Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah kekuatan musuh sebenarnya lemah di sisi Allah? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

ذَٰلِكَ جَزَاءُ أَعْدَاءِ اللَّهِ النَّارُ ۖ لَهُمْ فِيهَا دَارُ الْخُلْدِ ۖ جَزَاءً بِمَا كَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ

Maksudnya:  Demikianlah keadaannya balasan musuh-musuh Allah iaitu neraka; disediakan untuk mereka tempat tinggal yang kekal didalamnya, sebagai balasan bagi perbuatan mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat Kami.

(Surah Fussilat:28)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan Kehidupan yang diciptakan Allah untuk umat manusia ini penuh dengan ujian dan dugaan yang pelbagai. Berbagai bentuk ujian dan dugaan adalah seumpama rempah ratus kehidupan untuk menguji sejauh mana keimanan muslim sama ada bersabar dan tetap teguh dengan keimanan atau terus mengalah dan akhirnya tersungkur dengan kekalahan yang memeritkan. Begitulah juga peperangan Badar yang diharungi oleh tentera Islam untuk berdepan dengan tentera kafir musyrikin tersebut.

Bagi orang-orang yang beriman dan bertakwa akan terus mara ke hadapan meredah kancah peperangan yang sengit tanpa sebarang perasaan takut atau bimbang kepada kematian. Ini kerana mereka begitu yakin dengan janji Allah SWT yang menjamin syurga bagi yang terkorban syahid dalam peperangan. Baginda pernah bermusyawarah dengan para sahabat berkenaan dengan usul berdepan dengan tentera kafir musyrikin Makkah. Lantas, Baginda SAW bertanya kepada Abu Bakar R.A dan beliau menjawab: Mara terus! Kemudian Baginda SAW bertanya kepada Umar al-Khattab R.A dan beliau juga menjawab: Mara terus!. Selepas itu berkatalah Miqdad bin Amru R.A: Wahai Rasulullah! Jalan terus! Laksanakanlah apa yang diperintahkan Allah SWT, kami akan tetap bersama tuan. Kami sekali-kali tidak akan berkata kepada tuan sebagaimana ucapan Bani Israel kepada Nabi Musa A.S: Pergilah engkau bersama Tuhan tuan dan perangilah mereka, namun kami di sini hanya akan duduk menunggu sahaja, tetapi kami akan berkata: Pergilah tuan bersama Tuhan tuan dan kami bersama tuan berperang. Demi Allah! Walaupun tuan bawa kami ke Birk al-Ghimad (satu negeri di Habsyah) sekalipun, kami akan turut sama sehingga kita sampai ke sana!.

Demikianlah tindak balas para sahabat Baginda yang begitu bersemangat untuk mengharungi peperangan Badar biarpun bilangan mereka kecil dan alat kelengkapan perang pun tidak sehebat dengan apa yang ada pada tentera musyrikin. Namun keimanan dan ketakwaan yang menghiasi sudut hati mereka telah melonjakkan mereka ke depan dengan dua pilihan di sisi Allah SWT iaitu sama ada kemenangan bagi Islam atau anugerah mati syahid yang istimewa. Mereka yakin dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 154 yang bermaksud: Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu orang-orang yang mati, bahkan mereka sebenarnya orang-orang yang hidup (dengan keadaan yang istimewa) tetapi kamu tidak dapat mengetahui.

Bilangan yang kecil dan alat kelengkapan perang yang serba kekurangan di pihak tentera muslimin bukanlah satu halangan bagi mereka untuk mencipta kemenangan dan menegakkan kebenaran Islam di atas muka bumi Allah ini. Yang pentingnya keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh di jiwa muslimin yang menjadi penilaian di sisi Allah SWT sebagai tiket untuk menempa tinta kejayaan dalam pentas kehidupan ini.

Akhirnya, kemenangan yang besar di dalam peperangan Badar telah dinikmati oleh tentera muslimin dengan izin Allah berbekalkan keimanan yang mantap, strategi peperangan yang sistematik dan juga bantuan Ilahi dari langit iaitu gerombolan malaikat untuk membantu tentera Muslimin. Kesemuanya itu menjadi kriteria utama ke arah mencipta kemenangan berdasarkan kepada ketetapan Allah SWT di alam semesta ini. Keimanan mantap yang terpahat kukuh di sanubari muslim adalah pemangkin konkrit ke arah mencipta kecemerlangan dan kejayaan dalam pelbagai lapangan hidup. Begitu juga dengan bantuan Ilahi akan tetap bersama-sama dengan muslim yang beriman dan bertakwa kepada-Nya pada setiap masa dalam menelusuri pentas kehidupan ini. Manakala strategi peperangan sememangnya telah dirancang rapi oleh tentera Muslimin apabila Baginda sanggup mengetepikan pandangannya sendiri dan sedia menerima pendapat Habbab bin Munzir R.A yang lebih baik. Beliau mencadangkan usul agar memilih tempat yang hampir dengan takungan air memandangkan penggunaan air amat penting dalam persiapan ketumbukan tentera Islam dalam peperangan nanti.

Ini bermakna bahawa setiap muslim tidak digalakkan hanya mengharapkan bantuan Allah SWT semata-mata tanpa sebarang daya usaha dan ikhtiar terlebih dahulu. Ini bukanlah konsep tawakal yang telah digariskan oleh syarak, sebaliknya tawakal dalam Islam mensyaratkan daya usaha dan ikhtiar daripada individu muslim dengan bersungguh-sungguh dalam menjayakan satu matlamat yang disasarkan dan akhirnya barulah berserah kepada Allah SWT.

Satu pengajaran yang paling penting sekali di sebalik perang Badar tersebut ialah kebenaran dan hak akan tetap tertegak dan dijulang di pentas kehidupan yang penuh berliku ini manakala kebatilan dan kepalsuan akan tersungkur lalu hanyut bersama detik – detik yang berlalu dalam lipatan sejarah. Sudah menjadi ketetapan Allah SWT bahawa kebenaran akan terbukti juga akhirnya di pihak tentera muslimin yang berjuang menegakkan kalimah Allah SWT di bumi ini, manakala kebatilan akan terpadam dan terhapus dalam diari kehidupan manusia. Dalam hal ini, Allah SWT telah menegaskan dalam Surah al-Anfal, ayat 8 yang bermaksud: Supaya Allah SWT menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik) sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.(Lihat Tafsir al-Bayan, 5/673-674 )

Justeru kami katakan Arahan Allah SWT supaya mereka yang celik mata hati mengambil pengajaran dan tadabur punca kehancuran mereka adalah kerana menyalahi dan menentang perintah Allah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)

Leave a Reply