#4189: Solat di Masjid Tetapi Jemaah Telah Selesai 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah seorang yang telah sempurna wuduk kemudian datang ke masjid, dan mendapati jemaah bersama imam telah selesai solat, adakah dia mendapat pahala berjemaah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

Maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”

(Surah al-Baqarah: 238)

Merujuk kepada dalil di atas, al-Qurtubi mentafsirkan maksud perkataan “peliharalah” ialah merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/212)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ رَاحَ فَوَجَدَ النَّاسَ قَدْ صَلَّوْا أَعْطَاهُ اللَّهُ أَجْرَ مَنْ صَلَّاهَا وَحَضَرَهَا لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya: “Siapa yang berwuduk dan membaikkan wuduknya, kemudian datang ke masjid, dan didapati oran ramai telah selesai solat berjemaah, nescaya Allah kurniakan pahala sama seperti orang yang solat berjemaah dan hadir berjemaah tanpa mengurangi sedikit pun pahala mereka.”

Riwayat Abu Dawud (564), al-Nasa’ie (855) dan Ahmad (8947)

Hadith ini dengan jelas menunjukkan kepada kita, bahawa niatnya dan semangat untuk pergi ke masjid berjemaah, meskipun tidak berkesempatan untuk menunaikan solat berjemaah, tetap dikurniakan pahala seperti orang yang hadir dan sempat berjemaah. Semoga kita tergolong dari kalangan mereka yang menunaikan solat berjemaah. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اجْعَلْنَا مُقِيمِي الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu a‘lam

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *