Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah tembikai dikenakan zakat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan berkenaan tembikai. Ringkasnya, tembikai, mendikai, semangka atau timun Cina (nama botani: Citrullus lunatus) merupakan spesies tumbuhan berbunga yang menjalar (memanjat dan melata) dalam keluarga Cucurbitaceae yang berasal dari selatan Afrika. Tumbuhan ini mengeluarkan buah aksesori yang dipanggil ‘beri palsu’. Buah tembikai ini mempunyai kulit yang licin dan isi (selalunya merah) yang berair dan manis. Buah tembikai banyak ditanam di pelbagai iklim seluruh dunia dengan lebih daripada 1,000 jenis yang dihasilkan.

Tumbuhan ini berasal dari kawasan timur laut Afrika, penjelajah Afrika David Livingstone melaporkan bahawa terdapat banyak tembikai di padang pasir Kalahari, di mana ia tumbuh meliar dan dinamakan tsamma. Biji-biji tembikai liar ditemukan di Uan Muhuggiag, sebuah tapak prasejarah di barat daya Libya yang wujud sejak kira-kira 3500 SM.

Penanaman tumbuhan ini sebagai makanan boleh dibuktikan seawal alaf ke-2 SM di Mesir Purba di mana spesies C. lanatus dan C. colocynthis dijumpai di sekitar lembah Sungai Nil lagi-lagi di makam firaun Tutankhamun. Buah tembikai pada ketika ini ditanam khususnya sebagai sumber air yang dapat digunakan pada musim kemarau baik dimakan atau dimanfaatkan sebagai bekas menyimpan air. Biji-biji buah ini turut ditemui dalam tapak tamadun awal di Bab edh-Dhra dan Tel Arad sekitar Laut Mati di Palestin.

Orang Moor memperkenalkan buah tembikai ke Andalusia meluas ke Semenanjung Iberia dengan bukti penanaman didapati paling awal di Córdoba (961) dan Sevilla (1158); ia kemudiannya merebak di Selatan Eropah sebagai tanaman pilihan mengisi hasil tuaian yang barangkali tidak mencukupi pada musim-musim panas. Ia turut dijadikan suatu tanaman hiasan pada abad ke-17.

Dari benua Afrika, buah tembikai diperkenalkan ke benua-benua Dunia Baru oleh para penjajah Eropah dan hamba abdi yang didagangkan. Ia paling awal ditanam penjajah Sepanyol di Florida pada tahun in 1576; malah buah ini turut dimanfaatkan masyarakat pribumi Amerika Utara sejauh lembah sungai Mississippi. Pelayaran-pelayaran dilakukan peneroka Eropah seperti Kapten James Cook memperkenalkan buah ini ke banyak kepulauan di Lautan Pasifik sampai ke Hawaii.[1]

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, tembikai termasuk dalam jenis buah-buahan dan sayur-sayuran. Berkenaan hal ini, Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, ia adalah hasil yang diperoleh dengan cepat, dan manfaatnya juga adalah bersifat segera. Begitu juga hasil daripadanya juga kebiasaannya adalah sedikit dan ia hanyalah untuk keseronokan dan kesedapan (yang bersifat tambahan).

Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Mu‘az R.A, katanya:

فَأَمَّا القِثَّاءُ، وَالبِطِّيخُ، وَالرُّمَّانُ، وَالقَصَبُ، فَقَدْ عَفَا عَنْهُ رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: “Adapun timun, tembikai, buah delima dan tebu, maka Rasulullah SAW telah memaafkannya (mengecualikannya daripada zakat).

Riwayat al-Daraqutni (2/97)[2]

Sekalipun hadith ini dinilai sebagai lemah (dha‘if) tetapi ia selari dengan hukum asal iaitu tidak dihukumkan sebagai wajib pada benda yang didiamkan mengenainya dan ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan oleh syarak. Nabi SAW bersabda:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ مِنْ غَيْرِ نِسْيَانٍ، فَلَا تَسْأَلُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Sesuatu yang didiamkan mengenainya (hukumnya) adalah rahmat buat kamu dan bukannya kerana lupa, maka janganlah kamu bertanya mengenainya (hukumnya itu).

Riwayat al-Tabarani dalam al-Ausat (8938) dan al-Daraqutni (4/298); Imam al-Nawawi dan al-Sam‘ani menilai sanadnya sebagai hasan. Al-Hakim menyebutkan, sanadnya adalah sahih dan padanya terdapat syawahid pada lafaz dan maknanya.

Faktor yang mewajibkan zakat bagi apa atau hasil yang keluar dari tanah ialah ia boleh disukat dengan sukatan syar‘i. Adapun buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan seumpamanya, maka ia adalah benda yang dibilang (bukannya disukat). Oleh itu, ia tidak termasuk dalam apa yang diwajibkan zakat.

Al-Khattabi menyebutkan, hadith ini juga menunjukkan bahawa zakat tidak diwajibkan pada sayur-sayuran, buah-buahan, dan seumpamanya. Ini merupakan pendapat yang dipakai oleh seluruh ulama. Oleh itu, Nabi Muhammad SAW dan para khalifah Baginda meninggalkannya  (daripada dikenakan zakat), sedangkan mereka juga ada menanamnya di sekeliling mereka dan ini menunjukkan bahawa zakat tidak wajib atas tanaman seperti itu, dan meninggalkannya adalah sunnah yang diikuti.

Bahkan Imam Malik dan al-Syafi‘i berpendapat, zakat tidak diwajibkan pada hasil tanaman melainkan pada kurma dan kismis, serta tidak diwajibkan pada biji-bijian kecuali ia menjadi makanan ruji (asasi). Manakala Imam Ahmad pula berpendapat, zakat diwajibkan pada hasil tanaman yang boleh disimpan dan disukat, dan begitu juga diwajibkan pada semua jenis biji-bijian meskipun ia bukan sebagai makanan ruji (asasi). (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/345).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tembikai termasuk dalam jenis hasil tanaman yang tidak diwajibkan zakat. Ini kerana ia termasuk dalam jenis sayur-sayuran dan buah-buahan, dan jenis seperti ini tidak dikenakan zakat padanya sebagaimana yang kami telah jelaskan di atas.

Selain itu, faedah dan manfaatnya bersifat segera, diperlukan buat sementara waktu, dan bukan makanan ruji (asasi) yang diperlukan, sebaliknya ia hanyalah untuk keseronokan dan kesedapan (yang bersifat tambahan).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Tembikai. Diakses pada 16 November 2023.

[2] Al-Hafiz Ibn Hajar menilai sanadnya sebagai dha‘if. (Lihat Bulugh al-Maram, hlm. 177).

Leave a Reply