Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hikmah di sebalik hukuman zina mengikut neraca syarak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

وَٱلَّـٰتِى يَأْتِينَ ٱلْفَـٰحِشَةَ مِن نِّسَآئِكُمْ فَٱسْتَشْهِدُوا۟ عَلَيْهِنَّ أَرْبَعَةًۭ مِّنكُمْ ۖ فَإِن شَهِدُوا۟ فَأَمْسِكُوهُنَّ فِى ٱلْبُيُوتِ حَتَّىٰ يَتَوَفَّىٰهُنَّ ٱلْمَوْتُ أَوْ يَجْعَلَ ٱللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلًۭا ١٥ وَٱلَّذَانِ يَأْتِيَـٰنِهَا مِنكُمْ فَـَٔاذُوهُمَا ۖ فَإِن تَابَا وَأَصْلَحَا فَأَعْرِضُوا۟ عَنْهُمَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ تَوَّابًۭا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu) (15). Dan (mana-mana) dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmat-Nya.

(Surah al-Nisa’: 15-16)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, ayat 15 dan 16 daripada Surah al-Nisa’ termasuk dalam kategori ayat hukum yang telah dimansuhkan hukumnya dan digantikan dengan hukum baharu. Nasakh bermaksud mengangkat hukum syar‘i dengan dalil syar‘i yang terakhir. Dalam konteks ayat ini, hukum yang diangkat ialah kurungan di rumah dan menyakiti dengan lisan dan tangan. Lalu digantikan dengan hukum baharu di dalam Surah al-Nur ayat 2 seperti yang dinyatakan di atas. Dengan ini, hukum pada ayat 15 dan 16 daripada Surah al-Nisa’ telah terbatal.

Kemudian, berbalik kepada soalan yang diajukan, berkenaan hikmah yang terkandung di sebalik pemansuhan hukuman zina yang lama kepada yang baharu? Jika dilihat, hukuman lama lebih ringan daripada hukuman baharu, iaitu daripada hukuman kurung di rumah dan cacian kepada hukuman 100 kali sebatan dan rejam sampai mati bagi penzina yang telah berkahwin. Perlu difahami bahawa pensyariatan sesuatu hukum dilakukan dengan mengambil kira maslahat dan keadaan masyarakat pada ketika itu. Malah, Allah SWT sama sekali tidak membebankan umatnya dengan syariat yang ketat. Justeru, hukuman kurung di rumah bagi perempuan yang melakukan zina adalah bersesuaian dengan keadaan dan situasi di awal permulaan Islam. Seandainya hukuman kurung di rumah masih kekal sehingga ke hari ini, pastinya ia tidak mampu membendung masalah zina yang semakin berleluasa masa kini. Tambahan pula dengan wujudnya media sosial, pergaulan tanpa sempadan di alam maya dan laman web yang berunsur maksiat, maka sudah tentu hukuman kurung di rumah tidak mendatangkan keinsafan kepada pesalah tersebut. Justeru, pemansuhan hukuman ini adalah ketetapan Allah SWT Yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui, segala ilmu-Nya menjangkaui masa, tempat dan maslahat hamba-Nya. Firman Allah SWT:

ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْحَىُّ ٱلْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُۥ سِنَةٌۭ وَلَا نَوْمٌۭ ۚ لَّهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۗ مَن ذَا ٱلَّذِى يَشْفَعُ عِندَهُۥٓ إِلَّا بِإِذْنِهِۦ ۚ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىْءٍۢ مِّنْ عِلْمِهِۦٓ إِلَّا بِمَا شَآءَ ۚ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ ۖ وَلَا يَـُٔودُهُۥ حِفْظُهُمَا ۚ وَهُوَ ٱلْعَلِىُّ ٱلْعَظِيمُ

Maksudnya: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya).

(Surah al-Baqarah: 255)

Slogan “hak kebebasan manusia” yang dilaungkan oleh musuh Islam telah menimbulkan satu gerakan yang menginginkan kebebasan mutlak acuan barat dan menolak syariat Islam yang dianggap mengongkong kebebasan manusia. Natijahnya, pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan sudah menjadi budaya masyarakat hari ini. Pergaulan bebas inilah yang menjadi punca utama berlakunya zina dalam masyarakat secara meluas. Malah sikap naif segelintir wanita yang mudah diperdayakan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab sehingga membawa ke arah kancah pelacuran dan pemerdagangan manusia. Hal ini dapat dilihat menerusi statistik kes kelahiran anak luar nikah yang semakin membimbangkan dan meningkat saban tahun. Kegiatan fahisyah semakin menjadi-jadi atas nama “hak kebebasan manusia.” Zina, lesbian, homoseksual, biseksual, transgender dan bermacam lagi telah menjadi ikutan muda mudi hari ini yang kurang pegangan agama. Justeru, Islam meletakkan hukuman yang berat dan setimpal bagi jenayah zina demi memelihara keturunan dan nasab umat Islam selari dengan tuntutan maqasid syariah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Leave a Reply