#4321: Keajaiban Ciptaan Semut

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kisahkan kenyataan semut di hadapan Nabi Sulaiman A.S.?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menciptakan  segala sesuatu yang wujud di muka bumi ini dengan sia-sia. Sebaliknya, kehendak dan kebijaksanaan-Nya membolehkan Dia mencipta sesuatu dan mewujudkannya daripada tiada kepada ada, dengan rahsia yang hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja. Boleh jadi kita dapat mengetahui hikmah di sebalik penciptaan itu, dan boleh jadi kita tidak dikurniakan ilmu tentang hikmah sesuatu itu. Ini sebagaimana dalam firman-Nya:

وَمَا خَلَقْنَا السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا لَاعِبِينَ

Maksudnya: “Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, secara main-main.”

مَا خَلَقْنَاهُمَا إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Tidaklah Kami menciptakan keduanya (serta segala yang ada di antaranya) melainkan kerana menzahirkan perkara-perkara yang benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).”

(Surah al-Dukhan: 38-39)

Menggambarkan betapa ajaibnya penciptaan semut ini, sehinggakan dinamakan satu surah yang khusus bersempena semut. Di dalam surah ini juga, Allah SWT menggambarkan bagaimana semut ini merupakan ciptaan yang bijaksana. Firman Allah SWT:

وَحُشِرَ لِسُلَيْمَانَ جُنُودُهُ مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ وَالطَّيْرِ فَهُمْ يُوزَعُونَ

Maksudnya: “Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.”

حَتَّىٰ إِذَا أَتَوْا عَلَىٰ وَادِ النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

Maksudnya: “(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke Wadi al-Naml, berkatalah seekor semut: ‘Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari’.”

فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh’.”

(Surah al-Naml: 17-19)

Saintis yang mengkaji kehidupan semut mendapati semut memiliki keistimewaan tersendiri dalam mengurus aset pemilikan kerajaannya dan pentadbiran hal ehwal kehidupannya. Koloni semut membuat sarang di dalam tanah siap dengan koridor, bilik-bilik, dan stor makanan seperti gandum dan makanan untuk musim sejuk. Koloni semut juga mempunyai sistem politik seperti peranan Namlah (Ratu Semut) yang boleh mengarahkan rakyat di bawah pemerintahan untuk tugas-tugas tertentu, menggunakan kebijaksanaan, demi kebaikan koloni semut, persis apa yang raja-raja manusia lakukan.

Al-Quran tidak menyebutkan fenomena kehidupan semut ini melainkan sebagai pengajaran bagi orang yang mempunyai akal; bagaimana semut sebulat suara melarikan diri kerana takut akan kebinasaan sewaktu mereka sibuk berkumpul untuk mencari makanan untuk koloni mereka. Ini persis komuniti manusia, jika sesuatu bangsa itu tidak mencapai tahap kesedaran terhadap bahaya – sama ada duniawi atau ukhrawi – dan sistem pemerintahan setanding dengan haiwan seperti semut ini, maka bangsa itu ternyata lebih bodoh dan lebih rendah daripada serangga dan haiwan-haiwan kecil yang lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 19/129)

Para pengkaji bidang i‘jaz al-‘ilmi (mukjizat al-Quran berdasarkan penemuan saintifik) mendapati penggunaan kalimah “namlah” dalam ayat al-Quran mempunyai nilai signifikan tersendiri. “Namlah” merujuk kepada semut betina; sedangkan dalam penemuan sains moden, semut betina ialah semut pekerja yang merupakan majoriti dalam koloni semut. Ratu semut boleh hidup sehingga 30 tahun, manakala semut betina pekerja boleh hidup sehingga 3 tahun, sebaliknya semut jantan hanya hidup untuk beberapa minggu kerana fungsinya hanya untuk mengawan. Selain penentuan jantina semut, al-Quran juga membuatkan kita berfikir tentang teknik komunikasi yang berkesan dalam koloni semut. Kajian mendapati bahawa semut berkomunikasi melalui getaran akustik yang dihantar dan diterima menggunakan sesungut semut. Sistem ini daripada satu sudut lebih canggih daripada komunikasi secara oral yang mengeluarkan, dan pada hari ini, fenomena ini mudah diterima akal dengan wujudnya peranti penerima yang canggih seperti telefon pintar dan lain-lain. (Lihat Queen lifespan and colony characteristics in ants and termites. Insectes Sociaux. 45 (3), hlm. 235–246; Bootani, Zoologi dan Tenaga dari Perspektif al-Quran, hlm. 20-23)

Beginilah ajaibnya ciptaan Allah SWT, dan tidak diciptakan sesuatu itu meskipun sekecil-kecil semut, melainkan disebaliknya terdapat hikmah serta iktibar yang boleh kita ambil pengajaran darinya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a‘lam

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *