Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud nabi berhenti pada baca ayat nikmat dan azab?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Huzaifah R.A, katanya:

صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ -صلى الله عليه وسلم- فمَا مَرَّتْ بِهِ آيَةُ رَحْمَةٍ إلاَّ وَقَفَ عِنْدَها يَسْأَلُ، وَلاَ آيَةُ عَذَابٍ إلاَّ تَعَوَّذَ مِنْهَا

Maksudnya: “Aku solat bersama Nabi S.A.W., dan setiap kali baginda melalui ayat yang menyentuh tentang rahmat, beliau berhenti dan memohon rahmat. Dan setiap kali beliau melalui ayat yang berbicara tentang azab, beliau berlindung dari azab tersebut.”

Riwayat Abu Dawud (871), al-Tirmizi (262) al-Nasaie (1008) dan Ibn Majah (1351). Imam al-Tirmizi menyatakan hadith ini hasan

Dalam satu hadith yang juga diriwayatkan oleh Huzaifah R.A dengan lafaz yang lain, beliau menceritakan bahawa beliau mendirikan solat sunat bersama Nabi SAW pada suatu malam, dan beliau menyifatkan:

يَقْرَأْ مُتَرَسِّلًا – أَيْ مُتَأَنِّيًا – إِذَا مَضَي بِآيَةٍ فِيهَا تَسْبِيحٌ سَبَّحَ وَ إِذَا مَرَّ بِآيَةِ سُؤَالِ سَأَلَ وَ إِذَا مَرَّ بِتَعَوُّذٍ تَعَوَّذَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW membaca al-Quran secara perlahan-lahan memperhatikan maknanya. Jika sekiranya Baginda SAW membaca ayat al-Quran yang berkaitan tasbih, maka Baginda SAW pun bertasbih. Jika sekiranya Baginda SAW membaca ayat al-Quran yang memohon sesuatu, maka Baginda SAW pun berdoa memohon doa tersebut. Dan jika sekiranya Baginda SAW membaca satu ayat al-Quran yang memohon perlindungan daripada Allah SWT, maka Baginda SAW pun meminta perlindungan daripada Allah SWT.”

Riwayat Muslim (772)

Begitu juga, dalam hadith yang diriwayatkan oleh ‘Auf Ibn Malik RA, bahawa beliau berkata:

قُمْتُ مَعَ النَبِيِّ صلّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّام لَيْلَةً فَقَامَ فَقَرَأَ سُورَةَ البَقَرَةِ وَ لَا يَمُرُّ بِآيَةِ رَحْمَةِ إِلَّا وَقَفَ وَ سَأَلَ وَ لَا يَمُرُّ بِآيَةِ عَذَابِ إِلَّا وَقَفَ وَتَعَوَّذَ

Maksudnya: Aku telah mendirikan solat bersama dengan Nabi SAW pada suatu malam. Rasulullah SAW telah mendirikan solat dengan membaca surah al-Baqarah, dan Baginda SAW tidak membaca satu ayat yang berkaitan rahmat Allah SWT kecuali Baginda SAW berhenti dan berdoa. Begitu juga, Baginda SAW tidak membaca satu ayat yang berkaitan azab kecuali Baginda SAW berhenti dan memohon perlindungan daripada Allah SWT.

Riwayat Abu Dawud (873), al-Nasaie (1132) dan Ahmad (23980)

Syeikh Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menjelaskan bahawa ketika  Rasulullah SAW mendirikan sembahyang bersama para sahabat, Baginda SAW berhenti dan berdoa memohon kerahmatan kepada Allah SWT apabila membaca ayat rahmat dan memohon perlindungan daripada Allah ketika membaca ayat berkaitan azab dan buruknya pembalasan kejahatan di akhirat, samada menyebutnya dengan lisan atau di dalam hati. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Dawud, 2/106)

Selain itu, Imam al-Nawawi juga menyebutkan bahawa: Jika sekiranya seseorang itu membaca ayat berkaitan azab dan keburukan, maka hendaklah dia berdoa kepada Allah SWT dengan doa: (اللهم إني أسألك العافية). Jika seseorang itu membaca ayat berkaitan menyucikan dan mengagungkan Allah SWT, maka hendaklah dia berdoa: (سبحانه وتعالى) atau (تبارك الله رب العالمين) atau (جلت عظمة ربنا) dan lain-lain. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 78)

Begitu juga keadaannya  di luar solat yang mana sunat juga untuk memohon kerahmatan dan juga memohon perlindungan ketika membaca ayat al-Quran mengikut pandangan jumhur ulama’, sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi: Disunatkan doa, isti’azah dan juga tasbih ini bagi setiap pembacanya tidak kira di dalam solat ataupun di luar solat. Ada golongan berpendapat dengan mengatakan bahawa: sunat hukumnya doa tersebut di dalam solat sebagai imam atau solat secara bersendirian atau juga solat sebagai makmum, kerana doa tersebut merupakan doa, maka disamakannya seperti ucapan “amin” selepas daripada membaca surah al-Fatihah. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 78)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: “Disunnahkan untuk merenungkan dan memahami makna al-Quran, sama ada sebagai pembaca atau pendengar. Ini adalah cara membaca yang bermanfaat dan mendatangkan faedah. Allah berfirman, “Kitab yang Kami turunkan kepadamu adalah yang penuh berkah, supaya mereka merenungkan ayat-ayat-Nya dan supaya memperoleh pelajaran orang-orang yang mempunyai akal” (Surah Sad), dan ini berlaku dalam solat atau di luar solat. Disunnahkan untuk berlindung kepada Allah SWT ketika bertemu dengan ayat-ayat yang berkaitan dengan azab, ancaman, atau seumpamanya, dan untuk memohon rahmat ketika bertemu dengan ayat-ayat yang berkaitan dengan rahmat. Ini adalah doa yang sesuai dengan konteks ayat tersebut.

Sesetengah ulama membataskan amalan ini kepada solat sunat (nafilah), tetapi tidak ada halangan untuk mengamalkannya dalam solat fardhu, kerana apa yang disabitkan solat, maka ia disabitkan untuk yang lain.  Ada riwayat yang menyatakan sebagaimana riwayat Ahmad (18576) dan Ibn Majah (1352) daripada Muhammad bin Abd al-Rahman bin Abi Laila, daripada bapanya bahawa Rasulullah SAW membaca Al-Quran dalam solat sunat yang bukan solat fardhu, apabila bertemu ayat syurga dan neraka, maka baginda mengucapkan ‘Aku berlindung daripada neraka, dan celakah bagi ahli neraka.” Ibn Abu Laila dalam sanad ini adalah perawi yang dipertikaikan.

Dan diriwayatkan oleh Imam Ahmad (24088), daripada Aisyah R.Anha yang menyebutkan bahawa dia pernah bangun bersama-sama Rasulullah SAW pada malam untuk solat tahajjud. Rasulullah SAW membaca Surah al-Baqarah, Surah al-Nisa’, dan Surah Ali ‘Imran, tetapi apabila baginda sampai pada ayat-ayat yang menyentuh tentang kebahagiaan, baginda akan berdoa kepada Allah Taala dan merayu kepada-Nya.

Sebagaimana yang disebutkan dalam hadith di atas, semua amalan ini adalah dalam konteks solat sunat . Walau bagaimanapun, pandangan fuqaha adalah bahawa apa yang disyariatkan dalam solat sunat juga berlaku dalam solat fardhu. Prinsip ini digunakan dalam hukum-hukum solat dan tidak bertentangan dengan nas-nas yang asal, melainkan jika ada pengecualian khusus.  (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/216-217)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa maksud Nabi SAW berhenti pada ayat nikmat dan azab adalah dengan tujuan untuk memohon rahmat dan nikmat daripada Allah dan memohon perlindungan daripada azab-Nya sebagaimana yang disebutkan dalam perbincangan di atas.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply