Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya boleh jelaskan kepada kami tafsiran ayat surah al-Hadid ayat 20 ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dunia adalah tempat persinggahan sementara sebelum pulang ke negeri abadi. Kenikmatan di dunia juga adalah bersifat sementara dan tidak boleh dijadikan matlamat utama kehidupan bagi seorang Muslim. Allah SWT berfirman:

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: Ketahuilah kamu bahawa kehidupan dunia hanyalah permainan, hiburan, perhiasan, kebanggaan sesama kamu, dan tempat menambah harta dan anak-pinak, sama seperti air hujan yang para petani berasa takjub dengan hasil yang tumbuh daripadanya, setelah tumbuhan itu menghijau, ia kemudian menjadi kuning dan seterusnya hancur. Di akhirat nanti terdapat azab yang dahsyat dan keampunan daripada Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia itu hanyalah nikmat yang sementara yang tidak kekal.

 (Surah al-Hadid:20)

Menjawab bagi persoalan di atas, ayat di atas menjelaskan bahawa semua yang ada di dunia ini hanya merupakan kesenangan fana, yang menipu sesiapa sahaja yang cenderung kepadanya. Sesungguhnya manusia yang tertipu oleh dunia dan mengkaguminya, mereka lupa akan kehidupan akhirat yang lebih hebat, sedangkan dunia sangat hina dan sangat kecil dibandingkan dengan alam akhirat.

Wahbah al-Zuhaili menyebut maksud utama ayat ini adalah menegaskan akan hinanya dunia dan agungnya keadaan akhirat. Oleh kerana itu, Allah SWT menerangkan dunia dengan lima sifat atau spesifikasi, iaitu:

Pertama, dunia adalah permainan. Ini adalah tipikal bagi anak-anak yang sangat suka bermain sehingga letih dan menghabiskan tenaga mereka sedemikian rupa, dan kemudiannya hal itu berakhir tanpa ada sebarang faedah dan tenaga mereka terbuang sia-sia.

Kedua, dunia adalah hiburan dan huru-hara belaka. Ini adalah tipikal anak anak muda, yang biasanya tidak memberikan sesuatu melainkan penyesalan.

Ketiga, dunia adalah perhiasan. Ini adalah tipikal kaum perempuan, yang tujuan utamanya adalah menutupi kekurangan.

Keempat, saling membangga-banggakan diri dengan hal-hal yang fana, adakalanya dengan nasab, kemampuan dan potensi material, kekuatan fizikal, dan lain-lain.

Kelima, dunia adalah tempat untuk saling bersaing dalam mengumpul banyaknya harta dan anak. ( (Lihat al-Tafsir al-Munir, 14/353 )

Inilah dia sifat dunia yang melalaikan. Ia ibarat air laut, semakin banyak diminum semakin bertambah rasa dahaga. Inilah hakikat yang perlu kita sedar. Sekiranya kita tidak betul-betul memahami matlamat hidup, nescaya kita akan hanyut dibuai nikmat dunia yang sementara. Semoga Allah selamatkan kita daripada tipu daya dunia dan mengurniakan kita sifat qana’ah dalam menjalani kehidupan di dunia yang fana ini.

Daripada Sahl bin Saad R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ازْهَدْ فِِي الدُّنْيَا يُُحِبَّكَ اللَّهَُّ، وَازْهَدْ فِيمَا فِِي أَيْدِي النَّاسِ يُُحِبُّكَ النَّاسُ

Maksudnya: “Hendaklah kamu zuhud pada dunia, nescaya kamu akan dikasihi Allah, dan hendaklah kamu zuhud pada apa yang ada di sisi manusia, nescaya kamu akan dikasihi oleh manusia.”

Riwayat Ibn Majah(4102)

Apa yang dimaksudkan dengan zuhud dalam hadis ini bukanlah orang yang zuhud itu tidak berharta, tetapi orang yang zuhud itu ialah orang tiada dibimbangkan oleh hartanya dalam apa keadaan sekalipun. Zuhud juga bermaksud benci akan perkara yang tercela yang membawa kepada kerosakan dan keburukan atau benci kepada perkara yang boleh menyebabkan kelalaian hingga melupakan kewajipan. Zuhud bukanlah membuang terus kenikmatan dunia kononnya untuk meraih cinta dan kasih Allah SWT.76 Ini adalah satu fahaman yang salah! (Lihat Tafsir al-Bayan, 337-338)

Justeru, Ketahuilah bahawa kita adalah sekadar tetamu di dunia ini. Sampai masa kita perlu pulang ke tempat asal. Segala kekayaan dan kesenangan di dunia hanyalah pinjaman yang perlu kita pulangkan bila tiba masanya. Justeru, janganlah menjadi hamba dunia, kelak kita akan rugi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Wallahua’lam

Leave a Reply