Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah berkahwin secara hibah?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Perkahwinan secara hibah bermaksud seorang wanita menghadiahkan dirinya kepada seorang lelaki untuk dikahwini. Lalu lelaki tersebut mengahwininya tanpa mahar.
Perkahwinan seperti ini termasuk dalam perkara yang khusus hanya buat Nabi Muhammad SAW dan tidak kepada umatnya yang lain, sebagaimana firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ إِنَّآ أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَٰجَكَ ٱلَّـٰتِىٓ ءَاتَيْتَ أُجُورَهُنَّ وَمَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ مِمَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَيْكَ وَبَنَاتِ عَمِّكَ وَبَنَاتِ عَمَّـٰتِكَ وَبَنَاتِ خَالِكَ وَبَنَاتِ خَـٰلَـٰتِكَ ٱلَّـٰتِى هَاجَرْنَ مَعَكَ وَٱمْرَأَةًۭ مُّؤْمِنَةً إِن وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلنَّبِىِّ إِنْ أَرَادَ ٱلنَّبِىُّ أَن يَسْتَنكِحَهَا خَالِصَةًۭ لَّكَ مِن دُونِ ٱلْمُؤْمِنِينَ ۗ قَدْ عَلِمْنَا مَا فَرَضْنَا عَلَيْهِمْ فِىٓ أَزْوَٰجِهِمْ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُهُمْ لِكَيْلَا يَكُونَ عَلَيْكَ حَرَجٌۭ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا
Maksudnya: “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu; dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar maskahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, buka bagi orang-orang yang beriman umumnya; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan yang mereka miliki; – supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Ahzab: 50)
Ayat ini menjelaskan tentang wanita-wanita yang dihalalkan untuk dinikahi oleh Rasulullah SAW, dan Allah SWT telah meletakkan beberapa syarat. Antaranya adalah:
- Wanita yang beriman.
- Memberikan mas kahwin kepada mereka.
Kemudiannya, Allah SWT mengkhususkan bagi Rasulullah SAW untuk menikahi wanita yang menyerahkan diri mereka kepada Nabi SAW untuk dinikahi dan ayat ini juga menjelaskan bahawa menikahi kerabat yang terdekat yang halal sama seperti menikahi orang jauh (bukan daripada kalangan kerabat). Semua ini dihalalkan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW dan Allah SWT tidak akan menghalalkan bagi Nabi SAW sesuatu perkara melainkan ia merupakan perkara yang baik. (Lihat al-Tafsir wa al-Bayan li Ahkam al-Quran, 4/1984-1985)
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa perkara itu hanya khusus buat Baginda SAW dan bukannya kepada seluruh umatnya. Majoriti para ulama berpendapat tidak boleh seorang wanita itu menghibahkan dirinya kepada lelaki selain Nabi SAW dan tidak sah perkahwinan dengannya kerana lafaz hibah tidak menyempurnakan suatu akad pernikahan, melainkan apa yang diriwayatkan oleh Abu Hanifah dan dua orang ashabnya bahawa sekiranya seorang wanita itu menghibahkan dirinya, lalu lelaki tersebut bersaksi pada dirinya sendiri untuk memberikan mahar, maka ia dibolehkan. Dalam erti kata lain, suatu perkahwinan itu dianggap sah dengan menggunakan lafaz hibah serta disyaratkan padanya mahar. Adapun perkahwinan tanpa mahar, para ulama bersepakat bahawa ia adalah khusus buat Baginda SAW. (Lihat Jami’ al-Bayan, 20/286; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 14/211; Fath al-Qadir, 4/336)
Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘d R.A, katanya:
أَتَتِ النَّبِيَّ ﷺ امْرَأَةٌ، فَقَالَتْ: إِنَّهَا قَدْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ ﷺ، فَقَالَ: مَا لِي فِي النِّسَاءِ مِنْ حَاجَةٍ. فَقَالَ رَجُلٌ: زَوِّجْنِيهَا، قَالَ: أَعْطِهَا ثَوْبًا، قَالَ: لاَ أَجِدُ، قَالَ: أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ، فَاعْتَلَّ لَهُ، فَقَالَ: مَا مَعَكَ مِنَ القُرْآنِ؟ قَالَ: كَذَا وَكَذَا. قَالَ: فَقَدْ زَوَّجْتُكَهَا بِمَا مَعَكَ مِنَ القُرْآنِ
Maksudnya: “Seorang wanita datang menemui Baginda SAW. Lalu menghibahkan dirinya demi Allah dan rasul-Nya SAW. Rasulullah SAW bersabda: ‘Aku tidak berhajat kepada wanita.’ Lalu seorang lelaki daripada kalangan sahabat berdiri dan berkata: Kahwinkan aku dengannya. Nabi SAW bersabda: ‘Berikan kepadanya pakaian (sebagai mahar).’ Lelaki itu menjawab: Aku tidak memilikinya. Sabda Nabi SAW: ‘Berilah kepadanya walaupun sebentuk cincin daripada batu.’ Namun, lelaki tersebut tidak mempunyai apa-apa yang boleh dijadikan sebagai mahar. Rasulullah SAW bersabda: ‘Adakah kamu menghafal al-Quran?’ Lelaki itu menjawab: ‘Ayat ini dan ini.’ Sabda Nabi SAW: ‘Maka aku kahwinkan kamu dengannya dengan apa yang kamu miliki daripada al-Quran’.”
Riwayat al-Bukhari (5029) dan Muslim (1425)
Imam al-Baji mengatakan, tidak ada perbezaan di kalangan ulama’ bahawa perkahwinan tanpa mahar itu adalah dilarang kecuali untuk Rasulullah SAW. Kalaulah suatu perkahwinan boleh dilakukan tanpa mahar, sudah tentu Baginda SAW tidak akan menghalang perkara tersebut dalam keadaan lelaki itu sangat miskin dan dan sangat berhajat untuk berkahwin. (Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 3/275)
Imam al-Qurtubi mengatakan, ulama’ telah bersepakat bahawa tidak boleh seseorang wanita itu menghadiahkan dirinya (untuk dikahwini tanpa mahar), dan tidak termeterainya ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz hibah ini. Dan dikecualikan Imam Abu Hanifah serta pengikutnya yang berpendapat bahawa wanita yang menghadiahkan dirinya untuk dikahwini dengan mahar, maka dibolehkan. Ibn ‘Atiyyah berkata: “Maka tidak lain bahawa mereka (al-Hanafiyyah) sekadar membenarkan penggunaan lafaz ‘hibah’. Sedangkan perbuatan yang mereka syaratkan adalah sebagaimana nikah (iaitu dengan adanya mahar).” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 14/211)
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan ini, jelas bahawa seorang wanita tidak boleh dikahwini melainkan dengan adanya mahar. Adapun apa yang disebutkan dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ini bagi menerangkan pengecualian yang diberikan kepada Rasulullah SAW sahaja.
Semoga kita dapat memperoleh ilmu baharu dari perbincangan ringkas ini, seterusnya memanfaatkannya dalam amalan kehidupan kita. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a‘lam