Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kelebihan orang yang mengingati kematian dan bagaimana suasana masyarakat kita?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Mengingati kematian merupakan suatu perkara yang sangat dituntut di dalam Islam. Mengingati kematian menyebabkan manusia sentiasa bersedia untuk menghadapinya dengan memperbanyakkan amalan soleh dan menjauhi sebarang tingkah laku yang melalaikan, maksiat dan juga perbuatan dosa. Rasulullah SAW di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, daripada Ibn Umar R.Anhuma daripada Nabi SAW, baginda ditanya:

فأيُّ المؤمنينَ أَكْيَسُ ؟ قالَ : أَكْثرُهُم للمَوتِ ذِكْرًا ، وأحسنُهُم لما بعدَهُ استِعدادًا ، أولئِكَ الأَكْياسُ

Maksudnya: “Siapakah di kalangan mukmin yang paling bijak? Rasulullah SAW bersabda, “Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang paling baik persediaannya untuk selepas daripada mati, mereka itulah orang-orang yang bijak.”

Riwayat Ibn Majah (4259)

Dalam satu hadith yang lain pula, Rasulullah SAW menyuruh umat Islam untuk memperbanyakkan mengingati kematian kerana ia boleh menghilangkan sifat alpa yang disebabkan oleh kelazatan dunia. Sabda Rasulullah SAW:

أَكثروا ذِكرَ هادمِ اللَّذَّاتِ. يعنى الموتُ

Maksudnya: “Perbanyakkanlah mengingati pemutus kelazatan.” Iaitu kematian.

Riwayat Ibn Majah (4258)

Namun, realitinya masyarakat hari ini kurang mengingati mati. Indikatornya, jiwa mereka lebih mencintai perkara dunia yang melalaikan berbanding perkara yang boleh mendorong kepada mengingati Allah SWT. Pusat-pusat hiburan lebih ramai pengunjungnya berbanding masjid dan surau. Program hiburan lebih mendapat tumpuan dan rating yang lebih tinggi berbanding program keagamaan.

Begitu juga jenayah dan masalah sosial dalam masyarakat semakin meruncing saban tahun. Berdasarkan nisbah jenayah indeks di Malaysia pada 2018 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, meskipun nisbah jenayah indeks bagi 100,000 penduduk di Malaysia pada 2018 bertambah baik kepada 273.8 berbanding 2017 (309.7), namun tujuh buah negeri merekodkan jenayah indeks melebihi paras nasional pada 2018 iaitu W.P. Kuala Lumpur (642.6), Selangor (330.8), Negeri Sembilan (327.1), Melaka (303.6), Kedah (287.6), Pulau Pinang (284.6) dan Johor (275.7).

Bagi Statistik Jenayah Malaysia 2018 pula, bilangan kertas siasatan bagi kes jenayah rasuah semakin meningkat pada 2018 iaitu kesalahan tuntutan palsu (231 kes) dan salah guna kedudukan (101 kes). Dalam tempoh yang sama, bilangan tangkapan yang dibuat oleh SPRM meningkat 1.7 peratus kepada 894 kes dan kesalahan salah guna kedudukan mencatatkan peningkatan tangkapan tertinggi iaitu 72.2 peratus iaitu berjumlah 93 kes.

Bagi tempoh yang sama juga, jumlah kes jenayah kekerasan yang direkodkan merangkumi bunuh, rogol, samun, mencederakan orang lain adalah sebanyak 16902 kes. Manakala kes jenayah harta benda yang direkodkan merangkumi pecah rumah, kecurian kenderaan, curi ragut dan kecurian lain adalah sebanyak 71760 kes.[1]

Isu dan statistik ini sewajarnya ditangani secara holistik dan salah satu kaedah yang dianjurkan oleh Islam adalah kepentingan menyemai keimanan dan kesedaran di dalam diri setiap insan khususnya umat Islam berkaitan aspek dosa dan pahala, syurga dan neraka, azab kubur dan perkara lain berkaitan keimanan kepada hari akhirat yang akan dilalui oleh setiap manusia selepas kematian mereka. Dengan kesedaran terhadap perkara ini, pasti setiap insan menyedari kepentingan untuk berlumba-lumba melakukan amalan kebaikan bagi mensucikan jiwa mereka, serta meninggalkan perkara sia-sia dan perbuatan jenayah dan maksiat yang menjerumuskan mereka ke lembah neraka. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/598-599)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

[1] Lihat https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=OWZSTkRPbGxwREpFbjRjZ2w1OUVGUT09

Leave a Reply