Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika meminta izin kepada ibu bapa untuk keluar berjihad adalah wajib, bagaimanakah hukumnya jika seorang anak yang mati syahid sedangkan kedua ibu bapanya tidak mengizinkannya untuk berjihad?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, hukum meminta izin kepada kedua ibu bapa untuk keluar berjihad adalah wajib. Ini berdasarkan hadith daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَنَّ رَجُلاً هَاجَرَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ مِنَ الْيَمَنِ، فَقَالَ:‏ هَلْ لَكَ أَحَدٌ بِالْيَمَنِ‏.‏ قَالَ‏:‏ أَبَوَايَ.‏ قَالَ‏:‏‏ أَذِنَا لَكَ‏.‏ قَالَ:‏ لَا‏.‏ قَالَ‏:‏ ارْجِعْ إِلَيْهِمَا فَاسْتَأْذِنْهُمَا، فَإِنْ أَذِنَا لَكَ فَجَاهِدْ، وَإِلاَّ فَبِرَّهُمَا

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dari Yaman, lalu Baginda bertanya: ‘Kamu ada sesiapa (ahli keluarga) di Yaman?’ Dia menjawab: ‘Dua ibu bapaku.’ Baginda bersabda: ‘Mereka berdua izinkan kamu (berjihad)?’ Dia menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda lagi: ‘Pulanglah kepada keduanya dan minta izin mereka berdua, jika mereka izinkan kamu maka berjihadlah, dan jika tidak maka berbuat baiklah kepada keduanya’. ”

Riwayat Abu Dawud (2530) dan Ahmad (11739)

Sekiranya kedua ibu bapa itu beragama Islam, dan mereka melarang anaknya dari keluar berjihad agar dia boleh berkhidmat kepada mereka berdua, maka khidmat itu menjadi ganti kepada jihadnya di jalan Allah SWT. Dalam sebuah hadith daripada ‘Abdullah bin ‘Amru R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ ﷺ، فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الجِهَادِ، فَقَالَ: أَحَيٌّ وَالِدَاكَ؟، قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ

Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan minta izin untuk berjihad. Baginda SAW bertanya: ‘Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?’ Lelaki itu berkata: ‘Ya’. Baginda bersabda: ‘Hendaklah engkau berjihad (berbakti) kepada keduanya’.”

Riwayat al-Bukhari (3004) dan Muslim (2549)

Menjawab persoalan saudara, perbuatan orang yang keluar berjihad tanpa keizinan kedua ibu bapanya sehingga menyebabkannya gugur syahid ini boleh melukakan hati orang tuanya. Mungkin pada zahir raut wajah ibu bapanya kelihatan gembira kerana anaknya syahid di jalan Allah SWT, akan tetapi di sudut hati mereka yang dalam, pasti ada sekelumit rasa terkilan dan sedih kerana anak mereka tidak memenuhi hasrat mereka agar dia tidak keluar berjihad.

Waspadalah kita dari melakukan apa jua perkara yang boleh melukakan hati mereka kerana ianya termasuklah dalam menderhakai ibu bapa. Sedangkan syara‘ telah menyebutkan secara jelas bahawa derhaka itu termasuk dalam salah satu dosa-dosa besar. Ini sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadith Abu Bakrah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلاَ أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الكَبَائِرِ؟ قُلْنَا: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ، وَعُقُوقُ الوَالِدَيْنِ، وَكَانَ مُتَّكِئًا فَجَلَسَ فَقَالَ: أَلاَ وَقَوْلُ الزُّورِ، وَشَهَادَةُ الزُّورِ، مَرَتَينِ». فَمَا زَالَ يَقُولُهَا، حَتَّى قُلْتُ: لاَ يَسْكُتُ

Maksudnya: “‘Hendakkah aku beritahu kepada kalian dosa paling besar di antara dosa-dosa besar?’ Kami berkata: ‘Sudah tentu wahai Rasulullah.’ Baginda bersabda: ‘Syirik kepada Allah dan derhaka kepada kedua orang tua.’ Ketika itu Baginda SAW bersandar, lalu baginda duduk dan berkata: ‘Ketahuilah, perkataan dusta dan kesaksian palsu,’ sebanyak dua kali. Baginda terus menyebutnya hingga aku berkata: ‘Baginda tidak diam’.”

Riwayat al-Bukhari (5977) dan Muslim (88)

Akhir kalam, kami berharap semoga saudara yang syahid itu mendapat keredhaan Allah SWT dan redha kedua ibu bapanya. Mereka yang pergi dari dunia ini sudah tidak akan kembali, maka alangkah baiknya jika kedua ibu bapa itu memaafkan anaknya yang gugur syahid, mendoakan kebaikan buatnya serta merelakan pemergiannya dalam keadaan berjuang di jalan Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدِيْنَا وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا

Maksudnya: “Ya Allah ampunilah dosaku dan dosa keDua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku sejak kecil.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply