Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah peranan akidah dalam pembangunan ummah? Terutamanya mengambil pengajaran dari sikap golongan Yahudi. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ

Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

(Surah Ali ‘Imran: 110)

Ayat ini menunjukkan Allah SWT memuji umat ini dengan menyatakan mereka adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan oleh Allah SWT daripada kalangan manusia yang ada. Ini kerana, disebabkan kesempurnaan diri mereka dengan wujudnya iman serta beriltizam dalam melaksanakan perintah Allah SWT, di samping menyempurnakan orang lain dengan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 143).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, jika kita perhatikan dalam al-Quran, bagaimana Allah SWT rangkuman segala kesalahan yang dilakukan oleh kaum Yahudi sehingga memberikan ancaman untuk tidak mengampunkan mereka kerana tindakan mereka yang melibatkan pendirian akidah. Kesalahan dan dosa yang dilakukan ini jelas menggambarkan kejelekan sikap Yahudi yang melakukan penipuan seakan-akan Allah SWT tidak mengetahui perbuatan jahat mereka itu. Di antara jenayah yang pernah dilakukan oleh kaum ini terhadap agama yang direkodkan dalam al-Quran adalah:

  • Mereka menjual kebenaran dan membeli kesesatan. Menurut Wahbah al-Zuhaili, istilah “membeli kesesatan” (يَشْتَرُونَ ٱلضَّلَـٰلَةَ) ini adalah satu kiasan terhadap sikap Yahudi yang telah diberikan hidayah iaitu Kitab Taurat kepada mereka, lalu mereka mengubahnya dan berkehendakan kepada selain daripada hidayah Allah SWT. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/95). Manakala Sayyid al-Tantawi pula menjelaskan bahawa menjual kebenaran ini adalah kerana sikap mereka yang kekal di atas kesesatan, sedangkan telah diutuskan kepada mereka Rasulullah SAW. (Lihat al-Tafsir al-Wasit oleh Sayyid Tantawi, 3/169).
  • Mereka mengubah wahyu (يُحَرِّفُونَ ٱلْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِۦ). Ini adalah antara jenayah yang paling berat yang pernah dilakukan oleh kaum Yahudi sehingga Allah SWT mengulanginya berulang kali di dalam al-Quran. Menurut Fakhruddin al-Razi, pengubahan wahyu ini dilakukan barangkali dalam beberapa bentuk iaitu: (a) yang pertama mereka mengubah perkataan dalam wahyu secara literal iaitu perkataan itu diubah terus; (b) yang kedua perubahan dari aspek takwilan iaitu mereka mentafsirkan wahyu Allah SWT secara batil; (c) dan yang ketiganya adalah mereka bertanya Nabi tentang sesuatu wahyu, namun apabila keluar, mereka menceritakan perkara yang lain yang tidak diungkapkan oleh Nabi. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 5/221).
  • Mereka mempermainkan Rasulullah SAW. Perhatikan ayat 46 daripada Surah al-Nisa’, bagaimana kaum Yahudi ini mengaku beriman dan taat kepada Rasulullah SAW tetapi pada hakikatnya mereka membenci Islam. Sikap ini dilihat seolah-oleh mempermain-mainkan Rasulullah SAW. Malah istilah ra‘ina (رَاعِنَا) yang mereka gunakan turut mempunyai niat yang mempermainkan Rasulullah SAW sehingga ditegur oleh Allah SWT. Bayangkan di hadapan Rasulullah SAW sendiri mereka boleh bermain-main seakan-akan mengejek Baginda.
  • Mereka tidak beriman kepada Rasul. Ayat yang ke-47 daripada Surah al-Nisa’ pula, Allah SWT membongkarkan penipuan Yahudi yang hanya mengaku beriman di hadapan Rasulullah SAW, sehinggakan dalam ayat ini Allah SWT memberikan ancaman untuk mengenakan mereka azab yang berat kerana kejahatan yang mereka lakukan.
  • Membersihkan diri mereka dengan pujian terhadap diri sendiri secara batil. Sifat membersihkan diri sendiri ini boleh difahami melalui ayat 18 daripada Surah Ma’idah yang menceritakan bagaimana orang Yahudi mengakui mereka adalah anak-anak Allah SWT serta kaum kesayangan-Nya.
  • Mereka beriman kepada taghut. Malah apa yang lebih menyedihkan lagi mereka percaya bahawa orang kafir lebih baik dan lebih mendapat hidayah daripada orang beriman.

Sikap buruk orang Yahudi ini telah mengundang kemurkaan Allah SWT. Ini jelas dalam perbahasan kumpulan ayat ini, Allah SWT memberikan beberapa ancaman kepada orang Yahudi dek kerana kedegilan dan sifat jahat mereka. Antara ancaman yang diberikan ialah:

  • Allah SWT melaknat mereka. Ini ancaman pertama dan ancaman yang terbesar kepada mereka lantaran sikap jahat mereka yang mengubah Kalamullah.
  • Selain ancaman laknat, Allah SWT turut melancarkan ancaman fizikal iaitu rupa wajah mereka akan dibenam atau diubah menjadi rata sepertimana Allah SWT berkuasa mengubah kejadian golongan Ashab al-Sabt.
  • Mereka akan dihumban ke dalam neraka. Di sini Allah SWT membayangkan bagaimana kulit mereka dibakar hingga hangus, lalu digantikan dengan kulit yang baharu agar mereka merasai kepedihan azab neraka itu secara berterusan buat selama-lamanya.
  • Allah SWT memberi ancaman untuk tidak akan memaafkan mereka. Ancaman ini dikhususkan buat mereka yang mensyirikkan Allah SWT.

Setelah memberikan perincian terhadap sikap buruk orang Yahudi, serta ancaman yang diberikan oleh Allah SWT ke atas mereka, maka terdapat satu kata kunci yang penting yang mesti dipraktikkan oleh umat Islam, iaitu beriman kepada Allah SWT dan Rasul, serta taat kepada-Nya. Perhatikan bagaimana setiap kesalahan yang disebutkan oleh Allah SWT ini mempunyai hubungkait dengan keimanan dan ketaatan. Jenayah terbesar kaum Yahudi ialah mereka bukan sahaja tidak beriman kepada Allah SWT dan Rasul, malah tidak taat dengan mengubah ayat Allah SWT, memerli Rasulullah SAW, mentafsirkan ayat Allah SWT dengan penafsiran yang batil bahkan lebih mengimani para pendeta mereka dan meletakkan pendeta mereka lebih tinggi daripada Allah SWT. (Lihat al-Tafsir al-Maudhu‘i li Suwar al-Quran al-Karim oleh Mustafa Muslim et al., 1/132).

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa akidah memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan dan pembinaan ummah. Sesuatu umat itu, belum lagi dikira berjaya selagi mana agama atau akidah tidak ditinggikan dan diterapkan dalam ummah, lalu menghasilkan keimanan yang jitu kepada Allah SWT, di samping beriltizam dalam melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya serta menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Inilah kejayaan  dan pembangunan ummah yang sebenar-benarnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Leave a Reply