinggal dalam air selepas rawatan.

Klorin juga digunakan secara meluas dalam pembuatan produk sehari-harian.

  • Digunakan (dalam bentuk asid hipoklorus ) untuk membunuh bakteria dan mikrob-mikrob daripada bekalan minuman dan kolam renang. Begitupun, kebanyakan bekalan air kecil-kecilan sekarang ini diklorinkan secara rutin.
  • Digunakan secara meluas di dalam pembuatan kertas, antiseptik, barangan pewarna, makanan, racun serangga, cat lukisan, produk-produk petroleum, plastik, ubat-ubatan, tekstil, pelarut, dan banyak produk pengguna yang lain.

Unsur ini digunakan secara giat dalam kimia organik sebagai agen pengoksidaan dan dalam tindakbalas penggantian kerana klorin biasanya memasukkan ciri-ciri yang dikehendaki dalam sebatian organik apabila ia dimasukkan untuk hidrogen (sebagai dalam pembuatan getah sintetik). Ia mempunyai afiniti elektron yang paling tinggi di antara halida-halida.

Kegunaan lain adalah dalam penghasilan klorat, kloroform, karbon tetraklorida, dan dalam pengekstrakan bromin.[2]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya, air yang bercampur dengan klorin adalah suci, kerana termasuk ke dalam air yang bercampur dengan sesuatu yang suci seperti kiambang, teratai dan lain-lain. Air ini harus untuk digunakan dalam urusan-urusan adat dan juga ibadah. Ini kerana klorin adalah suatu bahan yang suci. Apatah lagi, percampuran ini tidak mengubah rasa, bau dan warna air. Kalau berubah sekalipun, berubah dengan sesuatu yang suci. Perubahan yang sedikit itu, tidak menjadikan air itu najis mahupun mutanajjis. Selain itu, kebiasaannya perubahan air yang disebabkan oleh klorin tidak menyebabkan air menjadi rosak.

Di sana terdapat riwayat daripada Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyyah R.Anha, katanya:

دَخَلَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ تُوُفِّيَتِ ابْنَتُهُ، فَقَالَ: اغْسِلْنَهَا ثَلاَثًا، أَوْ خَمْسًا، أَوْ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ إِنْ رَأَيْتُنَّ ذَلِكَ، بِمَاءٍ وَسِدْرٍ، وَاجْعَلْنَ فِي الآخِرَةِ كَافُورًا – أَوْ شَيْئًا مِنْ كَافُورٍ – فَإِذَا فَرَغْتُنَّ فَآذِنَّنِي، فَلَمَّا فَرَغْنَا آذَنَّاهُ، فَأَعْطَانَا حِقْوَهُ، فَقَالَ: أَشْعِرْنَهَا إِيَّاهُ تَعْنِي إِزَارَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW masuk menemui kami ketika kewafatan puterinya, lalu bersabda: ‘Mandikannya sebanyak tiga atau lima kali atau lebih sekiranya engkau rasakan perlu, dengan menggunakan air serta daun bidara dan pada akhirnya letakkannya kapur barus (wangian) –  atau sesuatu daripadanya – (syak perawi). Apabila sudah selesai, beritahu kepadaku.’ Ketika kami sudah selesai kami memberitahu Baginda, lalu Baginda memberikan kepada kami kainnya dan bersabda: ‘Pakaikanlah kepadanya,’ iaitu kainnya.

Riwayat al-Bukhari (1253)

Dr. Basri bin Ibrahim menyebutkan, dalam hadith di atas ini, Rasulullah SAW memerintahkan mereka untuk memandikan jenazah anak perempuannya dengan air yang bercampur dengan daun bidara dan kapur barus. Keduanya adalah tumbuhan yang berbau harum. Ini membuktikan keharusan menggunakan air yang berubah dengan sesuatu yang suci, yang tidak mengeluarkannya daripada kesucian air tersebut dan nama mutlak yang terdapat padanya. (Lihat Isu-Isu Fiqh Halal dan Haram Semasa, 1/218).

Oleh kerana itu, air yang bercampur dengan sedikit klorin masih lagi dikira suci, sehinggakan ia boleh digunakan untuk berwuduk, minum, mandi dan lain-lain. Apatah lagi, tujuan klorin itu dimasukkan bukanlah bagi mengubah kemutlakan air tersebut lalu menyandarkannya kepada air yang lain, tetapi sebaliknya ia dimasukkan bagi tujuan menjamin sumber air bersih.  Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa sekiranya bahan yang tercampur dalam air itu sedikit, misalnya seperti za‘faran lalu air menjadi sedikit kuning, atau sabun atau tepung sehingga air menjadi putih sedikit, dan hal itu tidak disandarkan kepada perubahannya, maka pendapat yang sahih adalah air itu tetap dianggap sebagai tahur (suci lagi menyucikan) kerana penamaannya masih tetap disebut air (mutlak). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/103).

Selain itu, Imam al-Syafi‘i menyebutkan, apabila sesuatu yang halal (suci) jatuh ke dalam air, lalu ia mengubah bau dan rasanya, namun air itu tidak menjadi rosak, maka tidak mengapa berwuduk dengannya. Misalnya, ketika kayu atau tar jatuh ke dalamnya sehingga terzahir baunya atau apa yang seumpamanya. (Lihat al-Umm, 1/20).

Sebagaimana yang kita ketahui, pada masa kini, penggunaan klorin dalam kuantiti yang bersesuaian di dalam air bersih adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Bahkan ia sudah menjadi satu keperluan negara. Pihak berkuasa melihat perkara ini perlu dilakukan, demi menjamin sumber air bersih kepada rakyat, air tersebut tidak mengandungi kuman atau mikrob yang boleh mengancam kesihatan mereka. Oleh itu, rata-rata sumber air sekarang yang dibekalkan kepada rakyat atau masyarakat awam melalui paip-paip air mengandungi kuantiti klorin tertentu yang bersesuaian. Apa yang dilakukan oleh pemerintah itu, kami melihat ia adalah berdasarkan kepada maslahah. Maslahahnya adalah bagi menjamin sumber air bersih yang dibekalkan kepada rakyat, terjamin dari sudut kebersihan dan tidak mengancam kesihatan mereka. Hal ini adalah selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya:Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Manakala dari sudut penggunaan air paip itu pula bagi tujuan untuk berwuduk, mandi, membersihkan najis dan seumpamanya adalah diharuskan dan tidak mengapa. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Syirazi bahawa, apabila berubah salah satu sifat air seperti rasa, warna atau bau, perkara ini perlu diteliti. Jika yang mengubah itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan seperti teratai, garam, kapur dan lain-lain, maka diharuskan untuk berwuduk dengannya, kerana tidak mungkin air dapat dielakkan daripadanya. Oleh itu, ia termasuk perkara yang dimaafkan, sebagaimana dimaafkan najis yang sedikit dan gerakan yang sedikit di dalam solat. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/18)

Bahkan Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan kenyataan al-Syirazi di atas menyebutkan, apabila air berubah dengan sesuatu yang tidak mungkin dapat dielakkan, maka diharuskan untuk berwuduk dengannya. Perkara ini telah menjadi ijma‘. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/102).

Begitu juga turut dinyatakan dalam Qurrah al-‘Ain bi Fatawa Isma‘il al-Zain (hlm. 47) bahawa perubahan air dengan benda keruh dan benda-benda suci lain tidak dapat merosakkan kesucian air meskipun baunya berubah. Air tersebut tetap kekal sebagai air yang suci lagi menyucikan sebagaimana asalnya. Jika benda yang dicampurkan ke dalamnya dengan tujuan untuk membersihkan atau mensterilkannya (daripada kuman/mikrob) dan bukannya untuk menyucikannya, maka hal itu dibolehkan dengan syarat benda-benda yang dimasukkan atau digunakan bagi tujuan tersebut bukan najis. Justeru, air tersebut boleh digunakan untuk berwuduk mahupun digunakan untuk bersuci yang lain (seperti mandi, membersihkan najis dan lain-lain) sama ada sebelum disterilkan atau selepasnya.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa diharuskan dan tidak mengapa untuk berwuduk, mandi wajib mahupun membersihkan najis dengan air paip dan air-air seumpamanya yang mengandungi klorin serta sah bersuci dengannya. Hal ini kerana klorin adalah suci dan tidak menjadikan air rosak mahupun najis.

Lebih-lebih lagi, penggunaan klorin dalam kuantiti yang bersesuaian di dalam air bersih adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Bahkan ia sudah menjadi satu keperluan negara. Pihak berkuasa melihat perkara ini perlu dilakukan, demi menjamin sumber air bersih kepada rakyat, air tersebut tidak mengandungi kuman atau mikrob yang boleh mengancam kesihatan mereka.

Selain itu, keadaan ini juga adalah seperti ‘umum al-balwa.[3] Pada masa yang sama, kita tidak mahu perkara ini membawa kepada timbulnya syak atau ragu-ragu sehingga menyusahkan ramai orang. Hal ini bertepatan dengan syariat Islam yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya:(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=klorin. Diakses pada 7 November 2023.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Klorin. Diakses pada 7 November 2023.

[3] Iaitu sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku serta sukar dielakkan.

Leave a Reply