Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kenapa kita diperintahkan untuk meneladani Rasulullah SAW?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Imam Ibn Kathir menyebutkan berkenaan ayat ini di dalam tafsirnya, ayat ini merupakan satu sandaran yang besar tentang tuntutan meneladani Rasulullah SAW dari segi percakapan, perbuatan dan sifat-sifat Baginda. Oleh yang demikian, manusia diperintahkan untuk mencontohi Baginda ketika peperangan Ahzab berlaku, dari segi kesabaran, toleransi, kebersediaan menghadapi musuh, mujahadah serta penantian Baginda terhadap bantuan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/252)

Suruhan daripada Allah SWT supaya mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW itu kerana sememangnya itulah antara tujuan Baginda SAW diutuskan, iaitu menyempurnakan akhlak manusia, sepertimana dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتََمِّمَ صَالِحَ الْْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”

Riwayat Ahmad (8952)

Meskipun firman Allah SWT dalam surah ini terlihat menyarankan manusia untuk meneladani sikap dan sifat Baginda ketika menghadapi tentera bersekutu, namun di sebaliknya, ia sebenarnya sebagai sebuah dalil yang kuat buat manusia supaya menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh dalam pelbagai hal sama ada ucapan, perbuatan dan sebagainya dalam kehidupan seharian.

Menjadi suatu persoalan di sini, adakah ikutan terhadap Rasulullah SAW ini adalah suatu kewajipan atau ia adalah suatu galakan (sunat), maka dalam hal ini, ulama’ ada berbeza pendapat.

  • Perintah ini bersifat wajib sehinggalah ada dalil yang menunjukkan ia adalah sunat.
  • Ia adalah sunat sehingga ada dalil lain menyebutkan bahawa perintah ini wajib. Namun berkemungkinan besar juga bahawa perintah dan arahan pada ayat ini diwajibkan pada permasalahan keagamaan dan pada permasalahan keduniaan ia hanyalah bersifat sunat. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 14/156)

Antara noktah penting juga bagi sebab-sebab seseorang muslim itu dituntut untuk meneladani Rasulullah SAW adalah:

Pertama: Meneladani Rasulullah SAW ini merupakan salah satu tanda kecintaan seseorang itu kepada Baginda SAW. Ini berdasarkan nas al-Quran firman Allah SWT:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ

Maksudnya: “Katakanlah: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah SWT, ikutilah aku, nescaya Allah SWT mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu’.”

(Surah Ali ‘Imran: 31)

Kedua: Mengelakkan dari terjerumus dalam khilaf atau syubhah akhir zaman. Inilah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan daripada ‘Irbad bin Sariah R.A, Baginda SAW bersabda:

قَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لاَ يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلاَّ هَالِكٌ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِمَا عَرَفْتُمْ مِنْ سُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ

Maksudnya: “Aku telah tinggalkan kalian di atas ajaran yang jelas. Malamnya seperti siangnya. Tiada yang melencong daripada jalan itu selepas kewafatanku melainkan dia akan binasa. Sesiapa yang masih hidup di kalangan kamu nanti akan melihat banyaknya perselisihan. Hendaklah kamu berpegang dengan apa yang kamu ketahui daripada sunnahku dan sunnah al-Khulafa’ al-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan gigi geraham.”

Riwayat Abu Dawud (4607), al-Tirmizi (2676), Ibn Majah (42) dan Ahmad (17145)

Sesungguhnya, Rasulullah SAW adalah sebaik-baik uswah dan qudwah dalam kehidupan manusia, dengannya akan jadilah manusia sentiasa dipandu ke arah kebaikan dan akibat yang baik. Marilah sama-sama kita melazimi doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply