Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kemunculan Yakjuj dan Makjuj kian hampir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Para ulama’ bahasa telah khilaf berkenaan dengan perkataan “يأجوج ومأجوج”. Apakah kedua-duanya musytaq atau nama ‘ajam?

Pendapat pertama ia adalah isytiqaq. Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab menukilkan pandangan mereka yang isytiqaq kedua-duanya dari Bahasa Arab dari perkataan (أجَّتِ النار) membuat-buat api atau dari perkataan (الماء الأجاج) daripada air yang sangat masin. (Lihat Lisan al-Arab, 2/207)

Perkataan Ya’juj atas wazan (يفعول) dan Ma’juj pula atas wazan (مفعول). Ia seolah-olah api yang menggelegak dan membara. Ini menggambarkan seolah-olah gerakan mereka tiada siapa yang mampu menahannya.

Ini jika kedua nama ini daripada Bahasa Arab. Tetapi sebaliknya, jika daripada Bahasa Ajam, maka tiada musytaq.

Pendapat yang sama yang menganggap musytaq disebut oleh al-Raghib al-Asfahani. (Lihat al-Mufradat, hlm. 10)

Pengarang kitab Asyrat al-Sa’ah berkata: Ya’juj dan Ma’juj berasal dari bahasa Arab. Ya’juj yang berakar kata “ujaj” (أُجَاجٌ) yang berarti mengering kemudian mengeras, dan satu lagi dari kata “al-ajj” (الْأَجُّ) yang artinya ketika musuh datang dengan cepat sekali, sedangkan Ma`juj berasal dari kata “maaja” (مَاجَ) yang berarti goncang.

Menurut Abu Hatim pula, ma’juj berasal dari maaja, iaitu kekacauan. Ma’juj berasal dari mu’juj, iaitu malaja. Namun, menurut pendapat yang sahih, Ya’juj dan Ma’juj bukan isim musytaq, melainkan isim ‘ajam dan laqab (gelaran). Setiap dari akar kata ini memiliki kesesuaian dengan sifat kaum Ya`juj dan Ma`juj tersebut. (Lihat Asyrath al-Sa’ah oleh Yusuf al-Wabil, hlm. 365-366)

Pendapat yang rajih adalah ia bukan musytaq tetapi bahasa ‘ajam dan termasuk dalam “ممنوع من الصرف” kerana sifat ‘alamiyah dan ‘ajamnya. Inilah pendapat yang kuat kerana dua qabilah tersebut telah wujud sebelum orang arab.

Abu al-Kalam Azad pula menyatakan bahawa perkataan Ya’juj dan Ma’juj berasal daripada bahasa Ibrani, dan pada asalnya ia adalah bahasa asing. Masyarakat Yunan menyebutnya sebagai Gog dan Magog.

Firman Allah SWT:

وَحَرَٰمٌ عَلَىٰ قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَـٰهَآ أَنَّهُمْ لَا يَرْجِعُونَ (٩٥) حَتَّىٰٓ إِذَا فُتِحَتْ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ وَهُم مِّن كُلِّ حَدَبٍۢ يَنسِلُونَ (٩٦) وَٱقْتَرَبَ ٱلْوَعْدُ ٱلْحَقُّ فَإِذَا هِىَ شَـٰخِصَةٌ أَبْصَـٰرُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يَـٰوَيْلَنَا قَدْ كُنَّا فِى غَفْلَةٍۢ مِّنْ هَـٰذَا بَلْ كُنَّا ظَـٰلِمِينَ

Maksudnya: “Mustahil bagi orang yang Kami telah binasakan mereka dengan azab untuk kembali ke dunia dan bertaubat. Walaupun saat dibuka tembok yang memenjarakan Yakjuj dan Makjuj, lalu mereka dengan pantas meluru turun dari puncak-puncak yang tinggi. Maka ketika itu, semakin hampir hari kiamat yang dijanjikan. Pada waktu itu juga, mata orang kafir terbeliak melihat kedahsyatan yang berlaku lalu mereka berkata, “Celakalah kita. Kita telah lalai daripada memikirkan tentang hari kiamat ini, malah sebenarnya kita adalah orang zalim.”

(Surah al-Anbiya’: 95-97)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Iaitu Ya’juj dan Ma’juj turun seperti helang dari setiap bukit dan dataran yang tinggi. Keadaan ini serupa dengan kaum Genghis Khan sebagaimana diceritakan oleh pakar sejarah Arab dan Perancis – peperangan mereka ini bermula dari dataran tinggi di Asia Tengah. (Lihat Tafsir al-Maraghi8/4182)

Syed Qutb menyatakan: Ayat ini juga tidak menyebut satu zaman yang tertentu, bilakah keluarnya kaum Ya’juj dan Ma’juj itu? Kedekatan janji Allah yang benar itu bererti kedekatan hari Qiamat itu telah pun berlaku di zaman Rasulullah SAW lagi. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran10/384)

Dalam Tafsir al-Bayan, dinyatakan: Apabila tiba pada satu ketika, tembok Yakjuj dan Makjuj yang menyekat Yakjuj dan Makjuj tersebut mula terbuka, ia menandakan kiamat semakin hampir. Zainab binti Jahsy R.Anha telah meriwayatkan, Nabi Muhammad SAW telah masuk menemuinya dengan begitu serius lalu bersabda:

«لا إلَهَ إلّا اللَّهُ، ويْلٌ لِلْعَرَبِ مِن شَرٍّ قَدِ اقْتَرَبَ، فُتِحَ اليومَ مِن رَدْمِ يَأْجُوجَ ومَأْجُوجَ مِثْلُ هذِه». وحَلَّقَ بإصْبَعِهِ الإبْهامِ والَّتي تَلِيها، قالَتْ زَيْنَبُ بنْتُ جَحْشٍ: فَقُلتُ يا رَسولَ اللَّهِ: أَنَهْلِكُ وفينا الصّالِحُونَ؟ قالَ: «نَعَمْ إذا كَثُرَ الخَبَثُ»

Maksudnya: “Tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah, celakalah bangsa Arab kerana keburukan yang semakin dekat. Hari ini telah dibuka tembok Yakjuj dan Makjuj seperti ini.” Baginda SAW memberi isyarat bulatan dengan jari telunjuknya dengan jari sebelahnya (ibu jari). Zainab binti Jahsy berkata: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah kita akan binasa sedangkan bersama-sama kita ramai orang soleh?” Baginda SAW menjawab: “Ya benar, jika keburukan (kemaksiatan) telah bermaharajalela.”

Riwayat al-Bukhari (3346)

Dengan kemunculan Yakjuj dan Makjuj dari tembok tersebut lalu ia meluru turun dari tempat yang tinggi, ia menandakan kiamat kian hampir, kerana Yakjuj dan Makjuj termasuk dalam sebahagian tanda-tanda kiamat besar. Bahkan, kiamat telah pun hampir sejak dari zaman Rasulullah SAW.

Allah SWT juga menggambarkan keadaan orang kafir yang begitu takut dengan realiti hari kiamat yang dipaparkan kepada mereka. Mata mereka terbeliak lantaran ketakutan dan mereka berasa sangat menyesal sedangkan penyesalan mereka tidak berguna lagi. Mereka akhirnya mengakui kesalahan dan kelalaian mereka di dunia dan mengiktiraf diri mereka sebagai golongan yang zalim. Selanjutnya, Allah menguatkan janji buruk-Nya kepada orang kafir dengan menyatakan bahawa mereka pasti menjadi bahan bakar api neraka. Termasuklah juga apa jua yang mereka sembah selain Allah, turut dicampakkan ke dalam api neraka sebagai bahan bakarnya. Ternyata berhala-berhala yang disembah oleh mereka bukanlah tuhan yang sebenar, kerana jika mereka tuhan, tentulah mereka (berhala dan orang kafir) tidak masuk ke dalam neraka. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/442)

Terdapat juga hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi daripada Imran bin Husain bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ذَلِكَ يَوْمٌ يُنَادِي اللَّهُ فِيهِ آدَمَ فَيُنَادِيهِ رَبُّهُ فَيَقُولُ: يَا آدَمُ ابْعَثْ بَعْثَ النَّارِ، فَيَقُولُ: أَيْ رَبِّ، وَمَا بَعْثُ النَّارِ؟ فَيَقُولُ: مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعُ مِائَةٍ وَتِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ إِلَى النَّارِ وَوَاحِدٌ فِي الجَنَّةِ ” فَيَئِسَ القَوْمُ، حَتَّى مَا أَبَدَوْا بِضَاحِكَةٍ، فَلَمَّا رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الَّذِي بِأَصْحَابِهِ قَالَ: «اعْمَلُوا وَأَبْشِرُوا فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ إِنَّكُمْ لَمَعَ خَلِيقَتَيْنِ مَا كَانَتَا مَعَ شَيْءٍ إِلَّا كَثَّرَتَاهُ، يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ، وَمَنْ مَاتَ مِنْ بَنِي آدَمَ وَبَنِي إِبْلِيسَ» قَالَ: فَسُرِّيَ عَنِ القَوْمِ بَعْضُ الَّذِي يَجِدُونَ، فَقَالَ: اعْمَلُوا وَأَبْشِرُوا فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ مَا أَنْتُمْ فِي النَّاسِ إِلَّا كَالشَّامَةِ فِي جَنْبِ البَعِيرِ أَوْ كَالرَّقْمَةِ فِي ذِرَاعِ الدَّابَّةِ

Maksudnya: “Itu adalah hari di mana Allah SWT berfirman kepada Adam: Wahai Adam, utuslah utusan-utusan ke neraka.” Adam bertanya: “Wahai Rab, apakah itu utusan neraka?.” Allah SWT menjawab: “Daripada setiap seribu, sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang ke neraka dan satu sahaja yang akan ke syurga.” Semua yang berada di situ merasa berputus asa sehingga tidak ada yang tertawa lagi. Apabila Rasulullah SAW melihat keadaan para sahabat, Rasulullah SAW bersabda: “Beramallah dan bergembiralah kerana demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya kamu tidak termasuk di dalam ciptaan Allah yang jumlahnya jauh lebih besar dibandingkan dengan yang lain, Ya’juj dan Ma’juj serta orang yang mati daripada keturunan Adam dan juga keturunan iblis.” Imran berkata: Mereka pun bergembira dengan sebahagian hal yag mereka temukan. Baginda SAW bersabda: “Beramallah dan bergembiralah kerana demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, tidaklah kamu berada di tengah-tengah manusia melainkan seperti tahi lalat disebelah unta atau seperti tanda di lengan binatang ternakan.”

Riwayat al-Tirmizi (3169). Imam al-Tirmizi menilai hadis ini sebagai hasan sahih.

Kemunculan Yakjuj dan Makjuj sebagai Petanda Pembalasan di Akhirat Kian Hampir

Pada ayat 96-97 Surah al-Anbiya’, perbincangan Yakjuj dan Makjuj disentuh secara ringkas. Hakikat Yakjuj dan Makjuj dalam al-Quran diceritakan dalam Surah al-Kahfi dan juga Surah al-Anbiya’. Yakjuj dan Makjuj merupakan dua kabilah manusia yang akan keluar apabila tibanya akhir zaman ketika hampir berlakunya hari kiamat. Mereka dipercayai berketurunan Adam daripada susur galur (anak) kepada Yafith bin Nuh. Para ulama mentarjihkan bahawa bangsa Yakjuj dan Makjuj menetap di kawasan negara Mongolia di utara negara China dan selatan negara Rusia.

Kemunculan Yakjuj dan Makjuj merupakan satu perkara yang akan berlaku. Tembok yang menghadangi pergerakan Yakjuj dan Makjuj pasti dibuka oleh Allah berasaskan ayat 96 Surah al-Anbiya’. Secara khususnya, kemunculan mereka berlaku setelah turunnya Nabi Isa A.S dari langit dan setelah Baginda A.S membunuh Dajjal. Terdapat pelbagai kerosakan dilakukan oleh Yakjuj dan Makjuj iaitu seperti membunuh, merampas bekalan makanan, memakan manusia, dan merosakkan apa jua di bumi setelah mereka keluar. Kronologi kemunculan dan kesudahan Yakjuj dan Makjuj dinyatakan secara panjang lebar dalam satu hadis Nabi SAW riwayat al-Nawwas bin Sam‘an R.A:

إِذْ أَوْحَى اللهُ إِلَى عِيسَى: إِنِّي قَدْ أَخْرَجْتُ عِبَادًا لِي، لَا يَدَانِ لِأَحَدٍ بِقِتَالِهِمْ، فَحَرِّزْ عِبَادِي إِلَى الطُّورِ وَيَبْعَثُ اللهُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَهُمْ مِنْ كُلِّ حَدَبٍ يَنْسِلُونَ، فَيَمُرُّ أَوَائِلُهُمْ عَلَى بُحَيْرَةِ طَبَرِيَّةَ فَيَشْرَبُونَ مَا فِيهَا، وَيَمُرُّ آخِرُهُمْ فَيَقُولُونَ: لَقَدْ كَانَ بِهَذِهِ مَرَّةً مَاءٌ، وَيُحْصَرُ نَبِيُّ اللهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ، حَتَّى يَكُونَ رَأْسُ الثَّوْرِ لِأَحَدِهِمْ خَيْرًا مِنْ مِائَةِ دِينَارٍ لِأَحَدِكُمُ الْيَوْمَ، فَيَرْغَبُ نَبِيُّ اللهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ، فَيُرْسِلُ اللهُ عَلَيْهِمُ النَّغَفَ فِي رِقَابِهِمْ، فَيُصْبِحُونَ فَرْسَى كَمَوْتِ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ، ثُمَّ يَهْبِطُ نَبِيُّ اللهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى الْأَرْضِ، فَلَا يَجِدُونَ فِي الْأَرْضِ مَوْضِعَ شِبْرٍ إِلَّا مَلَأَهُ زَهَمُهُمْ وَنَتْنُهُمْ، فَيَرْغَبُ نَبِيُّ اللهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى اللهِ، فَيُرْسِلُ اللهُ طَيْرًا كَأَعْنَاقِ الْبُخْتِ فَتَحْمِلُهُمْ فَتَطْرَحُهُمْ حَيْثُ شَاءَ اللهُ، ثُمَّ يُرْسِلُ اللهُ مَطَرًا لَا يَكُنُّ مِنْهُ بَيْتُ مَدَرٍ وَلَا وَبَرٍ، فَيَغْسِلُ الْأَرْضَ حَتَّى يَتْرُكَهَا كَالزَّلَفَةِ، ثُمَّ يُقَالُ لِلْأَرْضِ: أَنْبِتِي ثَمَرَتَكِ، وَرُدِّي بَرَكَتَكِ.

Maksudnya: “…Ketika Allah mewahyukan kepada Isa A.S: ‘Sesungguhnya aku mengeluarkan hamba-hamba-Ku yang tidak ada kemampuan bagi seorang pun untuk memeranginya. Maka biarkanlah hamba-hamba-Ku menuju Tur.’ Lalu Allah keluarkan Yakjuj dan Makjuj dan mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi. Kemudian mereka melewati tasik Tabariyah, dan meminum seluruh air yang ada padanya. Hingga ketika barisan paling belakang mereka sampai di tasik tersebut, mereka berkata: ‘Sungguh dahulu di sini masih ada airnya.’ Ketika itu terkepunglah Nabi Allah Isa A.S dan para sahabatnya. Hingga kepala lembu ketika itu lebih berharga bagi mereka daripada seratus dinar kamu sekarang ini. Maka Nabi Isa dan para sahabatnya bermohon kepada Allah. Maka Allah pun mengirim sejenis ulat yang muncul di leher mereka (Yakjuj dan Makjuj). Maka pada pagi harinya, mereka seluruhnya binasa menjadi bangkai-bangkai dalam waktu yang hampir bersamaan. Kemudian turunlah Nabi Allah Isa dan para sahabatnya (dari gunung Tur). Maka tidak didapati satu jengkal pun tempat kecuali dipenuhi oleh bangkai dan bau busuk mereka. Maka Nabi Isa A.S dan para sahabatnya pun berdoa kepada Allah. Maka Allah mengirimkan burung-burung yang lehernya seperti unta, membawa bangkai-bangkai mereka dan kemudian dilemparkan di tempat yang Allah kehendaki. Kemudian Allah kirimkan hujan yang tidak meninggalkan satu pun rumah mahupun khemah, lalu membasahi bumi hingga menjadi licin. Kemudian dikatakan kepada bumi itu: ‘Tumbuhkanlah buah-buahanmu dan kembalilah berkatmu…’”

Riwayat Muslim (2937)

Apa yang lebih utama ialah kisah-kisah mendatang yang sabit daripada al-Quran dan Sunnah wajib diimani oleh umat Islam sekalipun ia belum berlaku. Ia sekali gus menyerlahkan kemukjizatan al-Quran dan hadis yang telah merakamkan peristiwa yang bakal berlaku kelak, seterusnya mengesahkan kebenaran al-Quran tatkala peristiwa-peristiwa mendatang itu berlaku. Himpunan ilmu eskatologi (ilmu mengenai kepercayaan berkaitan berakhirnya dunia) ternyata telah dirakamkan dalam al-Quran dan Sunnah khususnya dalam mengupas fitnah akhir zaman dan hari akhirat. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/444-445)

Kesimpulan

Kemunculan Yakjuj dan Makjuj merupakan satu tanda besar hari kiamat yang kian hampir, dan ia berlaku setelah Nabi Isa A.S membunuh Dajjal. Sehubungan itu, kisah-kisah mendatang yang ditentukan dalam al-Quran dan hadis wajib diyakini oleh seluruh umat Islam tanpa syak lagi. Rakaman peristiwa dan kisah dalam al-Quran sama ada yang telah, sedang, dan akan berlaku merupakan salah satu elemen yang mampu menyerlahkan kemukjizatan al-Quran sekali gus mengesahkan al-Quran datang daripada Allah dan Kalamullah, bukanlah rekaan manusia.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Wallahua`lam.

Leave a Reply