#4065: Disunatkan Menaburkan Tanah atau Debu ke atas Kubur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah menabur tanah atau debu ke atas tanah perkuburan ketika proses pengebumian disunatkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Seterusnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardhu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, kita disunatkan untuk menabur tanah atau debu ke atas kubur agar sama-sama memperoleh atau mendapat pahala pengebumian itu.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada ‘Amir bin Rabi‘ah R.A bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم صَلَّى عَلَى عُثمَانَ بْنَ مَظْعُونٍ، وَأَتَى القَبْرَ، فَحَثَى عَلَيْهِ ثَلاَثَ حَثَيَاتٍ، وَهُوَ قَائِمٌ

Maksudnya: “Nabi SAW telah mendirikan solat jenazah ke atas Uthman bin Maz‘un. Lalu Baginda pergi ke kuburnya dan menaburkan tanah ke atas kuburnya sebanyak tiga kali dalam keadaan berdiri.

Riwayat al-Daraqutni (2/76)

Syeikh Abdullah al-Bassam menilai hadith ini sebagai hasan. Kemudian, beliau menukilkan bahawa dinyatakan di dalam al-Talkhis, ia diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Daraqutni daripada ‘Amir bin Rabi‘ah. Al-Baihaqi menyebutkan, padanya terdapat syahid (sokongan) daripada hadith Ja‘far daripada bapanya secara mursal. Begitu juga Imam al-Syafi‘i turut meriwayatkannya daripada Ibrahim bin Muhammad daripada Ja‘far. Manakala Imam Abu Daud meriwayatkannya dalam al-Marasil daripada jalur Abu al-Munzir. Abu Hatim menyebutkan, Abu al-Munzir adalah majhul. Adapun al-Hafiz pula menyebutkan, sanadnya secara zahirnya adalah sahih dan ia turut disahihkan oleh Ibn Abi Daud, al-Syaukani dan Siddiq bin Hasan Khan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/247).

Namun, menurut Dr. Abdullah bin Soleh al-Fauzan hadith ini sanadnya adalah dha‘if jiddan (tersangat lemah) kerana di dalam sanadnya terdapat dua orang perawi:

  1. Al-Qasim al-‘Umari; Imam Ahmad menyebutkan, “Dia tidak ada apa-apa (nilai).” Pada waktu yang lain, beliau menyebutkan, “Dia di sisiku seorang pendusta.” Manakala Abu Zur‘ah, Abu Hatim dan al-Nasa’i pula menyatakan, dia adalah matruk (ditinggalkan hadithnya).
  2. ‘Asim bin ‘Ubaidullah; Imam Ahmad menyebutkan, “Dia tidak ada apa-apa.” Ibn Ma‘in pula menyatakan, “Dia adalah seorang yang dha‘if (lemah).” Manakala Imam al-Bukhari dan Abu Hatim menyebutkan, “Dia adalah munkar al-hadith.”

Boleh jadi al-Hafiz (Ibn Hajar) menyebutkan riwayat atau hadith ini bagi tujuan menjelaskan status/keadaan hadith tersebut. Cukuplah atau berpadalah dengan hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dalam sunannya, daripada riwayat Abu Hurairah R.A bahawa:

 أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى عَلَى جِنَازَةٍ، ثُمَّ أَتَى قَبْرَ الْمَيِّتِ، فَحَثَى عَلَيْهِ مِنْ قِبَلِ رَأْسِهِ ثَلَاثًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW melakukan solat jenazah, kemudian pergi ke kubur jenazah tersebut lalu Baginda menaburkan tanah di atasnya sebanyak tiga kali dari bahagian atas kepala jenazah.”

Riwayat Ibn Majah (1565)

Hadith ini telah dinilai sebagai hasan oleh Ibn al-Qattan, dinilai sebagai sahih oleh Imam al-Nawawi dan al-Buwaisiri, serta al-Hafiz (Ibn Hajar) menyatakan, sanadnya secara zahirnya adalah sahih. (Lihat Minhah al-‘Allam, 4/347-348).

Seterusnya, Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas, beliau menyebutkan bahawa ia menunjukkan kepada pensyariatan mengikuti pengurusan jenazah bermula dari mensolatkan ke atasnya sehinggalah kepada pengebumiannya. Sesiapa yang melakukan perkara tersebut dalam keadaan benar-benar beriman dan mengharapkan ganjaran pahala, maka baginya pahala sebanyak dua qirat, dan dua qirat itu pula adalah seumpama dua gunung yang besar.

Selain itu, perbuatan menabur tanah ke atas tanah kubur sebanyak tiga kali sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah syariat bagi umatnya, supaya mereka sama-sama dapat memperoleh atau berkongsi pahala pengebumian itu. Begitu juga bagi sesiapa yang tidak dapat mengambil bahagian dalam urusan pengebumiannya, maka dianjurkan (sunat) baginya untuk menabur tanah ke atas kubur sebanyak tiga kali; sebagai mengikuti petunjuk dan perbuatan Nabi SAW, di samping sama-sama dapat ikut serta dalam menunaikan kewajipan dan fardhu kifayah dalam urusan pengebumian. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/247-248).

Tambahan lagi, Dr. Abdullah bin Soleh al-Fauzan juga ada menyebutkan, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan menabur tanah di atas kubur sebanyak tiga kali sebagai mengikuti perbuatan dan petunjuk Nabi SAW, di samping sama-sama dapat memperoleh atau berkongsi pahala pengebumian jenazah. Dalam hal itu, terdapat pengajaran yang lebih kuat dan peringatan yang lebih besar tentang kematian dan hari akhirat kepada sesiapa yang masih memiliki hati — yang hidup.

Kebanyakan fuqaha berpendapat, dianjurkan (sunat) untuk menabur tanah ke atas kubur selepas liang lahad ditutup, berdasarkan kepada hadith-hadith yang berkaitan, dan mereka berpendapat, hadith itu saling menguatkan antara satu sama lain, di samping terdapatnya athar-athar atau riwayat-riwayat daripada para sahabat R.Anhum. Walau bagaimanapun, perlu diberi perhatian bahawa ramai orang yang bersesak-sesak di sekitar kubur bagi tujuan menabur tanah ke atasnya, namun kadang-kadang mereka mengabaikan atau melupakan sunnah-sunnah lain yang sabit seperti berdiri di kubur untuk berdoa agar jenazah tersebut terus teguh dan lancar (dalam menjawab pertanyaan-pertanyaan malaikat di dalam kubur). (Lihat Minhah al-‘Allam, 4/349).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *