Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah dalil mazhab al-Syafi’i baca basmallah dalam surah al-Fatihah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Para ulama berbeza pendapat dalam hal membaca basmallah dalam surah al-Fatihah ketika solat. Hal ini, seperti yang disebutkan dalam Bidayah al-Mujtahid (1/272), al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu (2/22) dan al-Fiqh ‘ala mazahib al-Arba’ah (1/301):

Pertama: Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad dan al-Auza’i Berkata: “Basmalah tidak termasuk ayat dari Surat Al Fatihah”.

  • Mazhab Abu Hanifah: Basmalah dibaca secara perlahan di awal surat al-Fatihah setiap solat fardhu, sama ada dalam solat sirr atau solat jahr, Hal ini kerana basmalah tidak termasuk ayat dalam surat al-Fatihah dan surah-surah lainnya dalam al-Quranmeskipun ia termasuk sebahagian daripada ayat dalam al Qur’an
  • Mazhab Malik Dan Auza’i : Basmalah Tidak Dibaca Diawal Surat al-Fatihah Dalam Solat, sama ada secara Jahar Atau Secara Sir . Imam malik berkata: Sedangkan dalam solat sunnah hukumnya boleh membaca basmalah diawal surah al-Fatihah
  • Mazhab Imam Ahmad: Hukumnya sunat membaca basmalah pada awal surah al-Fatihah secara perlahan, baik dalam solat sirr atau solat jahr. Hal ini kerana basmalah tidak termasuk ayat dari surat al Fatihah.

Mereka berdalillkan dengan hadith riwayat daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ، وَعُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا كَانُوا يَفْتَتِحُونَ الصَّلاَةَ بِـ {الحَمْدُ لِلَّـهِ رَبِّ العَالَمِين}.

Maksudnya: “Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar R.Anhuma kebiasaannya memulakan solat dengan membaca ‘الحَمْدُ لِلَّـهِ رَبِّ العَالَمِينَ’ (Surah al-Fatihah).”

Riwayat al-Bukhari (743), Muslim (399), Abu Dawud (782) al-Tirmizi (246) al-Nasaie (902) dan Ahmad (12887)

Kedua: Imam al-Syafi’i dan Ibnu Juraij berkata: Basmalah termasuk ayat daripada surah al-Fatihah. Maka, hukumnya wajib membaca basmalah di awal surat al-Fatihah, dibaca kuat dalam solat jahr dan dibaca perlahan dalam solat sirr.

Mereka Berdalil dengan hadith yang diriwayatkan daripada Nu’aim al-Mujmir, katanya:

صَلَّيْتُ وَرَاءَ أبي هُرَيْرَةَ -رَضِيَ اللهُ عَنْه- فقَرَأ {بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ}، ثمَّ قَرَأ بِأُمِّ القُرْآنِ، حَتَّى إذا بلَغَ {وَلَا الضَّالِّينَ}، قالَ: آمينَ، ويقُولُ كُلَّمَا سَجَدَ، وَإِذَا قَامَ مِنَ الجُلُوسِ: اللهُ أكبر، ثُمَّ يَقُولُ إذَا سَلَّمَ: والَّذي نَفْسِي بيَدِهِ إنِّي لأَشْبَهُكُمْ صَلاةً بِرَسُولِ اللهِ -صلى الله عليه وسلم-

Maksudnya: Aku solat di belakang Abu Hurairah R.A, beliau membaca bismillahirrahmanirrahim, lalu membaca ummu al-Quran. Sehingga apabila sampai pada ayat وَلَا الضَّالِّينَ dan membaca amin, kemudian orang-orang juga mengikutinya membaca amin. Beliau ketika akan sujud membaca; Allahu Akbar dan ketika bangun dari duduk membaca; Allahu Akbar. Setelah salam beliau berkata: “Demi Zat yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya aku adalah orang yang solatnya paling menyerupai Rasulullah di antara kalian.

Riwayat al-Nasaie (905) dan Ibn Khuzaimah (1/251)

Dalam kitab al-Umm, diriwayatkan daripada Anas, dia berkata: Adalah Nabi SAW, Abu Bakr, dan ‘Umar memulakan bacaan dengan ‘الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ’. Imam al-Syafi’i berkata: mereka memulakan dengan bacaan Umm al-Quran sebelum dibaca yang sesudahnya. Namun, wallahua’lam, ini tidak bermakna mereka meninggalkan bacaan Bismillaahirrahmaanirrahiim.

Beliau berkata lagi: Seseorang yang solat secara individu atau sebagai imam wajib membaca Surah Al-Fatihah dalam setiap rakaat yang tidak digantikan oleh orang lain. Disunnahkan juga untuk membaca bersama Surah Al-Fatihah, ayat-ayat lainnya, atau lebih. Jika seseorang meninggalkan satu huruf atau lebih dari al-Fatihah secara tidak sengaja atau kerana kelalaian, maka rakaat yang dia tinggalkan sebagian al-Fatihah tersebut tidak dianggap sah. Ini kerana orang yang meninggalkan sebagian al-Fatihah dalam rakaatnya tidak dikatakan telah membaca Al-Fatihah dengan sempurna.  “ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ:” merupakan ayat daripada 7 ayat surah al-Fatihah, sekiranya ia ditinggalkan atau sebahagian ayat ini ditinggalkan, maka rakaat itu tidak dikira.

Begitu juga, imam al-Syafi’i menyatakan: Telah sampai pada aku bahawa Ibn Abbas R.Anhuma pernah berkata:

إنَّ رَسُولَ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – كَانَ يَفْتَتِحُ الْقِرَاءَةَ بِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ»

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW membuka bacaan dengan ‘بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ’ (Lihat al-Umm, 1/129)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

إذا قَرَأتم الفَاتحَةَ، فَاقْرَؤوا {بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ}؛ فَإِنَّهَا إِحْدَى آيَاتِهَا

Maksudnya: “Jika kamu membaca al-Fatihah, bacalah “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ” kerana ia adalah salah satu daripada ayat-ayatnya.

Riwayat al-Daraqutni (1/312). Hadith ini merupakan hadith mauquf sebagaimana yang disebut dalam Bulugh al-Maram (223) dan juga Taudhih al-Ahkam (2/197)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Apa yang diperoleh daripada hadith ini ialah hadith ini menunjukkan bahawa membaca basmallah dalam solat adalah disyariatkan apabila seseorang ingin membaca Al-Fatihah. Hal ini dijelaskan dengan menyebutkan bahawa basmallah adalah salah satu daripada ayat-ayat al-Fatihah, oleh itu ia adalah sebahagian daripadanya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/197)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa antara dalil yang digunakan dalam mazhab al-Syafi’i yang menyatakan bahawa basmallah merupakan sebahagian daripada al-Fatihah adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A sebagaimana yang kami sebutkan di atas.

Namun, dalam hal membaca basmalah dengan ‘jahar’ atau ‘sir’ merupakan perkara khilafiyah, kerana terdapat dalil-dalil yang menjadi hujah kedua-dua pendapat. Dalam hal ini, marilah sama-sama kita menggunakan kaedah yang digunapakai dalam ilmu usul fiqh yang terkenal:

الْإِجْتِهَادُ لَا يُنْقَدُ بِالْإِجْتِهَادِ

Maksudnya: “Suatu ijtihad tidak dapat disalahkan oleh ijtihad yang lain.”

Ibn Qayyim Al-Jawziyah, menyebutkan: Rasulullah SAW men’jahar’kan bacaan بِسْمِ اللّهِ الرّحْمَنِ الرّحِيمِ sekali sekala dan menyembunyikan (memperlahankan)nya lebih kerap daripada menguatkannya. Dan tidaklah baginda men’jahar’kannya lima kali setiap hari dan malam sentiasa, sama ada ketika di kota dan ketika musafir. Dan tersembunyilah perkara tersebut daripada Khulafa` al-Rasyidin dan daripada jumhur sahabat-sahabatnya dan ahli negaranya yang sezamannya yang utama itu. Ini merupakan kedangkalan yang paling dangkal sekali sehinggakan orang-orang bergantung pada kata-kata yang mujmal (ringkasan) dan hadith-hadith yang lemah. Meskipun hadith-hadith tersebut sahih, namun tidaklah sarih (jelas atau nyata), dan walaupun ia sarih, tidak semestinya ia sahih.” (Lihat Zad al-Ma’ad, hlm. 199–200)

Al-Syaukani berkata: “Dalam soal ikhtilaf dalam perkara ‘jahar’ atau ‘sir’ basmalah ini, paling banyak ialah perbezaan dalam hal Mustahab atau Masnun (yang disukai atau sunat). Maka tidaklah hal men’jahar’kan atau men’sir’kan bacaan ini merosakkan solat atau membatalkannya. Para ulama telah bersepakat (ijma’) bahawa soal ‘sir’ dan ‘jahar’ itu tidaklah membatalkan solat. Oleh sebab itu, janganlah engkau terpesona pula mengikuti sesetengah ulama yang  memperbesar-besarkan hal ini dan menggembar-gemburkan perbezaan pendapat ini, sehingga sesetengah mereka itu memandangnya sebagai satu soal yang menyentuh iktikad. Maka, seseorang bolehlah memilih sama ada mahu membaca basmalah dalam solat secara ‘jahar’ ataupun ‘sir’. (Lihat Nail al-Autar, 3/341)

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada kita dalam memperelokkan ibadah solat kita.

Wallahu a’lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply