#4232: Produk Penjagaan Muka yang Mengandungi Air Mani Manusia 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah menggunakan produk penjagaan kulit muka seperti masker muka atau seumpamanya yang dikatakan mengandungi sperma atau air mani manusia? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya para ulama telah berselisih mengenai kesuciannya; adakah dihukumkan sebagai suci atau najis. Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya bahawa air mani manusia adalah suci di sisi ulama mazhab Syafi‘i. Inilah pendapat yang tepat yang dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam kitab-kitabnya dan pendapat yang telah diputuskan oleh majoriti ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Justeru, air mani anak Adam menurut mazhab Syafi‘i adalah suci, tidak kira lelaki atau perempuan, Muslim atau kafir. Selain itu, pendapat ini juga — yakni air mani manusia adalah suci — merupakan pendapat Sa‘id al-Musayyid, ‘Ata’, Ishaq bin Rahawaih, Abu Thaur, Daud, Ibn al-Munzir dan riwayat yang sahih (paling kuat) daripada Ahmad — yakni dalam mazhab Hanbali. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/553-554).

Penjelasan lanjut mengenai perkara ini bolehlah merujuk artikel kami yang bertajuk: #552 Kesucian Air Mani Manusia.[1]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami melihat ia berkait rapat dengan perbahasan hukum menelan atau memakannya sekalipun ia dihukumkan sebagai suci. Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya, terdapat dua pendapat mengenai hal ini. Pendapat yang sahih lagi masyhur ialah air mani tidak halal untuk dimakan atau ditelan kerana ia dianggap sebagai suatu yang menjijikan dan kotor. Firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:Dan ia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Manakala pendapat kedua pula (iaitu pendapat yang lemah dalam mazhab Syafi‘i) sebagaimana dinukilkan oleh Imam al-Haramain dan selainnya menyatakan bahawa air mani harus untuk dimakan kerana ia adalah suci dan tiada kemudaratan padanya. Ini merupakan pendapat al-Syeikh Abu Zaid al-Marwazi. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/556; 9/37).

Penjelasan lanjut mengenai perkara ini bolehlah merujuk artikel kami yang bertajuk: #557 Menelan Air Mani.[2]

Justeru, berdasarkan kepada kedua-dua pendapat tersebut, dapat difahami bahawa jika air mani dihukumkan sebagai haram untuk dimakan/ditelan kerana ia dianggap sebagai jijik dan kotor, maka menggunakannya sebagai sapuan atau bahan dalam produk kosmetik juga adalah tidak dibenarkan disebabkan oleh kejijikan dan kotor tersebut. Namun, mereka yang berpendapat bahawa air mani boleh dimakan/ditelan kerana ia adalah sesuatu yang suci dan tidak memudaratkan, maka menggunakannya sebagai sapuan atau bahan dalam produk kosmetik adalah lebih-lebih lagi dibolehkan.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa penggunaan produk penjagaan kulit muka seperti masker muka dan seumpamanya yang mengandungi sperma atau air mani manusia sebagai salah satu bahannya adalah tidak dibenarkan. Bahkan sebaik-baiknya dielakkan daripada menggunakan produk-produk seperti itu. Hal ini kerana di samping ia dianggap sebagai sesuatu yang menjijikkan dan kotor, adalah sesuatu yang tidak sesuai atau tidak sewajarnya dari segi akhlak dan moral seorang Muslim untuk meletakkan sesuatu seperti air mani/sperma pada wajahnya.

Selain daripada itu, di sana terdapat larangan yang telah ditetapkan di dalam Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia yang menyatakan bahawa semua bahan-bahan yang tersenarai di dalam Annex II tidak boleh digunakan bagi menghasilkan produk kosmetik. (Lihat Guidelines for Control of Cosmetic Product in Malaysia, Bhg. Cosmetic Ingredients, hlm. 10). Antara bahan-bahan terlarang yang telah disenaraikan di dalam Jadual Annexe II Part I ialah sel, tisu atau sebarang bahan yang berasal daripada manusia. Oleh itu, air mani/sperma adalah termasuk di dalam larangan tersebut untuk dijadikan sebagai bahan dalam produk kosmetik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/552-air-mani-manusia-adalah-suci/. Diakses pada 17 November 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/557-menelan-air-mani/. Diakses pada 17 November 2023.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *