Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah maksiat dan derhaka kepada Allah boleh membawa bencana dan bala?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَإِذَا أَرَدْنَا أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا
Maksudnya: “Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.”
(Surah al-Isra’: 16)
Sebagai contoh, perbuatan kaum Nabi Nuh A.S yang menderhakai Allah SWT menyebabkan mereka ditimpa musibah banjir dan taufan yang menghancurkan. Demikian juga dengan umat-umat yang datang setelahnya. Apabila mereka mengingkari dakwah para rasul dan menyakiti mereka, Allah SWT menimpakan azab yang melenyapkan mereka dari dunia dalam sekelip mata.
Dunia mutakhir menyaksikan pelbagai bencana berupa gempa bumi, ribut taufan, wabak penyakit dan 1001 malapetaka yang membinasakan umat manusia. Sesungguhnya, siri-siri bencana ini adalah peringatan daripada Allah SWT supaya manusia berhenti menderhakai Allah SWT dan kembali mematuhi ajaran-Nya. Menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim terutamanya para suami dan bapa untuk memastikan isteri, anak-anak, ahli keluarga dan seluruh anggota masyarakat supaya mentaati perintah Allah SWT.
Pengabaian terhadap usaha-usaha islah dan pembaikan masyarakat akan menyebabkan maksiat dan kemungkaran berkembang subur. Sudah pastinya keadaan ini bakal mengundang musibah. Firman Allah SWT:
وَٱتَّقُوا۟ فِتْنَةًۭ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنكُمْ خَآصَّةًۭ ۖ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Maksudnya: Peliharalah diri kamu daripada azab yang bukan sahaja menimpa sesiapa yang melakukan kezaliman dalam kalangan kamu secara khusus, bahkan ia akan menimpa kamu kesemuanya. Dan ketahuilah bahawa Allah amat berat balasan seksa-Nya.
(Surah al-Anfal: 25)
Muhammad Sayyid Tantawi menyatakan bahawa pengertian (فِتۡنَةً) dalam ayat di atas bermaksud azab dunia seperti penyakit-penyakit yang mewabak, kemarau yang melanda, huru-hara yang berlaku dalam masyarakat dan seumpamanya. (Lihat Tafsir al-Wasit, 6/96)
Selain itu, diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW mendatangi kami dan bersabda:
يَا مَعْشَرَ الْمُهَاجِرِينَ ، خَمْسٌ إِذَا ابْتُلِيتُمْ بِهِنَّ وَأَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ تُدْرِكُوهُنَّ : لَمْ تَظْهَرِ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلاَّ فَشَا فِيهِمُ الطَّاعُونُ وَالأَوْجَاعُ الَّتِي لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِي أَسْلاَفِهِمُ الَّذِينَ مَضَوْا . وَلَمْ يَنْقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ إِلاَّ أُخِذُوا بِالسِّنِينَ وَشِدَّةِ الْمَؤُنَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ . وَلَمْ يَمْنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلاَّ مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنَ السَّمَاءِ ، وَلَوْلاَ الْبَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوا . وَلَمْ يَنْقُضُوا عَهْدَ اللَّهِ وَعَهْدَ رَسُولِهِ إِلاَّ سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ فَأَخَذُوا بَعْضَ مَا فِي أَيْدِيهِمْ . وَمَا لَمْ تَحْكُمْ أَئِمَّتُهُمْ بِكِتَابِ اللَّهِ وَيَتَخَيَّرُوا مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلاَّ جَعَلَ اللَّهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ) .
Maksudnya: “Wahai kaum Muhajirin! Ada 5 hal jika menimpa kamu –dan aku berlindung kepada Allah agar kalian tidak ditimpanya-, iaitu: Tidaklah suatu perkara keji muncul di suatu kaum dan mereka melakukannya secara terang-terangan, melainkan wabak dan kelaparan akan menimpa mereka sebagaimana menimpa umat sebelumnya. Dan mereka tidak mengurangkan ukuran dan timbangan kecuali mereka akan dihukum dengan kelaparan, kekurangan rezeki, dan kezaliman pemerintah terhadap mereka. Dan mereka tidak menolak kewajiban zakat harta kecuali hujan tidak akan turun dari langit, dan jika bukan kerana haiwan ternakan, mereka tidak akan mendapat hujan. Dan mereka tidak melanggar janji Allah dan janji Rasul-Nya kecuali Allah akan membiarkan musuh daripada kalangan mereka menaklukkan dan merebut sebahagian daripada harta mereka. Selagi pemerintah mereka menjalankan hukum-hukum Allah dan memilih dari apa yang Allah turunkan, Allah akan menjaga mereka dari seksaan-Nya.”
Riwayat Ibn Majah (4155) dan dinilai hasan berdasarkan Sahih Ibn Majah
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اِنَّا نَعُوْذُبِكَ مِنْ جَهْدِ البَلاَءِ، وَدَرْكِ الشَّقَاءِ، وَسُوْءِ القَضَاءِ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu daripada bala yang sukar, kejahatan yang melampau, qadha’ yang jahat dan cacian musuh.
Wallahua`lam.